Saya selesai membaca novel The Ghost (2007) karya Robert Harris pada Jun 2010 tetapi kisah itu masih “bermain” dalam ingatan saya.
Khususnya apabila baru-baru ini saya berpeluang menonton filem The Special Relationship (2010) yang berkisar tentang hubungan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair dari 1992 hingga 2001.
Saya belum pernah mendengar nama pengarang Robert Harris yang sebenarnya sudah menghasilkan empat novel sebelum ini (Fatherland, Enigma, Archangel dan Pompeii); malah beliau sudah menghasilkan lima buku non-fiksyen sebelum itu.
Terus terang, saya tertarik melihat kulit buku The Ghost. Apa yang saya baca pada blurb buku berkenaan membuatkan saya terus mahu memiliki dan membaca novel itu; apatah lagi harganya amat tidak wajar – hanya RM9.90 di BookXcess, AmCorp Mall, Petaling Jaya.
Robert Harris ternyata bijak menulis. Perenggan pertama pada bab pertama sudah mampu memancing pembaca yang amat cerewet seperti saya untuk meneruskan pembacaan hingga ke akhir novel.
Apabila selesai membaca novel berkenaan dalam masa beberapa hari, barulah saya sedar bahawa saya telah mengikuti kisah seorang individu (watak utama) yang langsung tidak dinyatakan namanya!
Kisahnya mengenai seorang bekas Perdana Menteri Britain yang diberi nama Adam Lang – dan ternyata mempunyai terlalu banyak persamaan dengan kisah Tony Blair yang meletak jawatan pada 2007.
Malah, sebaik insiden peletakan jawatan itu berlaku, Robert Harris memulakan penulisan novel ini yang “meminjam” banyak kisah sebenar; sekali gus menjadikannya sebuah faksyen.
Novel The Ghost boleh dianggap sebagai “teks wajib” bagi pemerhati politik, penulis dan peminat thriller bermutu. Malah, sambil membaca novel ini, saya membandingkan pula dengan senario politik “Big Momma” di sebuah negara yang tidak dapat saya dedahkan namanya di sini.
Selesai membaca novel berkenaan, saya mendapat kejutan yang menggembirakan apabila mendapat tahu bahawa novel The Ghost (2007) sudah dijadikan filem dengan judul The Ghost Writer (2010); lakonan Ewan McGregor (Ghost Writer), Pierce Brosnan (Adam Lang), Olivia Williams (Ruth Lang) dan Kim Cattrall (Amelia Bly).
Bagaimanapun, saya yakin bahawa “kehebatan” novel The Ghost tidak dapat diterjemahkan sepenuhnya ke dalam filem, walaupun lakon layar ditulis oleh Robert Harris bersama pengarah hebat, Roman Polanski.
Kewujudan novel The Ghost dalam bentuk bercetak (buku) memberi nilai tersendiri kepada unsur kejutan yang terkandung di dalamnya. Mungkin juga dua bab terakhir novel itu masih boleh diterjemahkan ke dalam visual (filem) tetapi pasti akan “terlalu cair”.
Malah, saya yakin, bahagian akhir dalam novel pasti diubah dalam versi filem yang diterbitkan dengan judul The Ghost Writer di Amerika Syarikat dan The Ghost di Britain. Anti-klimaks, bukan?
Dalam pada berasa amat gembira kerana akan berpeluang menonton versi filem selepas menikmati versi bertulis, tidak dapat tidak, saya pesimistik terhadap kemampuan filem itu nanti mengungkapkan apa yang terkandung dalam versi novel; khususnya dua bab terakhir.
Ya, benar. Pada Januari 2010, Tun Mahathir Mohamad ada berkata bahawa sekiranya Amerika Syarikat mampu menghasilkan filem Avatar (2009), maka negara itu juga mampu “menghasilkan” pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.
Namun, saya masih pesimistik terhadap kemampuan pembikin filem Hollywood menampilkan sekurang-kurangnya dua adegan The Ghost (versi novel) yang mampu saya visualkan dalam minda.
Pertama, adegan Adam Lang turun dari jet peribadi dan seorang individu (saya rahsiakan jantina dan identiti watak itu) meletupkan dirinya.
Kedua, bab terakhir novel yang tentu tidak akan sama dalam versi filem; kerana amat berkait dengan bahan bercetak. Kisah dalam bab akhir itu juga saya rahsiakan kerana tidak mahu “membunuh” pengalaman/keseronokan membaca orang lain.
Tanggapan saya ternyata benar. Apabila selesai menonton filem The Ghost Writer (2010) pada Julai 2010, saya tetap memilih versi novel kerana lebih mencabar minda dan memberi kepuasan intelek.
Filem The Ghost Writer berakhir dengan gaya konvensional sedangkan novel The Ghost membawa kejutan luar biasa yang akan terus menghantui pembaca; sekurang-kurangnya selama dua tahun dalam kes saya.
Suatu unsur penting dalam versi novel yang dikekalkan dalam versi filem adalah hakikat bahawa watak utama – the ghostwriter (sang penulis bayangan) – tidak dinyatakan namanya.
Cadangan saya: Tonton versi filem dan kemudian baca versi novel. Jangan lakukan sebaliknya dan menyesal sepanjang hayat.
(Uthaya Sankar SB belajar seni pengarahan filem daripada Allahyarham Dr Anuar Nor Arai dan seni penulisan novel daripada Sasterawan Negara Allahyarham Dr S. Othman Kelantan di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Ulasan buku ini ditulis berdasarkan beberapa catatan awal di blog dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 24 Februari 2012. © Uthaya Sankar SB. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)