9 Mar 2011

Dirgahayu Bahasa Malaysia

Topik Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ternyata kembali hangat diperkatakan. Surat-surat pembaca yang disiarkan di beberapa media (Bahasa Inggeris, khasnya) menunjukkan ada pihak mahu PPSMI diteruskan.
.
Isu berhubung PPSMI turut diperkatakan pada “Program Bicara Karya: Menjana Kewarasan Minda” anjuran bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam pada 23 Februari 2011.
.
Hal ini amat wajar kerana salah sebuah buku yang dibicarakan pada majlis ilmu itu adalah Kumpulan Esei Budayawan Bertindak (2010) yang dihasilkan sempena ulang tahun pertama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) pada 7 Mac 2009.
.
Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) dilantik menjadi penasihat GMP serta hadir sama dalam demonstrasi itu. Beliau juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2003. Maka, tidak hairanlah wartawan menghubungi saya pada 6 Mac 2009 untuk bertanya sama ada ahli Kavyan akan terlibat sama dalam perhimpunan besar-besaran itu.
.
Saya nyatakan bahawa Kavyan menyokong penuh tindakan berani Pak Samad tetapi kami tidak bercadang menghadiri perhimpunan GMP kerana “berdemonstrasi bukan cara Kavyan”.
.
Saya juga memberitahu wartawan berkenaan – dan dilaporkan di portal berita terbabit – bahawa saya secara peribadi sudah mula menentang dasar PPSMI sejak awal ia diumumkan oleh Perdana Menteri waktu itu pada 2002.
.
Saya sebagai pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia tidak “mengeluh”, “melalak” atau “melatah” walaupun saya memang “terkejut” dengan keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada Julai 2002 yang meluluskan PPSMI.
.
Sebaliknya, saya “membayangkan” suasana apabila PPSMI dimansuhkan “suatu hari nanti” dan Bahasa Malaysia kembali didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu.
.
Berikut ringkasan kronologi PPSMI untuk membantu kita membasahkan ingatan:
.
Mei 2002 – Dr Mahathir mengumumkan cadangan awal bahawa PPSMI akan dilaksanakan mulai Januari 2003.
.
Julai 2002 – Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Dr Mahathir meluluskan dasar PPSMI.
.
Disember 2002 – Saya menulis sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa” dan “Pe(r)juang(an) Bahasa II” untuk membayangkan “kejayaan” memansuhkan PPSMI pada “suatu hari nanti” dan kedua-dua sajak itu disiarkan di laman sesawang Komuniti Penyair.
.
Januari 2003 – Dasar PPSMI diperkenalkan secara berperingkat dengan dimulai bagi murid Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah; pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah.
.
Januari 2007 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah.
.
Mei 2007 – Kabinet memutuskan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa kebangsaan.
.
Jun 2007 – Sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia bagi membayangkan bahawa tarikh pemansuhan PPSMI “semakin hampir” dan “kejayaan” itu wajar diraikan.
.
Januari 2008 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah.
.
7 Mac 2009 – Lebih 8,000 orang menyertai demonstrasi GMP dengan berarak ke Istana Negara.
.
Mac 2009 – Kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan Bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat mempelajari subjek Sains dan matematik. Kajian oleh 53 pakar bahasa merumuskan bahawa dasar kontroversi itu menimbulkan kerugian berganda kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori pencapaian sederhana dan lemah dalam subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
.
Mei 2009 – Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar PPSMI.
..
Jun 2009 – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempertikaikan dasar PPSMI dengan memberi amaran “jangan jadikan pelajar bahan ujian” bagi dasar yang “jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara”. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula dilaporkan berkata, “salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya.”
.
8 Julai 2009 – Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
.
3 Ogos 2009 – Mesyuarat Maklum Balas Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris berlangsung di Kementerian Pelajaran, Putrajaya.
.
Saya secara peribadi masih tidak faham motif dan rasional PPSMI diperkenalkan. Jika alasannya adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid, pelajar dan generasi muda, maka tumpuan harus diberi kepada usaha itu sendiri; tanpa perlu campur tangan dalam subjek-subjek lain.
.
Jangan kita cuba menjadi umpama tikus yang membaiki labu; atau mengulang kisah lama “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.
.
Malah, saya pernah mendengar seorang guru sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil berkata bahawa sejak PPSMI diperkenalkan, beliau mengajar subjek Bahasa Tamil di kelas menggunakan Bahasa Inggeris!
.
Berbalik pada “Program Bicara Karya: Menjana Kewarasan Minda” pada 23 Februari 2011, Senator Dr Syed Hussin Ali antara lain menegaskan bahawa selain menulis untuk menyatakan bantahan terhadap PPSMI, orang ramai perlu juga berani bertindak dan bersuara menerusi “tindakan jalanan secara berterusan”.
.
Seorang lagi panel, Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata, “perjuangan di teks dan jalanan sama penting untuk menzahirkan hasrat”.
.
Saya mencintai Bahasa Malaysia dan saya juga mencintai Bahasa Inggeris. Saya bertutur Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil. Saya amat jarang menonton filem Melayu berbanding filem-filem bahasa lain (termasuk bahasa yang tidak saya fahami).
.
Saya lebih banyak membaca buku Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Malaysia. Saya berfikir dalam Bahasa Inggeris tetapi lebih selesa menulis dalam Bahasa Malaysia.
.
Dalam soal pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah, saya menyokong penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, Bahasa Mandarin di SJK Cina, Bahasa Tamil di SJK Tamil dan Bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa.
.
Sebagai usaha memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris, langkah bijak dan proaktif perlu diambil, khususnya dengan memanfaatkan sepenuhnya subjek Bahasa Inggeris itu sendiri.
.
Dalam pada itu, apabila PPSMI dimansuhkan, jangan ada pihak yang cuba mempersoalkan penggunaan Bahasa Mandarin di SJK Cina, Bahasa Tamil di SJK dan Bahasa Inggeris di sekolah antarabangsa bagi pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik.
.
Jangan pula ada pihak yang terlibat dalam “tindakan jalanan” sebagai membantah hak penggunaan bahasa-bahasa lain.
..

(© Uthaya Sankar SB 2011. Artikel ini pertama kali disiarkan di portal berita The Malaysian Insider pada 7 Mac 2011 sebelum didokumentasikan di blog www.uthayasb.blogspot.com pada 9 Mac 2011.)