Apa yang lupa
diceritakan oleh puak anti-Kavyan adalah bahawa mereka sendiri terlibat dalam
usaha mencadangkan supaya sekitar 20 halaman dibuang daripada novel Interlok Edisi Murid (2010) atas alasan bahawa novel itu “didapati terlalu panjang”.
Apa yang lupa juga
diceritakan oleh puak anti-Kavyan adalah bahawa saya dilantik oleh Menteri
Pelajaran untuk menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok.
Puak yang tidak
bermaruah itu sengaja menyembunyikan hakikat bahawa merekalah sebenarnya yang
mahu mempolitikkan novel Interlok Edisi
Murid demi “keuntungan” peribadi. Itu hakikat yang didedahkan sendiri oleh
“anggota” kumpulan mereka kepada saya.
Untuk makluman umum,
berikut kandungan surat lantikan bertarikh 8 Februari 2011:
“Sukacita
dimaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji
Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah
bersetuju melantik Tuan menganggotai Panel Bebas bagi mengkaji dan membuat
pindaan terhadap novel Interlok.”
Jadi, kalau puak anti-Kavyan masih ada
masalah mengenai “pindaan terhadap novel Interlok
Edisi Murid”, silalah berhubung terus dengan Menteri Pelajaran, kerana saya
hanya melaksanakan “tugas” yang diamanahkan oleh Menteri Pelajaran menerusi
lantikan rasmi itu.
Dalam pada itu, maklumat yang saya terima
daripada “orang dalam” sendiri, terdapat usaha provokasi oleh puak tertentu
menerusi Facebook menjelang Bersih 3.0 pada 28 April 2012.
Khabarnya, puak tertentu yang tidak
bermaruah dan gemar menjadi boneka kepada kumpulan rasis tertentu telah
benar-benar mengharapkan saya menghadiri perhimpunan
Bersih 3.0 bersama-sama Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang juga Penasihat Agung Kavyan.
Khabarnya, puak itu bercadang untuk
sekurang-kurangnya merakam foto-foto saya bersama-sama peserta Bersih 3.0 dan
kemudian mahu menyebarkannya menerusi Facebook
serta menyerahkannya kepada para penerbit di negara ini.
Harapan mereka adalah agar saya akan
“digam” dan karya saya tidak disiarkan di mana-mana! Supaya karya para ahli Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
dipulaukan oleh penerbit. Juga supaya saya boleh dilabel sebagai “pembangkang”.
Begitulah rendahnya tahap pemikiran, mentaliti
dan keimanan puak anti-Kavyan. Pasti sahaja “ketololan” puak itu segera
mengingatkan saya pada apa yang berlaku pada 17 Mac 2011 apabila saya bertemu
ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk makan tengah
hari dan berbual-bual.
Cerita yang direka adalah bahawa saya
mengadakan perjumpaan sulit bersama-sama “pembangkang”. Foto saya dan Nazmi
tersebar dalam masa kurang 12 jam hingga kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN)
dan kemudian kepada Presiden MIC; tanpa menyedari bahawa saya bukan ahli mana-mana parti politik.
Saya juga diberitahu “orang dalam” bahawa semasa sebuah festival sastera di Melaka pada hujung Mac
2012, beberapa individu mengemukakan pertanyaan kepada beberapa pengarang dari
Kelantan mengenai “motif sebenar” saya ke Kelantan; kononnya ada “agenda
politik” sehingga saya diberi layanan khas oleh “pembangkang” serta berpeluang
bertemu dan bergambar bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ternyata perkara hampir sama mahu dilakukan
puak anti-Kavyan semasa Bersih 3.0 pada 28 April 2012. Sumber dalaman puak itu
sendiri (ya, memang ramai “pengkhianat” dalam kumpulan itu!) memberitahu saya
mengenai rancangan mereka merakam foto saya bersama-sama peserta perhimpunan
yang memakai kemeja-T kuning.
Bodoh, bukan? Apa kata, puak “kurang
cerdik” itu ambil sahaja foto saya bertemu dan berbual-bual “kosong” bersama
Pak Samad dan Adam Adli Abdul Halim pada 4 Mei 2012 di Bangsar? Foto berkenaan
boleh diambil terus dari sini.
Bolehlah sebarkan fitah bahawa saya bertemu
“ketua Bersih” dan “pelajar yang menurunkan bendera Perdana Menteri”. Bolehlah
menggunakan kreativiti dan imaginasi untuk mereka-reka cerita bahawa kami
bertiga bertemu di Old Town White Coffee
untuk membuat rancangan “menggulingkan kerajaan”, misalnya.
