Thursday, 10 March 2011

Sketsa Cemarkan Forum Interlok

IPOH – Forum Interlok: Sastera, Sejarah & Budaya di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak pada 3 Mac 2011 dicemari sekumpulan pelakon yang mempersembahkan sketsa berbaur perkauman dan berbentuk provokasi yang disengajakan.
.

Majlis ilmu yang menampilkan lima tokoh pembicara itu berlangsung dalam keadaan tenang, terkawal dan penuh nilai positif tanpa menyentuh apa-apa isu kontroversi berhubung novel Interlok edisi murid yang sedang hangat diperkatakan.

.

Bagaimanapun, persembahan drama pendek oleh guru dan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong, Kati, dekat sini, menjadi titik hitam yang benar-benar mencemarkan acara.

.

Dalam sketsa itu, seorang tampil berlakon sebagai Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dan seorang lagi mungkin memegang watak anaknya atau mewakili salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang lantang mempertahankan novel Interlok edisi murid daripada dipinda walau sepatah perkataan.

.

Para hadirin yang begitu tenang mendengar segala hujah positif dan membina oleh panel, tiba-tiba tersentak apabila pelakon sketsa pula tampil dengan segala nilai negatif dan bernada perkauman.

.

“Sekurang-kurangnya dua kali watak pemuda itu melontarkan provokasi terhadap kumpulan yang dikatakannya membakar novel Interlok.

.

“Mesej yang dibawa sketsa ini adalah bahawa novel Interlok dibantah atas kepentingan politik pihak yang berkepentingan,” kata Pengerusi MIC Cawangan Pasir Pinji, K Shanmugam yang turut menyaksikan persembahan itu.

.

Menurutnya, adalah lebih menghairankan apabila seorang guru melakonkan watak Abdullah Hussain yang duduk menangis di kerusi roda mengenangkan bantahan kaum India terhadap novelnya.

.

Tidak dijelaskan sama ada kumpulan yang membuat persembahan itu sudah mendapat izin daripada Abdullah Hussain untuk melakonkan watak dan kisahnya di pentas.

.

Hal ini penting kerana apa yang dipaparkan memberi gambaran jelas seolah-olah Sasterawan Negara itu menyalahkan kaum India atas segala kontroversi yang timbul sejak novel Interlok dijadikan teks Komsas di sekolah.

.

Apabila perkara itu dirujuk kepada isteri Abdullah Hussain, Datin Siti Saroja Basri pada 4 Mac 2011, beliau mengesahkan tidak tahu apa-apa mengenai sketsa berkenaan.

.

Persembahan sketsa di Ipoh pada 3 Mac 2011 dalam sekelip mata sahaja mencemarkan kehebatan majlis ilmu yang dianjurkan JKKN Perak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara.

.

Malah, ia memberi gambaran seolah-olah ada usaha terancang oleh pihak tertentu untuk mencemarkan nama baik Abdullah Hussain dan mencetuskan sengketa perkauman di kalangan penduduk negeri Perak.

.

Segala perasaan tenang yang dialami penonton semasa tekun mendengar penjelasan panel forum hancur sebaik sahaja menyaksikan skestsa itu yang secara amat nyata cuba menanam bibit-bibit kebencian, prasangka dan perkauman kepada hadirin.

.

Agak hairan, menyedihkan dan memalukan kerana moderator sejak awal memberi amaran kepada hadirin dan panel forum supaya tidak mengungkitkan apa-apa isu sensitif berkaitan novel Interlok.

.

Anehnya, keseluruhan sketsa yang dipersembahkan itu memberi gambaran seolah-olah JKKN Perak menyokong serta mengizinkan provokasi, api perkauman, bibit kebencian dan prasangka yang dipersembahkan menggunakan watak Abdullah Hussain sendiri.

3 comments:

  1. Salam sejahtera Pak Uthaya,

    “Sekurang-kurangnya dua kali watak pemuda itu melontarkan provokasi terhadap kumpulan yang dikatakannya membakar novel Interlok.


    Ayat diatas tiada tanda penutup "

    :p

    ReplyDelete
  2. In transit:

    1) Tidak perlu dimasukkan tanda penutup kerana bersambung pada perenggan seterusnya. Ini etika dalam penulisan berita.

    2) Sila nyatakan nama sebenar apabila menulis komen pada masa hadapan.

    ReplyDelete
  3. Oh, begitu rupanya.

    Satu panduan buat saya di masa hadapan.

    Yang benar
    A. Deanz

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!