Ketika
Abhirami Dewi dibawa keluar dari balai polis, matahari baru sahaja naik
di balik pokok kelapa. Cahaya pagi menyentuh wajahnya yang pucat, namun tidak
berjaya mengusir bayang-bayang malam yang masih melekat pada mata. Pergelangan
tangan tidak bergari. Namun, dua anggota polis berjalan rapat di kiri dan
kanan.
Di
hadapan balai, beberapa orang sudah menunggu. Ada yang datang kerana ingin
tahu. Ada yang datang kerana mahu melihat sendiri wanita yang dikatakan
membunuh suaminya. Malah, ada yang hanya mahu membawa pulang cerita untuk
dibualkan di kedai kopi pada petang nanti.
“Abhirami
membunuh Balakrishnan.”
Ayat
itu bergerak lebih cepat daripada kereta polis.
Abhirami
menundukkan kepala. Dia mendengar bunyi motosikal yang melalui jalan besar,
bunyi burung kuyil dari celah pokok mangga, serta bunyi kasut seorang
anggota polis bergesel dengan simen. Semua bunyi itu jelas. Terlalu jelas.
“Encik,
saya tak bunuh dia,” katanya perlahan.
Pegawai
penyiasat, Inspektor Suresh Menon, yang berdiri di belakang, memandang
wajah wanita muda itu. Dia sudah mendengar pengakuan—atau penafian—yang sama
sejak semalam.
“Saya
tahu awak akan kata begitu,” balas Suresh.
“Bukan
kata-kata, encik. Ini kebenaran.”
Suresh
tidak menjawab. Di dalam failnya terdapat foto mayat Balakrishnan Mudaliar
yang ditemui di mulastanam, bilik utama Kuil Dewi Abhirami. Lelaki
berumur lima puluh empat tahun itu ditemukan terbaring berhampiran pelantar
batu tempat berhala Dewi Abhirami ditempatkan.
Tiada
senjata. Tiada luka tikaman. Tiada kesan pergelutan yang jelas. Tetapi orang
mati sentiasa meninggalkan soalan. Dan kadangkala, orang yang masih hidup akan mencipta
jawapan jauh sebelum soalan selesai ditanya.
Dua
tahun sebelumnya, Abhirami belum berumur dua puluh tahun. Dia baru mencapai
usia lapan belas tahun ketika ibunya memberitahu bahawa dia akan dikahwinkan.
“Dengan
siapa?”
“Balakrishnan.”
Nama
itu sudah lama dikenalinya. Balakrishnan ialah pemberi pinjaman wang yang
datang ke rumah mereka beberapa kali. Dia tidak pernah meninggikan suara. Hakikat
itu yang membuatkan Abhirami lebih takut kepadanya. Lelaki itu selalu bercakap
perlahan; seolah-olah setiap perkataan sudah ditimbang berulang kali sebelum
keluar dari mulut.
Ayah
Abhirami pernah meminjam wang daripadanya untuk membayar kos rawatan, membaiki
rumah, dan melangsaikan beberapa hutang lama. Faedah berkembang seperti akar
pokok di bawah tanah. Apa yang pada mulanya kelihatan kecil, akhirnya menjadi
jumlah yang tidak mampu mereka bayar.
“Dia
kata, hutang akan selesai kalau engkau kahwin dengannya,” kata ibu.
Abhirami
memandang wajah wanita yang melahirkannya.
“Amma,
saya manusia, bukan—”
Ibunya
menangis. Itulah jawapan yang paling menyakitkan kerana tiada siapa mampu
memberikan jawapan yang lebih baik.
Majlis
perkahwinan berlangsung tanpa kegembiraan yang biasanya mengiringi mangalsutra,
bunga melur, dan bunyi nadaswaram. Abhirami memakai sari merah tua. Bau cendana
bercampur minyak rambut dan asap kemenyan memenuhi ruang kecil kuil.
Balakrishnan
tersenyum sepanjang upacara. Dia kelihatan seperti lelaki yang baru memperoleh
sesuatu yang sangat berharga. Abhirami pula merasakan dirinya seperti barang
yang baru selesai dipindahkan dari satu tangan ke tangan yang lain.
Selepas
berkahwin, Abhirami tinggal di sebuah rumah kecil di kawasan kuil. Kuil itu
menjadi dunia Balakrishnan. Dia bukan sahaja pemberi pinjaman wang. Dia juga
pendeta atau poosari di Kuil Dewi Abhirami serta ketua kepada pengikut
setia seorang guruji yang dikenali sebagai Maharishi Prashamsaneeji.
Di
hadapan para pengikut, Balakrishnan boleh bercakap tentang dharma, karma,
shakti, dan kuasa Dewi Abhirami dengan suara penuh karismatik yang
membuatkan orang tunduk mendengar. … (bersambung)
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal
manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya
Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di
mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!