22 Jan 2012

The Third Force

Sejak kecil, apa yang saya faham mengenai “demokrasi” adalah “pemerintahan negara oleh rakyat menerusi wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat”.

Begitulah saya dididik oleh guru-guru di SRK Convent Aulong dan SM Darul Ridwan, Taiping. Malah, begitu juga definisi yang saya temui dalam Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (1988) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam pada itu, amalan “demokratik” pula “menjunjung atau menyokong demokrasi atau kepentingan rakyat biasa”.

Namun, semua itu hanyalah definisi dalam kamus. Apa yang menjadi amalan secara konvensional nampaknya adalah sebaliknya.

Sering kali, wakil yang dipilih oleh rakyat akan lupa daratan dan menganggap diri mereka lebih berkuasa dan berhak menindas rakyat yang sebenarnya memilih mereka melalui kuasa undi semasa pilihan raya.


Pandangan di atas ada saya paparkan pada ruangan status Facebook pada 19 Oktober 2011 dan mendapat reaksi positif daripada beberapa rakan yang turut prihatin terhadap amalan sebenar demokrasi.

Hasil pemerhatian secara umum pun sudah memadai untuk memberikan gambaran jelas di mana kerajaan (persekutuan dan negeri) bersikap bagaikan “maharaja” yang paling berkuasa.

Rakyat yang memberikan kuasa sebenar itu pula hanya diperlakukan umpama hulubalang, dayang, gundik dan hamba abdi. Si maharaja sahaja yang berkuasa penuh menentukan untung nasib hamba abdi; sementara rakyat diseru supaya terhutang budi kepada maharaja yang memikul tugas memerintah negara.

Perbandingan ini mungkin dilihat sebagai keterlaluan atau simplistik, namun membantu melihat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku di depan mata.

Sekadar contoh mudah, Pilihan Raya Umum Ke-12 berlangsung pada 8 Mac 2008. Maka, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2013; kecuali jika Parlimen dibuburkan lebih awal.

Namun, seawal Januari 2010, sudah muncul berita di media arus perdana di mana ahli politik ini dan ahli politik itu meminta jentera pilihan raya parti yang diwakilinya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13!

Ternyata politikus seperti itu bermimpi bahawa kitaran hidup Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen hanya untuk berkempen, memancing undi, menabur janji kosong, menang dalam pilihan raya, bercakaran seperti anjing dengan kucing, dan kemudian mula berkempen semula bagi pilihan raya umum seterusnya.

“Selepas pemilihan parti selesai, parti kami kini bersiap untuk menjamin kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang.” Demikian kata seorang pemimpin sebuah parti politik.

“Saya mahu semua ahli dan pemimpin parti bersiap sedia dan mendekati rakyat bagi memastikan kita menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.” Demikian seruan seorang lagi pemimpin lebih tinggi dalam sebuah parti politik.

Semua ini berlaku walaupun belum cukup dua tahun politikus terbabit memegang jawatan yang disedekahkan oleh rakyat!

Usah kita lupa (atau dipaksa lupa) pada hakikat bahawa wakil rakyat dipilih (diundi) untuk berkhidmat kepada dan untuk rakyat; bukan untuk parti politik tempat dia berselindung.

Dewan Rakyat juga bukan tempat untuk mana-mana Badut Paul Lathic menunjukkan aksi sarkas. Sebaliknya tempat untuk bersuara mewakili rakyat. Suara rakyat, bukan suara parti, bukan lawak lucah, dan bukan untuk bersuara atau melompat seperti katak.

Walaupun segala kejadian yang bertentangan dengan “demokrasi” dan amalan “demokratik” terus berlaku di depan mata, ramai yang memilih untuk berdiam diri.

Maka, golongan politikus yang menganggap diri mereka “maharaja” semakin berkuasa manakala rakyat yang menjadi “hamba abdi” semakin kehilangan kuasa yang sepatutnya milik sah mereka.

Sehingga akhirnya, rakyat bagaikan hanya perlu tahu membisu, mendengar, mengangguk dan menurut segala apa yang disuruh oleh politikus pada peringkat pusat dan/atau negeri.

