“Berbulan madu di Pulau Cinta?” Tanyaku kepada abang ipar yang menawarkan pakej berkenaan sebagai hadiah perkahwinan kami.
“Ya. Kamu terus masuk kerja dua hari selepas tarikh perkahwinan hingga tidak sempat berbulan madu. Jadi, nah! Ini peluang untuk kamu,” katanya sebelum berbisik kepadaku: “Belum terlambat. Baru dua minggu berkahwin. ...”
Isteriku menerima sahaja hadiah daripada abangnya. Cuma, dia mengingatkan aku agar tidak membawa bersama-sama kerja penulisanku sewaktu berbulan madu di Pulau Cinta.
“Dan jangan jadikan ini bahan bagi karya abang,” katanya sambil memicit-micit tengkukku.
(Aku tidak pasti adakah dia benar-benar tidak mahu aku mengabadikan pengalaman kami di Pulau Cinta dalam bentuk karya atau dia sebenarnya sedang merangsangkan aku agar berbuat demikian!)
Perjalanan kami diatur penuh teliti oleh agensi tempat abang ipar aku bekerja. Dari halaman rumah kami di Klang, kami diterbangkan di dalam sebuah helikopter ke Pulau Kelang.
Dari sana, kami berlayar menggunakan sebuah bot kecil menuju ke destinasi.
“Kau yakin abang kau tidak cuba mempermainkan kita?” Tanyaku setelah beberapa minit kami berlayar tanpa menemui pulau yang kononnya terletak di antara Pulau Kelang dan Pulau Ketam.
Isteriku tidak menjawab sehinggalah kami sampai di pangkalan sebuah pulau. Dari sana, kami dijemput masuk ke sebuah kereta Proton Satria berwarna kuning.
“Inilah Pulau Cinta,” kata isteriku dengan penuh ceria; mungkin sebagai menjawab pertanyaanku semasa di dalam bot tadi.
Pulau ini tidak luas. Pangkalan tempat kami berlabuh tadi terletak di bahagian timur. Jauh ke barat kelihatan sebuah bukit. Di puncaknya sebuah istana.
“Istana!”
“Milik Ravana,” pemandu kereta menerangkan.
Kami – aku dan isteriku – berpandangan.
Kereta berhenti di simpang empat yang agak sesak dengan kenderaan. Tiada lampu isyarat (tidaklah menghairankan).
Kenderaan di keempat-empat jalan yang bertemu di simpang itu berhenti; membiarkan ruang tengah kosong. Beberapa orang lelaki berpakaian seragam kuning berdiri di simpang sambil mendepa tangan; menghalang semua kenderaan.
“Mengapa? Ada perarakan?”
“Raja Ravana mahu berangkat, tuan.”
Aku terpinga-pinga mendengar jawapan itu. Aku perhatikan bahawa isteriku sedang memandangku dengan reaksi sama.
“Ravana yang mana?”
Pemandu berkulit jingga itu memandang isteriku.
“Raja Ravana, pengasas pulau ini. Baginda yang membuka pulau ini. Tuan tahu asal-usul pulau ini, bukan?”
“Menurut cerita, seorang putera raja dari tanah besar membangkitkannya dari dasar laut bagi membuktikan cintanya terhadap seorang puteri,” kataku sebagai mengulang apa yang pernah aku baca dalam sebuah buku.
“Ya. Dan Raja Ravana pernah menyembunyikan Sita di istana itu,” pemandu itu bersungguh-sungguh menceritakan sambil menudingi istana di atas bukit di hadapan sana sebelum menghulurkan sekeping brosur kepadaku. “Tuan tak baca lagi penerangan di dalam ini?”
Antara percaya dan tidak, aku mencapai brosur itu dan melihat peta di bahagian hadapan.
Di bahagian selatan pulau tertera gambar sebuah hotel empat bintang. Di bahagian utara pulau pula tertulis “Pejabat Jemaah Pemerintah”. Selebihnya adalah kawasan paya dan kawasan perumahan.
Istana di atas bukit, kawasan pejabat, hotel empat bintang dan pelabuhan disambung oleh satu rangkaian jalan raya dua hala yang agak sempit dan bersimpang di tempat kami berada sekarang.
Segera aku mengeluarkan buku catatan untuk melakar peta dan membuat nota berhubung mitos Pulau Cinta.
“Abang!” Isteriku mengeluh.
“Sorry, sayang. ...”
“Tuan simpanlah brosur itu; tidak perlu menyalin semula,” sampuk si pemandu; mungkin untuk menyelamatkan keadaan.
Isteriku berpura-pura merajuk (aku sudah faham akan sikapnya yang ini!) sewaktu aku senyum ke arahnya.
“Itu pun Raja Ravana!”
Kami menjenguk keluar ke arah simpang di hadapan. Sebuah rata berkuda empat sedang menghampiri simpang dari arah istana di atas bukit.
“Ravanakah itu?” Tanya isteriku sebelum aku sempat bertanya soalan yang hampir sama. “Mengapa tidak berkepala sepuluh?”
“Syy! Jangan sampai para pegawai berpakaian kuning itu dengar kata-kata ini.”
“Tapi bukankah Ravana berkepala sepuluh?” Tanyaku dengan suara berbisik sambil meneliti penerangan pada brosur.
Pemandu berwajah jingga itu memandangku dengan gelisah.
(Petikan cerpen “Sengketa Pulau Cinta” karya dan © Uthaya Sankar SB. Cerpen ini disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 23 April 1995 sebelum turut dimuatkan dengan judul “Menyimpang” dalam Siru Kambam. Cerpen ini mungkin merupakan sebuah storyless short story kecualilah jika pembaca berupaya menangkap makna-makna yang tersirat di sebalik yang tersurat. Sila KLIK DI SINI untuk melihat senarai cerpen yang lengkap. Sedikit maklumat Pulau Cinta DI SINI.)