Thursday, 26 May 2011

Reaksi: Pukul Pelajar dengan Kasut

Selepas menyiarkan berita di blog saya pada 21 Mei 2011 mengenai insiden seorang pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam dipukul guru menggunakan kasut – BACA DI SINI – saya cuba mendapatkan pandangan rakan-rakan di laman rangkaian sosial Facebook.

Saya memuatkan pautan berita itu dan bertanya soalan: “Jika anda berada di tempat pengetua berkenaan, apa yang mungkin telah anda lakukan?” (If you were the headmistress, what would you have done?)


Nahur Kamel Omar, pengarah WoMen Attitude menjawab dengan pertanyaan, “Apakah saya akan sanggup memukul anak saya sendiri dengan kasut?” Seterusnya, bekas pelajar Sekolah Menengan Jalan San Peng, Kuala Lumpur itu memberikan pandangan bahawa untuk menghukum menggunakan rotan pun tidak boleh dilakukan sesuka hati, sebaliknya perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan.


Graduan TG Singapore Herrior Wat University, Krishna Murthi Arumugam pula ternyata kecewa kerana guru berkenaan tidak bersikap profesional dalam tindakannya memukul seorang pelajar menggunakan kasut. Beliau tertanya-tanya “bagaimana kasut seorang guru boleh ‘didedikasikan’ kepada pelajar” dengan memukul pelajar menggunakan kasut itu.


Rusdy Razak, seorang eksekutif dari Proton (Engineering Services) mencadangkan supaya “ibu bapa perlu menghadiahkan rotan kepada guru-guru sebagai simbolik bagi mendidik anak-anak dengan rotan”.


Bagi Aiza Az pula, sekiranya beliau berada di tempat pengetua berkenaan, beliau akan memberi jaminan kepada ibu bapa/penjaga bahawa kes itu akan disiasat; serta memastikan siasatan penuh dilakukan. Sementara itu, semua pihak terbabit perlu bersetuju agar isu berkenaan tidak disebarkan kepada umum.


Aiza Az juga mengingatkan bahawa pengetua perlu bersikap neutral dan tidak memihak kepada sesiapa (guru/pelajar) semasa siasatan penuh dilakukan.


Katanya lagi, jika terbukti pelajar yang bersalah kerana memprovokasi guru sehingga bertindak demikian, kedua-dua pihak (guru dan pelajar terbabit) tetap perlu dikenakan tindakan. Iaitu si pelajar kerana kesalahannya memprovokasi guru, dan si guru kerana tindakannya memukul pelajar dengan kasut.


“Saya selaku pengetua juga akan menjelaskan kepada kedua-dua pihak cara bagaimana situasi provokasi itu sepatutnya boleh ditangani secara profesional, selain memastikan perkara sama tidak berulang,” kata Aiza Az lagi.


Nizha Periaswamy pula berpendapat bahawa walaupun mungkin si pelajar bersalah menimbulkan kemarahan guru, sukar untuk menerima tindakan si guru memukul si pelajar menggunakan kasut. Maka, katanya, tindakan wajar perlu diambil ke atas guru berkenaan.


Wartawan itu juga mengulas lanjut bahawa sekiranya pelajar didapati bersalah, maka dia juga perlu dikenakan tindakan sewajarnya. Malah, ibu bapa/penjaga perlu dipanggil ke sekolah untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Hal ini penting supaya ibu bapa/penjaga mendapat gambaran dan maklumat sebenar.


Bagi Poh Wee Chern dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)pula, jika beliau berada di tempat pengetua berkenaan, maka beliau akan memanggil guru dan pelajar terbabit secara berasingan untuk bertanya apa yang sebenarnya berlaku. Beliau juga akan memanggil pelajar dari kelas berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mereka mengenai insiden yang berlaku.


Ibnu Waled dari Teluk Intan, Perak berpendirian bahawa “pengetua sekolah harus mengadakan siasatan dalaman yang diketuai oleh guru kanan dan guru disiplin. Laporan mesti telus supaya tindakan susulan boleh diambil terhadap guru yang terlibat dan pelajar berkenaan jika didapati bersalah”.


Subramaniam Mastro pula mengatakan bahawa sekiranya insiden seperti itu berlaku di sekolah beliau, tentu pengetua sekolahnya sudah “bagi surat berhenti kepada cikgu itu. ... Tak layak untuk menjadi seorang cikgu”.


Pelajar dari Johor Bahru itu juga merasakan bahawa isu lebih besar adalah berkaitan pengetua dan disiplin. Katanya, “sekolah yang ada pengetua tegas, benda (insiden) ini tidak mungkin berlaku.”


Kesemua pandangan ini saya paparkan di blog supaya boleh menjadi panduan kepada semua: pengetua, guru, pelajar, ibu bapa, penjaga dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!