Saturday, 19 March 2011

Paparazi?

Wah! Siapa sangka foto saya makan tengah hari bersama Nik Nazmi Nik Ahmad boleh dijadikan “modal” oleh pihak tertentu untuk memesongkan isu sebenar berkaitan kontroversi pindaan novel Interlok edisi murid.
.

Saya mengenali Nik Nazmi jauh sebelum beliau terlibat dalam politik; jauh sebelum beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia. Malah, beliau membaca karya saya semasa beliau di bangku sekolah lagi!

.

Kami bertemu pada jam 12:00 tengah hari, 17 Mac 2011 untuk makan tengah hari sambil berbual-bual perkara berkaitan perkembangan sastera, penulisan, penulis bebas, makanan Kelantan dan isu-isu semasa. Saya berikan buku Kathakali dan Rudra Avatara sebagai buah tangan dan santapan minda.

.

Terdahulu, pada 17 Mac 2011, jam 9:00 pagi, saya bertemu Arun Dorasamy dari E-Sun Hospitality Consultancy Malaysia untuk bersarapan di Petaling Jaya dan berbincang soal kursus Bahasa Inggeris asas yang ditawarkan syarikat berkenaan.

.

Sekitar 2:00 petang, saya ke SS15 Subang Jaya untuk mencari DVD filem To Kill A Mockingbird (1962). Jam 3:00 petang, minum teh bersama Muniswaran Errisson. Kemudian, sempat bertemu Hafifi Ariff untuk memulangkan DVD To Kill A Mockingbird yang saya pinjam daripadanya beberapa hari lalu.

.

Pada jam 6:30 petang, saya di Bangsar dan sempat bertemu beberapa rakan – termasuk Jimadie Shah – untuk minum, makan dan berbual-bual di kedai mamak sebelah pejabat Malaysiakini.

.

Pada 18 Mac 2011, jam 10:30 pagi, saya dan Encik G Krishnabahawan berada di ibu pejabat MIC untuk memberi taklimat kepada Presiden MIC, Datuk G Palanivel mengenai apa yang sebenarnya berlaku semasa perjumpaan pada 16 Mac 2011 – sila BACA DI SINI.

.

Kemudian, sempat bertemu beberapa rakan (dan bekas pelajar saya!) yang kini aktif dalam parti politik MIC.

.

Pada jam 3:00 petang pula, saya dan Hemantha Kumar Nagappan memandu dari Shah Alam ke Menara Tun Sambanthan, Kuala Lumpur untuk mengikuti sidang media NIAT. Kumar memandu, maka saya berpeluang membaca dan membalas kiriman SMS serta panggilan telefon daripada pelbagai pihak, termasuk wartawan yang mahu mendapatkan maklumat/perkembangan terbaru.

.

Semasa sidang media NIAT yang bermula jam 4:00 petang, wartawan turut mengajukan soalan kepada saya berhubung kontroversi Interlok. Saya menjawab pertanyaan mereka dan meminta sentiasa merujuk blog saya untuk maklumat terbaru dari semasa ke semasa.

.

Selepas itu, saya dan Kumar memandu ke Maran, Pahang kerana ada upacara di sebuah kuil terkenal di sana sempena Pangguni Utiram. Jalan masuk ke kawasan menghala ke kuil itu sesak! Sepanjang perjalanan, selain berbual-bual, saya juga sempat membalas SMS dan menjawab panggilan telefon; kerana Kumar memandu.

.

Demikian aktiviti saya pada 17 dan 18 Mac 2011. Saya bukan ahli mana-mana parti politik tetapi saya ada kawan-kawan dari pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

.

Maka, tidak perlulah membazir masa dan nilai intelek dengan mengaitkan pertemuan saya dengan mana-mana pihak sebagai ada “agenda politik”.

.

Maaflah, saya ada banyak lagi perkara berguna untuk dilakukan dalam hidup!

.

Kalau ternampak saya bersama sesiapa yang kebetulan ahli mana-mana parti politik atau NGO, tidak perlu menjadi paparazi. Datang sahaja bertemu supaya “paparazi” boleh turut serta dalam perbualan kami tentang langit dan bumi sambil minum teh tarik manis.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!