Semasa kunjungan ke Kota Bharu pada 11-14
Mac 2012, saya sempat berbual-bual bersama-sama Haslini Hussain, Penghulu Wanita Parlimen Kota Bharu; Yatie Ahamd, Pegawai Pembangunan
Armalah DUN Tanjong Mas; dan Mahani Haji
Ali, tenaga pengajar kelas menjahit di Pusat Pembangunan Wanita Kelantan
(PPWK) DUN Tanjong Mas.
Turut terlibat dalam perbualan kami ialah Nur Hidayah dari Yayasan Kebajikan
Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim). Beliau juga menjadi pengurus aktiviti bagi
saya, Rohani Deraman dari Johor
Bahru, Zainab Ngah (Kuala
Terengganu) serta pasangan suami-isteri Zamri
Mohd Daud dan Roshidayu Che Mat
(Shah Alam).
Saya antara lain mendapat maklumat mengenai
Takaful Armalah yang ditubuhkan khas untuk membantu golongan ibu tunggal
(armalah) dan anak-anak mereka yang mengalami kemalangan, kematian atau
kecacatan kekal.
Dasar Wanita Negeri digubal bagi membina
kemuliaan wanita melalui pengukuhan akhlak dan moral. Hal ini pasti sahaja
selaras dengan ajaran agama dan seharusnya disokong penuh oleh semua.
Melalui dasar ini, golongan wanita
digalakkan terlibat sama dalam pembangunan negeri dengan cara mengintegrasikan
tenaga wanita secara adil dan bersesuaian mengikut batas syarak dalam semua
sektor, selain meningkatkan suara wanita dalam masyarakat.
Golongan wanita yang berkelayakan juga
dilantik sebagai penghulu bagi memudahkan penyaluran maklumat dan menangani
urusan melibatkan golongan itu. Secara tidak langsung, langkah ini memberi
peranan dan tanggungjawab penting secara menyeluruh kepada kaum wanita dalam
pelbagai urusan demi kepentingan masyarakat secara amnya.
Skim bantuan bagi pesakit kronik dan
golongan kurang upaya (OKU) juga disediakan. Bagi OKU, bantuan diberi untuk
membolehkan mereka berdikari dan berkerjaya mengikut kemampuan dan kelayakan
yang dimiliki.
Kita tentu sudah biasa dengan Sistem
Ar-Rahn iaitu pajak gadai Islam yang tidak melibatkan riba. Rupa-rupanya,
sistem berkenaan mula-mula diperkenalkan di negeri Kelantan sebelum mula
digunapakai di seluruh negara.
Sejak Oktober 1990, semua akaun kerajaan
negeri dipindahkan ke bank yang beroperasi menurut syariat Islam dan tidak
mengenakan riba. Tentu sahaja kini sistem perbankan Islam sudah terkenal dan
diterima semua lapisan masyarakat di seluruh negara.
Arak tidak dibenarkan dijual di kedai
makan, restoran, hotel dan tempat awam sejak 1993. Perkara ini juga sering
diungkit-ungkitkan pihak tertentu untuk mempengaruhi masyarakat Bukan Islam.
Apa yang lupa dinyatakan “penyebar berita” adalah bahawa masyarakat Bukan Islam
masih berhak minum arak di rumah sendiri atau di tempat-tempat yang tidak
diwartakan sebagai tempat awam.
Premis-premis perjudian sudah ditutup sejak
1990. Kerajaan negeri yang ditadbir ulama juga tidak mengeluarkan lesen bagi
pusat hiburan seperti disko dan kelab malam.
Rata-rata orang ramai yang saya temui tidak
pula merungut atau merasakan tindakan tegas itu sebagai membebankan atau
mendatangkan kerugian. Sebaliknya, mereka menyokong usaha positif yang
sebenarnya membantu membendung pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum dan agama.
Kedai gunting uniseks tidak kelihatan di
Kelantan. Pada semua majlis, tempat duduk diasingkan antara lelaki dan wanita.
Perkara ini, pada saya tidaklah membebankan atau mendatangkan kerugian kepada
sesiapa. Cuma pihak yang mahu membuat onar akan sengaja mencari alasan untuk
mengkritik peraturan ini.
Terdapat banyak pasar raya di Kelantan dan
beberapa lagi akan dibuka dalam masa terdekat. Suatu perkara yang menarik
perhatian saya adalah wujudnya kaunter berasingan bagi pelanggan lelaki dan
wanita. Bagi mereka yang datang bersama anak-anak, ada pula kaunter keluarga.
Urusniaga juga dihentikan di semua kaunter
semasa azan berkumandang. Langkah ini amat baik kerana secara langsung mendidik
orang ramai (tanpa mengira agama) menghormati azan. Malah, bukankah
“menghormati azan” memang perkara baik dan sedia membudaya dalam kalangan
rakyat Malaysia?
