10 Sept 2011

Semangat Reformasi Caesar

Saya benar-benar bimbang sewaktu mendapat tahu bahawa satu lagi filem akan diterbitkan dalam siri Planet of the Apes.

Hal ini demikian kerana filem yang diarah Tim Burton pada 2001 amat mengecewakan walaupun menggunakan teknologi terkini bagi memberi kesan khas pada kisah berkaitan Bumi yang diambil alih oleh beruk.

(DBP turut mengiktiraf istilah ‘ep’ apabila merujuk pada primat, termasuk gorila, cimpanzi, orang utan dan siamang. Manakala Kamus Dewan Edisi Empat menerima ‘mawas’ untuk merujuk pada orang utan dan cimpanzi.)

Saya meminati siri Planet of the Apes yang disiarkan di televisyen pada tahun 1980-an di mana Roddy McDowell memegang watak cimpanzi bernama Galen.

Saya amat tertarik kerana siri itu menampilkan premis “bagaimana jika tuan menjadi hamba, dan hamba menjadi tuan”.

Hanya pada Ogos 2001, saya berpeluang menonton VCD filem Planet of the Apes (1968), Beneath the Planet of the Apes (1970), Escape from the Planet of the Apes (1971), Conquest of the Planet of the Apes (1972) dan Battle for the Planet of the Apes (1973).

Saya juga berpeluang menonton VCD khas Behind the Planet of the Apes (1998) yang memaparkan pelbagai maklumat menakjubkan di sebalik pembikinan kelima-lima filem berkenaan.

Rancangan bagi pembikinan semula (remake) filem Planet of the Apes bermula pada tahun 1988. Filem Return of the Apes arahan Adam Rifkin dan skrip oleh Terry Hayes pada 1996 sepatutnya turut menampilkan Arnold Schwarzenegger, tetapi projek itu terkubur.

Begitu juga skrip filem Return to the Planet of the Apes oleh Rifkin pada 1988 dan skrip Planet of the Apes oleh Sam Hamm pada 1998; kedua-duanya tidak diterbitkan.

Kemudian, pada 2001, Burton membikin semula filem itu dan solekan prostetik (FX prosthesis) oleh Rick Baker mendapat pujian ramai. Namun, bagi saya, filem itu gagal mengekalkan “semangat” filem asal.

Filem Rise of the Planet of the Apes arahan Rupert Wyatt pula menggunakan watak-watak beruk yang direka secara digital menggunakan teknik ‘motion capture’ atau ‘motion tracking’.

Istilah ‘performance capture’ juga digunakan memandangkan teknik ini turut merakam emosi muka dan ekspresi tubuh model.

Andy Serkis yang sebelum ini memberikan persembahan amat berkesan menerusi watak Gollum dalam trilogi The Lord of the Rings dan King Kong (2005) menjadi model bagi watak Caesar.

Maka, saya menjadi sedikit yakin bahawa filem 2011 tidak akan seburuk filem 2001. Tambahan, Serkis turut diberi kepercayaan kembali memegang peranan Gollum dalam The Hobbit: An Unexpected Journey (2012) dan The Hobbit: There and Back Again (2013).

Filem 2011 bukan pembikinan semula (remake), prequel atau susulan (sequel) bagi mana-mana filem Planet of the Apes sebelum ini. Sebaliknya, ia sebuah ‘reboot’ di mana filem baru biasanya membuang sebahagian atau kesemua kaitan dengan filem terdahulu.

Istilah ‘reboot’ juga membimbangkan saya kerana filem Hulk (2003) arahan Ang Lee “membunuh” semangat siri televisyen popular awal 1980-an itu. Mujurlah filem The Incredible Hulk (2008) arahan Louis Leterrier mengembalikan “semangat” lama.

Dalam siri filem Planet of the Apes, saya sudah terbiasa dengan McDowall yang melakonkan watak Cornelius, dan kemudian watak anaknya, Milo @ Caesar (yang lahir pada 1973).

Memandangkan versi 2011 adalah sebuah ‘reboot’ maka saya akui bahawa pasti ada banyak perubahan. Tambahan pula, lima filem lama sudah melengkapkan ‘lingkaran’ dan tidak perlu ada susulan dan prequel.

Umum mengetahui bahawa filem Planet of the Apes (1968) arahan Franklin J. Schaffner adalah berdasarkan novel La Planete des singes (1963) karya pengarang Perancis, Pierre Boulle, yang sebelum itu menghasilkan novel The Bridge Over the River Kwai (1952).

