23 Sept 2010

The Special Day

Pada pagi 20 September 2010, saya dan Devishi Prabha Sankari memandu ke Bandar Menjalara, Kepong untuk bertemu Mahani Zubedy (Kak Ani) yang baru sahaja menerbitkan buku The Special Day (2010) khusus sempena Hari Malaysia.
.

Saya mula mengenali Kak Ani apabila beliau menghubungi saya melalui telefon pada awal Ogos 2010 selepas “menemui” nombor telefon dan alamat e-mel saya di ruang siber. Saya memang kagum dengan iklan Zubedy yang sering disiarkan di akhbar-akhbar utama dan teruja untuk menghulurkan bantuan setakat termampu kepada Kak Ani.

.

Pada 2 Ogos 2010, beliau mengirimkan kepada saya satu halaman buku The Special Day iaitu lukisan oleh Shia Yi Yiing, pemegang ijazah sarjana Seni Kontemporari dari Universiti Sydney Barat.

.

Dengan senang hati, saya memberikan sedikit maklumat serta pandangan mengenai lukisan yang memaparkan seekor kucing betina berpakaian sari dan dikelilingi corak-corak yang menggambarkan pelbagai aspek budaya kaum India.

.

Kami berdua hanya berhubung melalui e-mel dan apabila Kak Ani menyatakan bahawa buku itu sudah siap dicetak, saya memutuskan untuk memperuntukkan masa untuk bertemu dengan beliau.

.

Kami bertiga bertemu di Kanna Curry House di hadapan Tesco Kepong; dan terus mesra bagaikan sudah lama saling mengenali! Hal ini mungkin kerana kami sama-sama memiliki semangat Bangsa Malaysia serta mengimpikan keamanan, persefahaman, perpaduan, saling memahami dan menghormati dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang.

.

Saya memberikan buku Kathakali dan Rudra Avatara kepada Kak Ani sementara beliau memberikan saya buku The Special Day. Sementara Devishi khusyuk membaca buku bergambar itu, saya dan Kak Ani berbual mengenai pelbagai hal positif.

.

Kak Ani yang tinggal di Austin, Texas dan Kuala Lumpur adalah graduan Institut Sastera Kanak-kanak, Redding Ridge, Connecticut, Amerika Syarikat. Beliau menulis cerita kanak-kanak, makalah, skrip drama dan fiksyen serta kini menjadi fasilitator di Zubedy Sdn Bhd.

.

Buku The Special Day (2010) boleh dibeli di kedai-kedai buku MPH pada harga RM20.00 atau sila KLIK DI SINI untuk alamat e-mel dan nombor telefon Kak Ani.