Urusan perniagaan turut dihentikan pada
waktu solat Maghrib. Pertama, waktu solat Maghrib singkat waktunya sebelum
masuk waktu solat Isyak. Kedua, waktu Maghrib tidak sesuai untuk urusan
jual-beli.
Satu lagi perkara yang menarik perhatian
saya adalah usaha berterusan dan serius dalam memartabatkan tulisan Jawi pada
semua papan tanda perniagaan dan papan iklan di Kelantan. Sementara kempen
seumpama itu kurang diberi komitmen penuh dan berterusan di tempat-tempat lain,
Kelantan mampu melaksanakannya dengan penuh jaya.
Pelantikan wakil kaum Cina, India dan Siam
juga dilakukan untuk memegang jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Mereka
berpeluang bersuara mewakili kelompok masing-masing bagi memastikan kepentingan
semua kaum tidak dilupakan dalam segala keputusan peringkat majlis daerah dan
perbandaran.
Penghulu tanpa mukim juga dilantik daripada
kalangan kaum Cina, India, Siam dan Orang Asli. Langkah ini bagi meningkatkan
kerjasama dan perpaduan antara kaum. Selain itu, langkah bijak berkenaan turut memudahkan
kelompok minoriti menyalurkan maklumat dan aduan kepada kerajaan negeri.
Suatu lagi perkara yang menarik adalah
penyertaan golongan Bukan Islam untuk sama-sama terlibat dalam majlis kebesaran
Islam dan program rasmi kerajaan negeri. Realiti ini membuktikan perpaduan,
persefahaman dan kerjasama sejati dalam kalangan masyarakat sambil masing-masing
mengekalkan jatidiri dan budaya yang menjadi pegangan sejak turun-temurun.
Prasert
Chaipradit yang berasal dari Tumpat mengakui bahawa
mana-mana kaum dan agama di Kelantan tidak pernah disekat atau dihalang
daripada mengekalkan adat dan budaya masing-masing.
“Masyarakat keturunan Siam Kelantan tidak
pernah mengalami masalah untuk hidup bersama masyarakat Melayu-Islam. Kami
bebas mengamalkan agama kami tanpa sebarang gangguan. Perayaan agama dan pesta
adat budaya dapat diadakan tanpa halangan.
“Hari Wesak, Pesta Loy Krathong dan Pesta
Songkran disambut secara besar-besaran setiap tahun. Malah, kerajaan negeri
turut memberikan bantuan kewangan bagi mengendalikan kelas bahasa ibunda yang
diadakan di wat Siam,” kata Prasert yang kini tinggal di Ampang.
Semangat bertolak-ansur dan saling
menghormati juga jelas terpancar di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati yang menjadi
lokasi Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) menyampaikan kuliah pada setiap Jumaat.
Jalan Dato’ Pati bersimpang
dengan Jalan Suara Muda di mana terdapat Pasar Pokok Pinang yang menjadi lokasi
perniagaan kaum Cina sejak puluhan tahun dahulu. Selain menjual ikan,
sayur-sayuran dan barangan dapur, peniaga di situ juga menjual daging babi.
Masyarakat Melayu-Islam
tidak membantah jualan itu; sebaliknya menghormati budaya dan keperluan kaum
Cina. Lebih menarik adalah bahawa stesen kereta sewa terletak tidak jauh dari
pasar berkenaan dan menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum dan agama saban
hari.
Kalau mahu dijadikan
isu, pasti boleh. Kalau mahu dipolitikkan pun tentu boleh. Malah, boleh juga
dijadikan bahan untuk mencetuskan api perkauman serta merenggangkan hubungan
antara agama. Namun, sebaliknya yang berlaku di Kelantan. Perbezaan dijadikan
“modal” dan “komoditi” untuk meningkatkan persefahaman, perpaduan dan semangat
saling menghormati.
Ringkasnya, ada pelbagai kehebatan di
Kelantan yang wajar dipelajari dan dicontohi oleh negeri-negeri lain di
Malaysia; termasuk oleh Putrajaya. Buatlah rombongan sambil belajar ke sana
sempena “Tahun Melawat Kelantan 2012”.
Maghi Melawat Kelate! Janganlah semata-mata
kerana perbezaan fahaman politik dan ego yang melangit, maka perkara-perkara
baik yang ada pada “lawan” tidak mahu diperakukan. Akhirnya kita sendiri yang
rugi dan menyesal tak sudah di kemudian hari.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 4 & 11 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 April
2012. Sila baca juga: Kelantan yang Menakjubkan)