Pengarang: Malkiat Singh Lopo
Penerbit: Lopo-Ghar, Seberang Jaya
Tahun terbit: 2006
Kekeliruan masih wujud dalam menentukan identiti masyarakat keturunan Punjabi di negara ini. Sering kali, media dan politikus menyebut kelompok ini sebagai “kaum Sikh” tanpa mampu membezakan antara “kaum”, “keturunan” dan “agama”.
Malah, di Malaysia, kelompok Punjabi sering digelar “Benggali”. Amalan ini ada kaitan dengan sejarah kedatangan masyarakat Punjabi dari Punjab, India yang dikumpulkan di Benggala (Bangladesh) sebelum dibawa ke Tanah Melayu pada zaman dahulu.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa Tanah Melayu adalah negara pertama yang dituju oleh masyarakat Punjabi beragama Sikh apabila mereka berhijrah mencari pekerjaan di luar negara bermula tahun 1850-an.
Novel The Enchanting Prison: Punjabi Pioneers in Malaya tulisan Malkiat Sigh Lopo merakamkan segala kisah dan pengalaman ini secara teliti dan menarik.
Beliau lahir di Rawang, Selangor pada 1942 dan berpengalaman menjadi guru lebih 30 tahun.
Maklumat dalam novel itu menyebut bahawa Malkiat giat melakukan kajian dan menulis artikel mengenai masyarakat Punjabi-Sikh serta hasil tulisan beliau pernah tersiar di akhbar Bahasa Inggeris dan Punjabi.
Saya pertama kali menerima senaskhah novel The Enchanting Prison pada 7 Mei 2007 daripada seorang individu bernama Paguman Singh @ Hari Singh semasa saya terlibat membuat resensi buku dalam rancangan “Selamat Pagi Malaysia” (RTM).
Novel itu memang benar-benar memikat hati dan minda saya kerana mampu memberikan maklumat (fakta) yang disampaikan pula secara penuh kreatif.
Kisahnya mengenai Sardar Jagat Singh yang mahu meninggalkan kampungnya di Punjab, India pada tahun 1873 untuk menyertai pasukan separa tentera di Tanah Melayu.
Bagaimanapun, impiannya dibantah si ibu yang terus mengatur perkahwinannya. Kemudian, anaknya, Sunder Singh pula yang meneruskan “impian” untuk pergi ke Tanah Melayu.
Dalam novel ini, turut diceritakan keagungan dan kegemilangan kerajaan Punjab di bawah pemerintahan Maharaja Ranjit Singh. Namun, apabila mahajara itu meninggal dunia pada 1839, zaman kejatuhan Punjab bermula.
Sepanjang membaca serta mengulang baca The Enchanting Prison, saya tertarik pada kemampuan Malkiat mengadunkan fakta sejarah di India dan Tamah Melayu dari tahun 1873 hingga 1937 serta menghasilkan plot cerita fiksyen mengenai keluarga watak bernama Sunder Singh.
Tidak dapat tidak, khalayak yang membaca novel ini pada masa kini akan segera teringat akan novel Interlok Edisi Murid (2010) yang diadaptasi daripada novel Interlok (1971) karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.
Bagaimanapun, novel The Enchanting Prison tidak menghina sesiapa atau menyentuh sensitiviti mana-mana kaum/agama. Sebaliknya, menceritakan pengalaman, perjuangan dan cabaran dialami/dihadapi masyarakat Punjabi beragama Sikh yang datang ke Tanah Melayu untuk memulakan hidup baru.
Novel setebal 283 halaman ini dibahagikan kepada 24 bab dan setiap satu bab menceritakan satu kisah dalam realiti kehidupan masyarakat. Malah, pembaca boleh memilih untuk membaca mana-mana bab kerana setiap satu daripadanya bagaikan mampu berdiri sendiri.
Penceritakaan terperinci mengenai amalan, adat dan budaya masyarakat Punjabi serta upacara keagamaan Sikh juga amat menarik. Malkiat berjaya membuka ruang dan peluang kepada masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama di Malaysia (malah seluruh dunia!) memahami keunikan kelompok ini.
Perlu juga dinyatakan bahawa novel ini pada asalnya bertajuk “The Story of Sunder Singh” dan siap ditulis pada tahun 1972. Bagaimanapun, berikutan masalah kewangan, impian untuk menerbitkannya terpaksa ditangguhkan.
Akhirnya, pada tahun 2006, anaknya, Ranjit Singh menerbitkan novel ini dengan kerjasama Hari Singh iaitu rakan Malkiat.
Mujurlah novel ini terbit dan sampai kepada khalayak. Jika tidak, kita pasti kehilangan sebutir permata yang sangat berharga dalam sejarah negara.
Menerusi The Enchanting Prison, kita masih berpeluang mengetahui pelbagai perkara yang tidak lagi terkandung dalam buku mata pelajaran Sejarah di sekolah dan universiti.
(Ulasan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 1 Disember 2011 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.)