Suatu perkara yang sepatutnya (ulang: sepatutnya) sudah diketahui masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini adalah bahawa kaum India beragama Hindu tidak makan daging lembu.
Bagi sesiapa yang mengambil ikhtiar untuk bertanya, maka biasanya akan diberikan jawapan paling mudah iaitu bahawa lembu dianggap binatang suci dalam agama Hindu.
Alasan sebenar orang India tidak memakan daging lembu adalah berasaskan budaya dan kepercayaan tradisional; bukan berikutan tuntutan agama semata-mata.
Kaum India-Hindu di serata dunia mempercayai bahawa lembu adalah anugerah Tuhan kepada umat manusia, lalu kurniaan istimewa itu perlu dihargai.
Sekadar contoh mudah, apabila melihat anaknya kelaparan, lembu betina akan segera bergegas mendapatkan si anak untuk menyusukannya.
Begitulah dibandingkan dewa-dewi dalam konsep agama Hindu yang datang segera untuk membantu insan yang memerlukan bantuan.
Dalam kepercayaan kaum India, lembu juga dikatakan sama seperti Bumi; dengan erti kata, sanggup menanggung sesiapa sahaja yang bergantung hidup padanya.
Sebab itulah juga lembu dianggap sebagai “ibu” kerana Bumi, ibu dan lembu dikatakan mempunyai persamaan dari segi kesanggupan berkorban dan menanggung derita demi “anak-anak”. ... Bersambung di Malaiur Manikam
(© Uthaya Sankar SB. Artikel ini ditulis semula berdasarkan sebuah makalah yang pernah dihasilkan untuk majalah Dewan Budaya, Mei 2004 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 Disember 2011. Artikel ini antara yang paling banyak dikongsi – “share” – di Facebook pada tarikh berkenaan oleh rakan-rakan pelbagai kaum sebagai usaha memupuk persefahaman antara kaum/agama. Makalah penuh boleh dibaca dalam buku Malaiur Manikam. Nota: Logo Mandala Bicara mula digunakan pada 5 Disember 2011.)