Novel La Planete des singes diterjemah ke Bahasa Inggeris dan saya hanya sempat membacanya pada Julai 2006. Novel berkenaan mustahil boleh “diterjemah” 100 peratus ke dalam bentuk filem; sebagaimana novel The Ghost (2007) karya Robert Harris terpaksa diubah apabila dijadikan filem The Ghost Writer (2010).

Filem Rise of the Planet of the Apes (2011) membawa kita kembali kepada kisah dalam Conquest of the Planet of the Apes (yang berlatarkan tahun 1991) di mana Caesar mengetuai gerombolan ep yang tertindas dan teraniaya, lalu bangkit menentang manusia yang menindas dan menganiaya.

Selepas menonton filem terbaru ini di pawagam pada 11 Ogos 2011, saya yakin bahawa ia bakal menjadi permulaan bagi satu lagi siri filem-filem Planet of the Apes yang pasti menjadi bualan generasi muda, serta mencetuskan fenomena baru secara global.

Dialog paling berkesan dalam filem 1968 (yang berlatarkan tahun 3955) adalah apabila George Taylor (Charlton Heston) menjerit: “Take your stinking paws off me, you damn dirty ape!” (Dialog dalam skrip asal adalah “Get away from me, you dirty ape!”)

Dialog klasik itu cuba diparodikan dalam filem 2001 menjadi “Take your stinking hands off me, you damn dirty human!” tetapi kesannya langsung tidak sama.

Malah, dialog asal kembali digunakan dalam filem 2011, tetapi saya tidak merasai apa-apa kesan memandangkan dialog keramat itu diucapkan watak Dodge Landon (Tom Felton) yang mendera Caesar dan ep lain.

Satu lagi perbezaan amat ketara pada watak Caesar dalam filem 2011 berbanding filem 1972 adalah bahawa Caesar versi digital mempunyai dialog yang amat minimum.

Namun, tidak dapat disangkal bahawa Serkis berjaya ‘berkomunikasi’ secara penuh emosional melalui komunikasi tanpa lisan (non-verbal communication).

Dialog paling berkesan dalam filem 2011 adalah “No!” yang diucapkan Caesar; sekali gus mengingatkan saya pada dialog sama dalam filem 1972.

Dalam filem 1972, satu lagi dialog ringkas yang menyentuh emosi adalah “Have mercy” yang diucapkan Caesar apabila tidak tahan didera menggunakan kejutan elektrik.

Kemudian, menjelang hujung filem Conquest of the Planet of the Apes, terdapat dialog/monolog panjang oleh Caesar yang merangkumkan “semangat” filem-filem berkenaan. Berikut petikannya:

“Where there is fire, there is smoke. And in that smoke, from this day forward, my people will crouch, and conspire, and plot, and plan for the inevitable day of man’s downfall. ... I will lead my people from their captivity. ... And that day is upon you now!”

Edisi khas DVD lima filem berkenaan dikeluarkan pada 2008. Saya sengaja menontonnya pada 22 Mac 2011; iaitu sehari sebelum tiga wakil kaum India dalam Panel Khas Meminda Novel Interlok Edisi Murid menghadiri perjumpaan bersama Menteri Pelajaran pada keesokan hari di Aras 3, Menara Parlimen.

DVD edisi khas juga mendedahkan bahawa filem 1972 pada asalnya mempunyai pengakhiran yang berbeza; iaitu Gabenor Breck (baca: pemerintah yang zalim) dan manusia lain (baca: tali-barut pemerintah yang zalim) dipukul hingga mati oleh kumpulan ep (baca: golongan yang ditindas, dianiaya dan didera).

Namun, pengakhiran cerita diubah dan “dimurnikan”. Dialog/monolog watak Caesar ditambah dan dirakam semula di studio.

“... And that day is upon you now! ... But now ... now we will put away our hatred. Now we will put down our weapons. ... Tonight, we have seen the birth of the Planet of the Apes!”

Caesar yang “muncul” pada 1972 ternyata berjaya “menyesuaikan diri” manakala “semangat reformasi” yang dibawakannya masih kuat, malah kini semakin membara.

Tentu sahaja saya secara penuh sedar bukan sekadar merujuk pada versi ‘reboot’ filem Planet of the Apes’apabila berkata begitu! (insert: pekikan kumpulan ep dari babak akhir filem 1972; fade out to yellow.)

(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 September 2011. Bahan tidak berkaitan - The Third Force dan Tolak Politik Perkauman.)