Walaupun sudah lebih tiga dekad terlibat dalam bidang penulisan,
baru-baru ini, saya hampir-hampir menjadi mangsa penerbit yang licik. Mujurlah
saya membaca surat perjanjian dengan teliti dan memutuskan untuk tidak
menandatanganinya. Maka, saya menulis catatan ini sebagai panduan dan
peringatan kepada para penulis, khasnya penulis muda.
Seorang penulis
menulis kerana mahu menghasilkan karya, misalnya sebuah novel, kumpulan cerpen,
atau kumpulan esei. Penerbit pula menerbitkan kerana mahu menjadikan
karya itu sebuah produk yang boleh dibaca, diedarkan, dan dijual.
Kedua-dua pihak
mempunyai kepentingan masing-masing. Dalam ekosistem ini, perlu saya tegaskan,
penulis wajib memahami satu perkara yang sangat asas sebelum menandatangani
apa-apa perjanjian penerbitan: Menerbitkan karya tidak semestinya bermaksud
memiliki hak cipta karya tersebut.
Malangnya, masih
ramai penulis yang menganggap kedua-duanya sama. Apabila penerbit menawarkan
untuk menerbitkan novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, atau karya fiksyen,
penulis berasa teruja, lalu menandatangani kontrak tanpa membaca setiap klausa
dengan teliti.
Biasanya, penulis
menganggap semua istilah undang-undang dalam kontrak hanyalah bahasa formal
yang digunakan oleh peguam. Ada pula yang mungkin berfikir: “Penerbit ini sudah
biasa buat kontrak. Tentulah semuanya demi kebaikan saya.”
Nasihat saya:
Jangan terlalu mudah percaya!
Dalam urusan
penerbitan, karya ialah harta intelek penulis. Sebuah novel atau
kumpulan cerpen bukan sekadar fail komputer atau manuskrip yang dihantar
melalui e-mel. Ia merupakan hasil pemikiran, imaginasi, pengalaman, penelitian,
masa, dan tenaga penulis. Apabila karya itu mempunyai nilai komersial, hak
terhadap karya tersebut juga mempunyai nilai ekonomi.
Sebab itulah
penulis perlu tahu membezakan antara hak cipta (copyright) dan hak
penerbitan (publishing rights).
Perlu diingatkan
bahawa saya menulis semua ini berdasarkan pengalaman terlibat dalam bidang
penulisan dan penerbitan sejak awal 1990-an. Malah, pada tahun 2009, apabila saya mengambil balik hak penerbitan bagi buku-buku saya
daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ramai rakan
penulis terkebil-kebil kerana tidak menyedari kewujudan “hak penerbitan”.
Hak cipta ialah hak yang berkaitan dengan pemilikan dan
kawalan terhadap karya. Bagi karya sastera dan fiksyen, hak ini memberikan
kuasa kepada pemiliknya untuk mengawal pelbagai bentuk penggunaan karya,
tertakluk kepada undang-undang. Di Malaysia, hak cipta dilindungi di bawah Akta
Hak Cipta 1987 (Akta 332).
Lesen
eksklusif
Hak penerbitan pula, dalam konteks kontrak penerbitan,
merujuk kepada kebenaran yang diberikan oleh pemilik hak cipta kepada penerbit
untuk menerbitkan karya dalam bentuk, wilayah, dan tempoh tertentu.
Biar saya
tegaskan: Penulis boleh kekal sebagai pemilik hak cipta sementara penerbit
memperoleh lesen untuk menerbitkan karya itu menerusi hak penerbitan. Inilah
konsep yang perlu difahami oleh setiap penulis.
Misalnya, seorang
penulis sudah menghasilkan manuskrip sebuah novel. Penulis boleh memberikan
lesen eksklusif kepada penerbit untuk menerbitkan novel itu dalam bentuk buku
bercetak di Malaysia selama tiga tahun. Dalam keadaan demikian, penerbit ada
hak untuk menerbitkan karya tersebut mengikut syarat yang dipersetujui, tetapi
pemilikan hak cipta masih berada sepenuhnya pada penulis.
Sebaliknya, jika
penulis menandatangani klausa yang menyatakan bahawa beliau “assigns all
rights, title, and interest in and to the work to the publisher”, perkara
itu membawa implikasi yang jauh lebih besar serta merugikan penulis.
Biar saya
tegaskan bahawa istilah “assign” bukan sekadar “membenarkan”.
Sebenarnya, dari segi undang-undang, ia bermaksud “menyerahkan atau
memindahkan hak”.
Inilah perkataan
yang sepatutnya membuatkan mana-mana penulis—baru atau lama—berhenti seketika,
membaca semula kontrak, dan bertanya kepada diri: “Apa sebenarnya yang saya
serahkan kepada penerbit?”