Saya teringat akan kata-kata Dr Lim Swee Tin kepada saya menerusi
telefon sebaik sahaja beliau membaca tulisan Salbiah Ani di akhbar Berita Harian pada 3 Mac 2011. Saya pada
waktu itu berada di Ipoh kerana menghadiri “Forum Interlok: Sastera, Sejarah & Budaya”
di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak.
Laporan di akhbar itu mengenai seorang sasterawan yang
dikatakan menyokong usaha Hindraf meminta novel Interlok diharamkan. Berikut petikan tulisan Salbiah yang sempat
saya rujuk menerusi edisi dalam talian beberapa hari kemudian:
“Si polan bin si polan
ini kerap menonjolkan diri atas nama mempertahankan maruah sastera kebangsaan
dan bahasa Melayu, rupa-rupanya sama-sama bersekongkol dengan pertubuhan haram,
Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF).”
“Sumber yang
memaklumkan kepada saya teringin sangat nak melihat sejauh mana HINDRAF
memperalatkan isu Interlok karya SN
Datuk Abdullah Hussain. Ditakdirkan terpandang kelibat si polan bin si polan
menyerahkan sepanduk kepada kumpulan haram itu.”
“HINDRAF suka sangat
melabel orang Melayu dan menuduh UMNO perkauman. Sedangkan mereka sendiri jauh
lebih perkauman. Saya bukan penyokong UMNO, tetapi tetap tersirap membaca
sepanduk HINDRAF. Saya nak tanya MIC, MCA dan DAP tak perkauman ke? Tak suka
Malaysia pindahlah ke negara pilihan yang akan melayan mereka seperti dalam
sudu emas!”
Dr Lim juga mendedahkan kepada saya siapa yang
dimaksudkan dengan “si polan” dan “sumber” dalam tulisan berkenaan. Katanya, "si polan" merujuk Dr Lim manakala "sumber" ialah Dr Fatimah Busu, kawan rapat Dr Lim sendiri. Katanya,
kisah yang dilaporkan Salbiah Ani sama seperti apa yang diceritakannya secara berjenaka
kepada seorang rakan (bekas pensyarah, Dr Fatimah Busu) yang kemudian bertukar pula menjadi
“sumber” lalu menikamnya dari belakang.
Modus
operandi yang hampir sama sedang cuba digunakan
puak tertentu iaitu mahu merakam foto ahli Kavyan menyertai perhimpunan Bersih
3.0 atau foto saya bersama-sama mana-mana kumpulan yang dilabel sebagai “haram”
dan “pelampau”. Semuanya kerana mahu menyebarkan fitnah dan berusaha menjatuhkan orang secara tidak bermaruah.
Politik kotor.
Memang itulah sahaja yang mampu dilakukan
oleh mereka. Kisah-kisah puak seperti itu sebenarnya sudah saya lakarkan
menerusi faksyen seperti “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta”
(Dewan Masyarakat, September 2002), “Kita Sudah Gagal, Raja” (Mingguan Malaysia, 22 Februari 2004) dan
“Kisah Cik Timun Busuk” (The Malaysian Insider, 30 April 2012).
Mungkin ramai lagi individu seperti Umar Uzair, Faiz Hussamuddin, Mumtaz Aini Alivi dan Asrul Muzaffar Mohammed sudah/akan
mudah mempercayai segala fitnah yang disebarkan mana-mana puak tidak bermaruah.
Tetapi jangan haraplah rakyat yang berilmu, berfikiran matang, berani
memperjuangkan kebenaran serta menuntut pilihan raya yang bebas, adil dan
bersih akan terpengaruh dengan segala dakyah seperti itu.
Aduh! Bukankah lebih baik jika puak anti-Kavyan menggunakan segala “bakat”
(jika ada), “kepakaran” (jika wujud) serta “sumber kewangan” (yang ‘masuk’ itu)
untuk menyemarakkan aktiviti bahasa, sastera dan penulisan; daripada terus
menjadi “penjilat”?
Atau sekurang-kurangnya menggunakan segala
tenaga dan masa terluang yang ada itu untuk membantu membela nasib beberapa
penulis yang menjadi mangsa dalam isu teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran
Bahasa Malaysia (Komsas). Sekurang-kurangnya boleh
menambah pahala dan membersihkan dosa.
Oh, ‘bersih’ lagi!
Apa pun, saya sangat “suka” pada puak
anti-Bersih dan anti-Kavyan kerana mereka sangat melucukan, menghiburkan serta
menjadi sumber inspirasi bagi beberapa faksyen yang saya hasilkan belakangan
ini. [BACA LAGI DI SINI]
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 8 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 28 Mei 2012.)