Thursday, 20 January 2011

Noli Me Tangere

Yang Arif,

Pertama sekali, saya meminta maaf kerana memulakan bicara ini dengan memetik judul buku Bahasa Sepanyol tulisan Jose Rizal, Noli Me Tangere (1887). Saya tidak bermaksud mempersenda kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Saya juga tidak bermaksud merendahkan kedudukan karya-karya (khasnya novel) yang dihasilkan pengarang tempatan (khususnya Sasterawan Negara).


Sebenarnya, saya mahu berhujah meminta supaya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) tidak diheret masuk dan dikaitkan oleh mana-mana pihak dalam kontroversi novel Interlok (edisi murid) yang menjadi topik perbicaraan.


Hakikat yang perlu diterima adalah bahawa Pak Lah ialah pengarang novel Interlok yang terbit pertama kali pada 1971, sebelum diterbitkan semula dalam ‘edisi diperbaiki’ pada 1973. Seterusnya, novel berkenaan diterbitkan beberapa kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Yang Arif,


Seperti yang sudah disebutkan dalam kenyataan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sebelum ini serta dilaporkan di beberapa media tempatan, perbuatan mana-mana pihak cuba melibatkan Pak Lah dalam kontroversi ini adalah tidak betul, tidak patut dan tidak wajar. Malah, boleh ditakrifkan sebagai ‘berniat jahat’. Perbuatan seperti membakar gambar Pak Lah, menggunakan frasa ‘sasterawan bodoh’ serta tampil atas nama mahu memperjuangkan hak Pak Lah sebagai pengarang Interlok adalah secara langsung dan tidak langsung perbuatan mengheret pihak yang tidak bersalah (Pak Lah) ke dalam kontroversi yang wujud (Interlok edisi murid).


Laporan di beberapa media membuktikan trauma yang terpaksa dialami serta ditanggung Pak Lah – khususnya berikutan tindakan sekumpulan penduduk yang dilaporkan membakar buku Interlok edisi murid dan gambar Pak Lah di Klang pada 8 Januari 2011 – seperti sudah dihujahkan pihak yang kononnya tampil ‘membela’ Pak Lah dan novelnya.


Laporan di beberapa akhbar dan media lain juga memberikan bukti nyata mengenai ‘kedukaan’ yang terpaksa ditanggung Pak Lah berikutan kontroversi ini. Misalnya, isteri beliau, Saroja (atau disebut sebagai Siti Saroja pada halaman dedikasi novel edisi murid) mengakui kepada wartawan bahawa sejak kontroversi ini timbul, Pak Lah bagaikan ‘terpenjara’ di dalam rumah. Malah, beliau (Saroja) terpaksa memberikan ubat tidur untuk membantu Pak Lah lena. Luahan perasaan Pak Lah sendiri turut diceritakan kepada wartawan; walaupun beliau hanya mampu menuliskan jawapan pada helaian kertas.


Yang Arif,


Ternyata, segala perbuatan ini hanya menambah tekanan dan trauma yang sudah sedia dialami Pak Lah yang kini berumur 91 tahun, berkerusi roda dan dilaporkan uzur. Semua ini berlaku berikutan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengheret dan menyeret individu yang tidak bersalah (Pak Lah) ke dalam kancah kontroversi Interlok edisi murid. Namun, saya akui, adalah bersifat subjudis (sub judice) untuk mengatakan pihak berkenaan ‘berniat jahat’ serta cuba menangguk di air keruh.


Usaha wartawan mendapatkan maklumat daripada Pak Lah serta usaha meminta reaksi Pak Lah terhadap segala kontroversi ini sebenarnya lebih banyak mendatangkan risiko kepada diri Pak Lah sendiri. Pada usia lebih 90 tahun, Pak Lah ‘dipaksa’ menjawab pertanyaan pemberita, sehingga ke tahap Pak Lah yang uzur terpaksa mengemukakan jawapan secara bertulis.


Liputan media juga membawa kepada situasi di mana Pak Lah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ‘ikut Mahatma Gandhi’. Kenyataan yang disiarkan di media membuka ruang dan peluang kepada khalayak untuk membandingkan Gandhi dengan kandungan serta paparan dalam Interlok edisi murid.


Umum mengetahui bahawa Gandhi mementingkan kemanusiaan serta menggunakan istilah ‘Harijan’ (Children of God) apabila merujuk kepada golongan yang dipinggirkan; atau golongan yang digelar ‘paria’ dalam novel Interlok edisi murid.


Perbuatan mengheret individu yang tidak bersalah (Pak Lah) ke dalam kontroversi ini perlu dihentikan segera kerana ternyata mampu meletakkan Pak Lah dalam keadaan berisiko secara fizikal, emosi, kesihatan dan mental.


Yang Arif, saya meminta izin untuk menyambung hujah ini esok.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di FreeMalaysiaToday pada 19 Januari 2011 sebelum disiarkan di blog Uthaya Sankar SB pada 20 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk sedikit maklumat penting.)

1 comment:

  1. tahniah, hujahan yang bernas dan bermutu..sudah lama tak ketemu dan merindui tulisan tuan...

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!