Tuesday, 1 March 2011

The Quran and I

Pertama, tulisan ini bukan dalam Bahasa Inggeris. Kedua, tulisan ini bukan berkaitan pengalaman saya mengaji al-Quran. Sebaliknya, pengalaman saya membaca buku berjudul The Quran and I karya Anas Zubedy.
.
Saya selalu kagum meneliti iklan zubedy (m) sdn bhd yang berjiwa Malaysia dan sejagat di akhbar. Peluang bertemu Anas muncul sewaktu saya menghadiri pelancaran buku The Special Day tulisan Mahani Zubedy pada 2 Oktober 2010.
.
Selepas beberapa bulan berkomunikasi menerusi laman rangkaian sosial Facebook, saya, Anas dan Amir Muhammad bertemu untuk sarapan pada 11 Februari 2011. Kami bertukar-tukar pengalaman, cerita dan buku.
.
Sejak hari itu, apabila ada ruang dan peluang, saya membaca The Quran and I yang merupakan catatan pengalaman ikhlas Anas semasa kanak-kanak, remaja dan dewasa dengan sentiasa merujuk kepada al-Quran dalam buku setebal 216 halaman ini.
.
Sedari awal, Anas menjelaskan bahawa beliau menggunakan istilah “God” dalam buku ini; sekali gus – pada penelitian saya – menjadikan buku ini bersifat universal dan tidak terhad kepada Islam semata-mata.
.
Perkara ini tidaklah menghairankan kerana saya sentiasa kagum dengan iklan berjiwa Malaysia dan universal yang dihasilkan syarikat milik Anas. Ternyata, jiwa, semangat dan roh yang sama terpancar menerusi kesemua 13 bab dalam buku ini.
.
Saya kagum dengan cara Sheikh Zain Az-Zubedy (1906-1984), seorang hafiz, memperkenalkan al-Quran, hidup dan persekitaran kepada Anas dan adik-beradiknya. Tidak hairanlah Jid (datuk) menjadi idola Anas. Malah, melalui The Quran and I, saya rasa Jid juga bakal menjadi idola kepada lebih ramai pembaca.
.
Secara ikhlas, bersahaja dan tanpa berselindung, Anas menceritakan pengalamannya hidup dalam kalangan rakan-rakan dan jiran-tetangga pelbagai kaum, etnik dan agama.
.
Malah, sebagai seorang hamba yang berpegang teguh pada firman Allah SWT menerusi al-Quran, Anas mampu menerima kepelbagaian yang wujud dalam kalangan manusia. Beliau memahami ajaran sebenar dalam Islam kerana kitab suci al-Quran menjadi sebahagian daripada hidup sehariannya.
.
Pelbagai pengalaman yang dikongsikan oleh Anas membantu saya lebih mengenali Islam yang sebenar! Malah, saya mendapati bahawa Anas mampu memberikan gambaran sebenar mengenai Islam berdasarkan pengalamannya yang cukup praktikal.
.
Misalnya, pada tahun 1977, apabila Loh Boon Siew dilaporkan menderma RM1 juta untuk pembinaan Masjid Negeri Pulau Pinang, Anas yang berumur 13 tahun mula tertanya-tanya mengapa orang Bukan Islam boleh menyumbang kepada masjid tetapi orang Islam tidak boleh menyumbang kepada kuil, tokong atau gereja.
.
Anas tidak cuba berdakwah atau membanding-bandingkan Islam dengan agama lain (atau sebaliknya); apatah lagi memperkecilkan amalan penganut agama lain. Sebaliknya, dengan jiwa yang murni, ikhlas dan bersih, beliau melihat pada persamaan yang wujud. Dan semua ini dilakukan dengan tetap berpegang pada al-Quran.
.
Misalnya, Anas mampu membuktikan bahawa pemimpin negara Islam turut bertanggungjawab memelihara rumah ibadat agama-agama lain. Malah, pada penelitian Anas, bantuan zakat sepatutnya bukan hanya untuk orang Islam.
.
Kisah persaudaraan antara Anas dan Jubal Lawrence sejak Tingkatan Enam Atas juga menyentuh emosi serta menyedarkan kita bahawa sesungguhnya Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali dan menghormati.
.
Anas turut menceritakan pengalamannya “bertemu” beberapa anjing dalam hidupnya: Blakie, Tohtonku, Patches, Bright, Brandy, Kafula, Miri Martina, Nic, Charlie, Ga, Michael, Change dan Pedro.
.
Tidak setakat menggunakan al-Quran untuk menjelaskan hukum dan kedudukan sebenar anjing dalam kehidupan manusia beragama Islam, Anas juga bertindak berani menyiarkan foto lima anjing di dalam The Quran and I. Tindakannya pasti mengundang reaksi negatif dan bantahan keras daripada sesiapa yang tidak mengenal Allah SWT dan belum khatam al-Quran.
.
Pasti sahaja pengalaman zaman kanak-kanak dan remaja Anas tidak lari daripada kisah bersama ibu bapa dan adik-beradik. Walaupun kini termasuk dalam kelompok golongan berada dan berjaya, Anas sentiasa mengimbau pengalaman hidup dalam kemiskinan dan kesederhanaan di Pulau Pinang.
.
Walaupun mengalami kesempitan wang, khususnya apabila bapa mereka menjalani pembedahan membuang sebelah paru-paru, adik-beradik Anas beralih kepada daya kreativiti dan imaginasi untuk mengisi masa tanpa membazir wang.
.
Amat menarik kerana Anas mampu menceritakan pengalaman zaman kanak-kanak dengan begitu jelas dan terperinci. Foto-foto yang dimuatkan dalam buku ini menjadikan pengalaman membaca The Quran and I lebih menarik dan dekat – serta melekat – di hati.
.
Interaksi Anas dengan ahli keluarganya sarat dengan pengajaran dan pengalaman yang bersifat peribadi, tetapi pada masa sama bersifat universal. Membaca kisah dan catatan pengalaman Anas mampu membuatkan kita turut mengenang kisah lama yang sangat bermakna dan amat bernilai.
.
Buku The Quran and I bukan sebuah buku mengenai al-Quran. Bukan juga koleksi ceramah dan teks dakwah. Sebaliknya, mengenai hubungan manusia dengan manusia, alam dan persekitaran yang tetap berpandukan al-Quran.
.
Kepuasan pembacaan seperti ini pernah saya alami sewaktu menghayati kumpulan esei I Am Muslim (2007) oleh Dina Zaman. Tulisannya memang bersahaja tetapi sarat makna dan membantu pembaca lebih memahami Islam.
.
Membaca The Quran and I turut membantu saya lebih mengenali insan di sebalik kejayaan zubedy (m) sdn bhd; sebuah syarikat yang sebelum ini hanya saya kenal menerusi pelbagai iklan berjiwa Malaysia dan sejagat di akhbar-akhbar tempatan.
.
Anas ternyata seorang penganut agama Islam yang benar-benar memahami, menjiwai, menghayati dan mengamalkan apa yang sebenar-benarnya dituntut Islam.
.
Maka, membaca buku ini boleh membantu kita memahami pelbagai perkara yang jarang ditemui dan diperkatakan secara terbuka dalam kebanyakan bahan bacaan tempatan.
..

(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini pertama kali disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 28 Februari 2011 sebelum didokumentasikan di blog ini pada 1 Mac 2011.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!