Jangan terpedaya
dengan tajuk kontrak yang berbunyi “publishing agreement” atau “memorandum
of agreement”. Tajuk dokumen tidak semestinya menggambarkan kesan sebenar
kandungan. Perjanjian penerbitan mungkin mengandungi klausa yang menyebabkan
penulis menyerahkan hak yang jauh lebih besar dan luas daripada sekadar
memberikan hak menerbitkan sebuah buku.
Jika kontrak
menyatakan bahawa anda selaku penulis bersetuju menyerahkan “all rights”,
anda perlu dan berhak untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan “all
rights”. Adakah ia hanya hak mencetak buku? Atau termasuk e-book,
buku audio, terjemahan, penerbitan di luar Malaysia, hak filem, hak televisyen,
hak drama pentas, hak adaptasi, hak karya terbitan, hak antologi, hak
penerbitan semula, hak edisi baharu, dan hak digital?
Memeningkan dan
mungkin tidak pernah difikirkan, bukan? Hak-hak tersebut tidak boleh dianggap
perkara kecil. Sebuah karya sastera yang pada hari ini hanya berupa sebuah
novel bercetak mungkin pada masa hadapan ada nilai dalam bentuk yang langsung
tidak terfikir oleh penulis ketika menandatangani kontrak.
Bayangkan sebuah
novel diterbitkan ketika anda berumur 30 tahun. Dua puluh tahun kemudian, novel
itu mendapat perhatian baharu. Sebuah syarikat mahu menterjemahkannya ke dalam
bahasa lain. Sebuah produksi mahu mengadaptasikannya menjadi filem. Sebuah platform
mahu menghasilkan buku audio. Sebuah penerbit luar negara pula mahu menerbitkan
edisi baharu.
Lalu,
apa yang tinggal bagi penulis?
Tetapi anda sudah
menyerahkan hak cipta kepada penerbit semasa novel itu diterbitkan
dahulu!
Lalu, apa yang
tinggal bagi penulis? Soalan ini sepatutnya difikirkan sebelum kontrak
ditandatangani pada usia 30 tahun, bukan selepas pelbagai peluang baharu muncul
pada usia 50 tahun.
Risiko paling
besar jika menyerahkan hak cipta ialah penulis boleh kehilangan kawalan
terhadap masa depan karya itu. Penerbit mungkin memperoleh kuasa yang lebih
luas daripada yang sebenarnya diperlukan untuk menerbitkan novel itu dalam
bentuk buku.
Penulis memanglah
masih dikenali dan diiktiraf sebagai pencipta karya. Nama penulis masih
tercetak pada kulit buku. Tetapi menjadi pencipta atau penulis tidak semestinya
bermaksud anda masih menjadi pemilik semua hak ekonomi terhadap karya
itu.
Inilah perbezaan
yang perlu difahami. Penulis juga perlu melihat tempoh dan wilayah hak yang
diberikan. Ada perjanjian yang mungkin memberikan hak untuk tempoh tertentu dan
di wilayah tertentu. Ini berbeza dengan tindakan menyerahkan hak tanpa batas
yang jelas.
Misalnya, frasa
“Malaysia selama tiga tahun” dalam surat perjanjian bukan perkara yang sama
dengan “worldwide in perpetuity”. Begitulah juga, frasa “hak
menerbitkan edisi bercetak” tidak sama dengan “all rights in all formats
and all media”. Dan seperti dinyatakan tadi, frasa “exclusive
licence” sangat berbeza dengan “assignment of copyright”.
Tiga set contoh
frasa di atas sudah cukup untuk menunjukkan mengapa anda selaku penulis perlu
membaca kontrak dengan teliti. Jika dokumen disediakan dalam bahasa Inggeris
dan anda kurang faham, minta penerbit terangkan secara terperinci dalam Bahasa Malaysia.
Ada penulis yang
beranggapan bahawa penerbit berhak meminta hak cipta kerana penerbit
mengeluarkan modal untuk mencetak dan memasarkan buku. Hujah ini perlu dilihat
secara kritis kerana isu ini juga saya perhatikan semasa berjuang menuntut hak
royalti beberapa penulis yang menjadi mangsa teks Komsas pada tahun 2011.
Penerbit
sememangnya menanggung risiko perniagaan. Penerbit mengeluarkan kos
penyuntingan, reka letak, percetakan, pemasaran, pengedaran, dan sebagainya.
Namun begitu, risiko perniagaan penerbit tidak secara automatik bermaksud
pemilikan intelek penulis perlu dipindahkan kepada penerbit.
Penerbit boleh
diberikan “lesen penerbitan” yang cukup untuk menjalankan perniagaan.
Jika penerbit memerlukan hak eksklusif, perkara itu boleh dinyatakan
secara jelas dalam kontrak atau perjanjian. Begitulah juga jika penerbit
memerlukan hak e-book, buku audio, dan sebagainya.