Keadaan ini mengingatkan saya kepada siri filem Planet of the Apes; khususnya watak Caesar dalam Conquest of the Planet of the Apes (1972) di mana cimpanzi itu mengetuai gerombolan ep yang tertindas dan teraniaya, lalu bangkit menentang manusia yang menindas dan menganiaya.

Filem Rise of the Planet of the Apes (2011) turut membawa kita memahami kuasa yang ada pada “No” iaitu apabila golongan yang tertindas berani mengatakan “Tidak” terhadap penindasan dan ketidakadilan.

Hal ini membawa kepada “kuasa rakyat” atau apa yang boleh juga dinamakan “The Third Force”. Dahulu, pernah juga disebut sebagai “makkal sakthi” sebelum dikaitkan dengan pertubuhan politik tertentu.

Saya melihat kehadiran The Third Force sepanjang Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) terlibat dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid mulai Januari 2011.

Kavyan menerima sokongan, maklumat, maklum balas dan bantuan secara langsung dan tidak langsung daripada segenap lapisan masyarakat yang mahu melihat kontroversi itu diselesaikan secara rasional dan bukan secara emosional.

Selepas Menteri Pelajaran mengumumkan keputusan memurnikan novel itu di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011, The Third Force menjadi pemantau bagi memastikan apa yang dijanjikan itu dilaksanakan.

Saya tidak bercakap tentang penglibatan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebenarnya bermotifkan politik.

Juga bukan mengenai mana-mana persatuan dan pertubuhan yang berlindung di bawah bayangan parti politik perkauman dan politikus yang mengapi-apikan semangat rasisme.

Sebaliknya saya merujuk kepada “kuasa rakyat” yang bersikap apolitikal dan bebas dalam menangani kontroversi Interlok Edisi Murid secara profesional, rasional dan sistematik.

Kuasa rakyat atau The Third Force juga saya perhatikan sepanjang terlibat dalam isu “empat penulis teraniaya” yang dinafikan hak royalti walaupun karya mereka dijadikan teks Komsas di sekolah.

Sekali lagi, pelbagai lapisan masyarakat tampil menyalurkan serta berkongsi maklumat dalam usaha memperjuangkan hak penulis terbabit.

Sokongan belakang tabir turut diterima dari Putrajaya, kementerian tertentu dan lingkaran dalaman industri penerbitan kerana mereka tidak mahu “rakyat” menjadi mangsa.

Walaupun masih pada skala kecil dan sederhana, saya percaya The Third Force akan semakin berkembang dan semakin tampak pada tahun 2012.

Konsep The Third Force bukan sesuatu yang baru. Anas Zubedy menerusi iklan semuka di akhbar theSun (19 Disember 2011) antara lain menggelarnya sebagai “Malaysia’s check and balance”.

Tentu sahaja konsep ini tiada hubungan dengan organisasi separa tentera di Ireland atau gabungan beberapa parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di Myanmar pada 2010.

Namun, walapun rakyat mahu bersikap apolitikal, realiti di negara ini adalah bahawa segala apa yang berlaku, pasti ada hubung kait dengan (kepentingan) parti politik dan politikus.

Maka, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, The Third Force akan menentukan “masa depan” calon yang bertanding. Bersikap apolitikal tidak bermakna kelompok ini akan membiarkan negara diperlakukan sesuka hati dan diperkuda mana-mana politikus yang rakus.

Sebagai kelompok yang penuh dengan kesedaran politik dan tahu perkembangan antarabangsa, serta tetap bersikap apolitikal dan bebas, The Third Force bakal memastikan negara tidak “jatuh” ke tangan “maharaja” yang hanya mementingkan diri dan kroni.

Dalam novel Atlas Shrugged (1957) timbul pertanyaan berulang “Who is John Galt?” manakala di negara kita, saya percaya, ramai yang akan segera tampil menyatakan “I am The Third Force” – sekurang-kurangnya pada ruangan status di Facebook.

Dalam masa terdekat, murid dan pelajar juga akan kembali mengaji dan memahami bahawa “demokrasi” adalah sesungguhnya “pemerintahan negara oleh rakyat menerusi wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat”.

(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 30 Disember 2011 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Januari 2012.)