Pada kali itu, saya menghayati novel berkenaan dari sudut pandangan watak pencerita, Jean Louise “Scout” Finch, seorang kanak-kanak. (Walaupun secara teknikal, watak itu sudah dewasa dan sedang mengimbau pengalaman silam.)
Saya mula mendengar semula novel dalam bentuk CD audio itu pada 9 Mac 2011; secara signifikan, selepas Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid Karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sudah menyelesaikan sepenuhnya tugas yang diamanahkan pada 4 Mac 2011.
Pada kali ini, saya menghayati segala kisah dan persoalan yang dipaparkan menerusi novel To Kill A Mockingbird dari sudut pandangan watak Atticus Finch.
Percayalah! Ada banyak persamaan antara perjuangan dan cabaran Atticus Finch membela Tom Robinson dalam novel To Kill A Mockingbird dengan usaha saya bersama-sama Dr N S Rajendran dan G Krishnabahawan memainkan peranan kami dalam Panel Bebas berkenaan; termasuk selepas panel itu “tamat tugas” secara rasmi pada 4 Mac 2011.
Pada pagi 21 Mac 2011, saya sempat menonton DVD filem Roja (1992) arahan Mani Ratnam. Untuk makluman, filem Tamil ini turut dialih bahasa ke Bahasa Hindi, Marathi, Malayalam, Kannada dan Telegu, serta menyaksikan kemunculan A R Rahman sebagai pengarah muzik terkenal dan dikagumi.
Dalam filem itu, terdapat dialog yang bermaksud lebih kurang begini jika diterjemahkan ke Bahasa Malaysia:
“Apakah Allah akan mengampuni dosa yang kamu lakukan ini?”
Sebaris ayat itu merangkumi mesej penting filem Roja; selain merangkumi soalan yang perlu dijawab mana-mana pihak yang sedang melakukan “dosa” dalam kontroversi novel Interlok edisi murid.
Rancangan saya pada 22 Mac 2011 adalah menonton semula kesemua lima filem dalam siri Planet of the Apes (1968, 1970, 1971, 1972 dan 1973). Saya sudah menonton kesemuanya beberapa kali sejak dahulu dan tetap tidak pernah jemu “belajar” daripadanya!
Pada kali ini, saya akan menonton kesemua lima filem Planet of the Apes (versi asal, bukan versi 2001 arahan Tim Burton!) dari sudut bagaimana “binatang yang tertindas” bangkit memperjuangkan hak serta menentang kezaliman.