25 May 2011

Kertas Cadangan ‘Panchayat: Edisi Khas’

Pengenalan

Manuskrip novel Panchayat dihasilkan pada tahun 1994 tetapi hanya terbit pada tahun 2002. Novel berkenaan diterbitkan oleh Uthaya Sankar SB (Identiti Penerbit: 405620) dalam jumlah terhad iaitu 1,000 naskhah serta sudah habis dijual dan diedarkan secara percuma kepada orang ramai, khususnya melalui aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).


Kandungan


Novel Panchayat (2002) mengetengahkan kisah masyarakat India di sebuah tempat bernama Kubur Gajah di Perak pada tahun 1960. Novel ini mengungkapkan budaya, pemikiran, adat, agama, kepercayaan, cara hidup dan amalan masyarakat India di Malaysia serta hubungan mereka dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Konsep perpaduan, persefahaman, kerjasama, tolong-menolong, saling memahami dan menghormati terpancar melalui kisah yang diceritakan dalam Panchayat. Watak-watak utama adalah individu kaum India seperti Raja, Ramani, Revathi, Malliga, Senthamarei dan Sitambaram; tetapi watak-watak kaum lain turut diberi peranan penting mengikut keperluan dan kesesuaian. Ringkasnya, novel ini amat sesuai dijadikan bahan bacaan oleh khalayak pelbagai kaum dan agama di Malaysia ke arah lebih memahami aspirasi kaum India di negara ini.


Edisi Khas


Novel Panchayat: Edisi Khas (ISBN: 978-983-40562-6-1) merupakan edisi “dimurnikan” daripada novel Panchayat (2002). Penyuntingan dan pemurnian dilakukan oleh Editor Bersekutu yang terdiri daripada Jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan membaiki segala kelemahan, kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan pembetulan maklumat ke arah menyajikan sebuah karya sastera yang lebih bermutu kepada khalayak pelbagai kaum dan agama di Malaysia. [BACA LAGI]


Rasional Penerbitan


Penerbitan novel Panchayat: Edisi Khas selaras dengan usaha menambah bahan bacaan sastera Bahasa Malaysia yang dihasilkan pengarang kaum India serta secara dominan menggambarkan budaya, pemikiran, adat, agama, kepercayaan, cara hidup dan amalan masyarakat India di Malaysia serta hubungan mereka dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama.


Pengarang


Uthaya Sankar SB lahir, membesar dan mendapat pendidikan awal di Taiping, Perak, sebelum berpindah ke Selangor. Cerpen-cerpen beliau pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil. [BACA LAGI]


Penerbit dan Pengedar


Novel Panchayat: Edisi Khas akan diterbitkan oleh Uthaya Sankar SB (Identiti Penerbit: 405620) dan akan diedarkan khususnya melalui Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Nombor Pendaftaran: SA0184670-H).


Kulit Buku


Kulit depan dan belakang (blurb) dengan rekaan baru akan disediakan bagi edisi khas ini. Bahagian ini akan diuruskan oleh Editor Bersekutu dan pengarang. Judul Panchayat: Edisi Khas, Novel Bahasa Malaysia, nama pengarang dan sebagainya pada kulit depan.


Kata-kata Aluan


Ruangan ini diberi khas kepada mana-mana tokoh/individu yang sedia memberi sumbangan tertinggi bagi menampung kos menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas.


Pendahuluan


Ruangan ini diberi khas kepada mana-mana tokoh/individu yang sedia memberi sumbangan kedua tertinggi bagi menampung kos menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas.


Pengenalan


Ruangan ini diberi khas kepada mana-mana tokoh/individu yang sedia memberi sumbangan ketiga tertinggi bagi menampung kos menerbitkan novel Panchayat: Edisi Khas.


Prakata


Bahagian “Catatan Pengarang” oleh Uthaya Sankar SB dalam Panchayat (2002) akan dikemas kini bagi Panchayat: Edisi Khas.


Tinta Pujangga


Dicadangkan supaya memuatkan kata-kata rangsangan daripada Sasterawan Negara Datuk A Samad Said selaku Penasihat Agung Kavyan.


Pengantar


Himpunan pandangan beberapa individu tertentu yang sudah membaca novel Panchayat (2002). Panjang setiap pandangan adalah sekitar 50-100 patah perkataan sahaja; seperti yang terdapat dalam kumpulan cerpen Kathakali (2009).


Panchayat


Novel Panchayat: Edisi Khas yang terdiri daripada 18 bab.


Glosari


Penerangan mengenai istilah/frasa/konsep tertentu dalam novel Panchayat: Edisi Khas; meliputi frasa/istilah/konsep baru, jarang digunakan atau khusus; serta penjelasan lanjut bagi membantu pemahaman pembaca.


Wawancara


Wawancara yang dilakukan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad untuk siaran webzine SuaraAnum.Com (1 Februari 2002) akan disunting dan dimuatkan semula pada bahagian ini bagi membantu pemahaman pembaca mengenai proses penghasilan novel Panchayat (2002).


Ulasan Novel


Ulasan yang ditulis oleh Retna Devi Balan dan disiarkan di majalah Tunas Cipta (Mac 2004) akan disunting dan dimuatkan semula pada bahagian ini bagi membantu pemahaman pembaca terhadap kandungan kisah dalam novel ini.


Komen


Bahagian ini memuatkan komen ringkas pembaca, pengkritik, wartawan dan pengulas mengenai karya-karya lain oleh Uthaya Sankar SB bagi membantu pembaca generasi muda mengenali karya-karya pengarang ini.


Biodata Pengarang


Biodata terkini Uthaya Sankar SB akan dimuatkan bersama-sama foto untuk membantu pembaca mengenai pengarang secara lebih dekat. Turut dimuatkan pautan blog, Facebook dan alamat e-mel.

Catatan Tambahan

Novel Panchayat: Edisi Khas disiarkan secara bersiri di portal berita Free Malaysia Today bermula 5 Jun 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat mengenainya.