Berikut kenyataan media/rasmi Kavyan yang dikeluarkan oleh Uthaya Sankar SB (Presiden Kavyan) pada jam 8:45 malam, 21 Disember 2011 di Shah Alam:
1. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bersetuju dengan keputusan Interlok Edisi Murid (DBP) digantikan dengan Konserto Terakhir (Utusan Publication) kerana teks yang digunakan masih karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain. Malah, pernah digunakan selama sepuluh tahun sebelum ini sebagai teks Komsas.
2. Pada masa sama, Kavyan mahu Kementerian Pelajaran serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi jaminan bahawa pengarang menerima royalti bagi novel edisi murid (Interlok Kulit Merah) yang dicetak pada 2010 dan edisi cetakan baru (Interlok Kulit Biru) yang dicetak pada 2011.
3. Kavyan sudah menghubungi Datin Siti Saroja (isteri pengarang) dan memaklumkan bahawa Kavyan mahu memastikan pengarang menerima royalti yang sepatutnya.
4. Sebelum ini, Kavyan turut menuntut beberapa perkara (pemurnian) melibatkan hak pengarang; misalnya nama pengarang dicetak pada kulit depan Interlok Edisi Murid dan hak cipta dikembalikan kepada pengarang.
5. Pendirian Kavyan sejak awal (3 Januari 2011) hingga kini adalah sama; iaitu sekiranya Interlok Edisi Murid tidak dimurnikan sepenuhnya, maka perlu dikeluarkan (ditarik balik) dan diganti karya lain oleh pengarang yang sama.
6. Kavyan berharap tidak ada mana-mana pihak yang mempertikaikan kesesuaian novel Konserto Terakhir digunakan semula sebagai teks Komsas menggantikan Interlok Edisi Murid.
7. Kavyan berharap pemilihan teks Komsas pada masa hadapan dilakukan secara lebih bijak dengan mengambil kira semua “pelajaran” dan “pengajaran” daripada kontroversi Interlok Edisi Murid.
8. Kavyan mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang tampil membantu Kavyan secara sukarela sejak Januari 2011 dalam usaha memastikan novel Interlok Edisi Murid dimurnikan.