Apa
yang perlu penulis elakkan
Apa yang perlu
anda selaku penulis elakkan ialah tindakan menyerahkan sesuatu yang sangat luas
semata-mata kerana anda tidak memahami bahasa dalam kontrak yang
ditandatangani.
Suka saya
nasihatkan para penulis supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkataan
seperti “irrevocable”, “perpetual”, “worldwide”,
“all media”, “all formats”, dan “all rights”.
Setiap perkataan ini mampu membawa kesan undang-undang yang besar apabila
digabungkan dalam satu klausa.
Jangan
beranggapan “nanti boleh bincang” selepas perjanjian ditandatangani dan buku
terbit. Kontrak yang sudah ditandatangani bukan sekadar surat persahabatan.
Sebaliknya, ia ialah sebuah dokumen rasmi yang sah di sisi undang-undang.
Anda jangan takut
bertanya kepada penerbit jika kurang faham atau tidak pasti tentang kandungan
perjanjian. Bertanya bukan bermaksud anda tidak mempercayai penerbit.
Sebaliknya, bertanya menunjukkan anda memahami nilai karya sendiri.
Jika penerbit
benar-benar hanya memerlukan hak untuk menerbitkan sebuah novel dalam bentuk
buku bercetak di Malaysia selama tempoh tertentu, mengapa penulis perlu
menyerahkan hak-hak lain yang tidak diperlukan?
Para penulis juga
perlu memahami hakikat bahawa karya sastera boleh mempunyai umur yang panjang.
Penerbitan kali pertama mungkin hanya satu episod dalam perjalanan sesebuah
karya. Sebuah novel boleh sahaja diterbitkan semula selepas bertahun-tahun.
Karya yang tidak mendapat perhatian ketika pertama kali diterbitkan boleh
memperoleh kehidupan kedua dan diterbitkan dalam edisi baharu.
Oleh itu, nasihat
saya adalah supaya para penulis berfikir jauh ke hadapan. Apa yang nampak tidak
bernilai pada hari ini mungkin mempunyai nilai besar, dua puluh tahun kemudian.
Dan apabila hak cipta sudah diserahkan kepada penerbit, penulis tidak lagi mempunyai
kuasa untuk menentukan bagaimana nilai komersial itu dapat dimanfaatkan.
Satu lagi perkara
penting ialah hak moral. Hak ini berkaitan dengan hubungan pencipta
dengan karya, termasuk pengiktirafan terhadap pencipta dan perlindungan
terhadap tindakan tertentu yang boleh menjejaskan karya atau reputasi pencipta.
Maka, persoalan hak cipta bukan semata-mata tentang wang. Ia juga tentang
identiti penulis dan hubungan penulis dengan karya yang dihasilkan.
Penulis perlu
sedar bahawa kontrak penerbitan bukan sekadar suatu formaliti. Sebaliknya, ia
merupakan dokumen yang menentukan siapa boleh melakukan apa terhadap karya
kita.
Baru-baru ini,
saya menerima surat perjanjian bagi sebuah buku yang sudah diterbitkan. Saya
membaca kandungan perjanjian dengan teliti sebelum menghubungi penerbit dan
memaklumkan bahawa saya tidak sesekali bersetuju menyerahkan hak cipta
karya. Sebaliknya, saya hanya bersedia menyerahkan hak penerbitan kepada
penerbit. Ada beberapa lagi perkara dalam surat perjanjian itu yang tidak saya
bersetuju.
Bukan
musuhi penerbit
Penulis tidak
diminta memusuhi penerbit. Penerbit dan penulis sebenarnya berada dalam
ekosistem yang sama. Penerbit memerlukan karya yang baik, sementara penulis
memerlukan penerbit yang mampu membawa karya kepada pembaca.
Tetapi hubungan
yang sihat tidak memerlukan penulis menyerahkan segala-galanya. Penulis masih
boleh memberikan lesen (hak penerbitan) tanpa memberikan pemilikan
(hak cipta). Itulah perkara asas yang perlu difahami.
Kita menulis
sebuah karya dengan fikiran, pengalaman, imaginasi, dan tenaga. Janganlah
kerana terlalu ingin melihat buku berada di rak kedai atau gedung dalam talian,
kita menyerahkan segala hak terhadap karya itu untuk selama-lamanya tanpa
memahami kesan dan akibat.
Ingat: Karya anda
bukan sekadar sebuah buku. Karya anda sebenarnya harta intelek yang
perlu dilindungi.
[Catatan/surat
ini ditulis pada 10 Ogos 2026 dan disiarkan di Malaysiakini
pada 12 Ogos 2026. Uthaya Sankar SB ialah seorang
penulis, penerbit, aktivis, dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!