Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya
tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.
Demikian kata-kata hikmah oleh Mahatma Gandhi (2 Oktober 1869 – 30
Januari 1948) yang menjadi pegangan dan panduan saya sejak dahulu. Gandhi turut
mengingatkan: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”
Pejuang kemerdekaan India itu turut
dikenali di seluruh dunia atas perjuangan tanpa kekerasan (ahimsa) yang diamalkannya. Sebagai seorang penganut dan pengamal
ajaran agama Hindu, mendiang sentiasa berpegang pada konsep dan peraturan “dharma”.
Pada 18 Mei 2012, Kughan Nadarajah,
Jawatankuasa Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang melakukan pemantauan media
telah memanjangkan kepada saya suatu berita dalam talian (online) di laman sesawang Bernama.
Berita itu bertajuk “Perhimpunan Atau
Demonstrasi Kini Bukan Jalan Penyelesaian Bagi Masyarakat India” dan ditulis
oleh Kisho Kumari Sucedaram. Sebagai seorang pengamal dan perunding media, saya
mengandaikan bahawa berita itu dilaporkan secara objektif dan tepat berdasarkan
sumber yang sahih dan benar.
Apa yang dilaporkan adalah amat “menarik”
kerana secara amat khusus menggunakan agama Hindu untuk “mewajarkan” pandangan yang
dikemukakan beberapa tokoh.
Kavyan tidak terlibat dalam perhimpunan
besar-besaran Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 mahupun Bersih 3.0 pada 28 April
2012 walaupun Datuk A. Samad Said (Pak Samad) adalah
Penasihat Agung Kavyan sejak 2003.
Malah, menjelang perhimpunan membantah
dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) pada 7 Mac 2009, seorang rakan wartawan bertanya sama ada Kavyan akan
turun bersama-sama Pak Samad yang juga penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Saya menjelaskan kepada rakan itu bahawa Kavyan tidak pernah berdemonstrasi bagi
membantah dasar kontroversi itu walaupun kami menyokong perjuangan Pak Samad.
Berbalik pada Bersih 3.0 pula, perkara paling penting
dan paling asas yang perlu diingat oleh semua pihak adalah bahawa perhimpunan itu
adalah bertujuan menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.
Saya tidak dapat membayangkan ada individu
yang cukup bodoh (kurang cerdik?) untuk tidak menyokong atau tidak bersetuju
dengan tuntutan itu. Walaupun saya tidak menghadiri perhimpunan Bersih 3.0, sebagai
seorang rakyat, saya mengharapkan (malah menuntut!) proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Sesungguhnya saya terkejut dan hanya mampu
ketawa terbahak-bahak apabila membaca kenyataan pihak tertentu yang mengatakan bahawa
perhimpunan pada 28 April 2012 di Kuala Lumpur dan di pelbagai lokasi di
seluruh negara – malah di seluruh dunia – bertujuan menggulingkan kerajaan.
Bagi seorang penulis, mata pena (hasil
tulisannya) diakui lebih tajam daripada mata pedang. Bagi peserta perhimpunan
Bersih 3.0 pula, ternyata sebotol air mineral, segenggam garam dan sehelai
tuala tangan lebih “tajam dan berkuasa” daripada gas pemedih mata, pancutan air
kimia dan pelbagai “senjata” lain yang terbukti digunakan pihak berkuasa atas
arahan pemerintah.
Memang pelbagai pihak tampil mengemukakan
pelbagai pandangan – malah fatwa – mengenai perhimpunan Bersih
3.0. Ada juga yang melakukan “serangan balas” berbentuk peribadi; misalnya menjual burger daging lembu di hadapan
rumah orang beragama Hindu manakala sekumpulan orang tua menayangkan punggung di khalayak ramai.
Nasihat saya amat mudah: Jangan mengutuk
tindakan menjual burger dan aksi senaman buntut oleh puak anti-Bersih kerana
anda akan membantutkan daya kreativiti puak terbabit yang pasti sedang
bersiap-sedia melakukan banyak lagi aksi bodoh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Pada masa sama, presiden Malaysian Hindu
Dharma, Prof Dr N. S. Rajendran dan presiden Hindu Sangam, R. S. Mohan Shan
yang kenyataan mereka disiarkan oleh Bernama
pada 18 Mei 2012 tidak pula menyebut apa-apa mengenai “hukum” apabila ada orang
sengaja menjual burger lembu atau membuat senaman punggung di hadapan rumah seseorang
penganut agama Hindu.
Dalam pada itu, sekiranya diteliti,
kenyataan Rajendran dan Mohan sebenarnya “menyokong
penuh” perhimpunan Bersih 3.0 dari sudut agama Hindu. Untuk itu, kita perlu
sentiasa ingat tentang perjuangan sebenar Bersih 3.0 tanpa terkeliru dengan
pelbagai tuduhan mengelirukan yang dilontarkan pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut Mohan, “perhimpunan atau
demonstrasi hanya boleh diadakan dengan syarat ianya [sic] dijalankan secara aman serta menghormati setiap umat manusia,
malah haiwan sekalipun dan tidak boleh menyusahkan orang lain”.
Beliau yang menyokong kenyataan terdahulu
oleh Rajendran turut mengakui bahawa “perhimpunan itu hanya akan dihormati
majoriti rakyat apabila ia mempunyai sebab yang wajar”.
Kenyataan “sokongan padu” itu terselindung di sebalik pelbagai kenyataan lain
yang tidak berasas dan mungkin berniat jahat. Misalnya, kedua-dua presiden itu
sudah membuat ketetapan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 “yang bertukar menjadi
rusuhan”, “mencetuskan keganasan dan merosakkan harta benda awam”, “menjejaskan
keamanan negara”, “disokong pembangkang” dan “berasaskan emosi atau keganasan”.
Pendirian awal – atau brainwash? – yang turut mewarnai kenyataan Rajendran dan Mohan
termasuk juga: “diapi-apikan oleh pihak berkepentingan politik”, “mengancam
nyawa, menimbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda awam” serta “mewujudkan
kacau-bilau mahupun dimanipulasi pihak lain”.
Saya masih tertanya-tanya bagaimana mereka berdua
sudah boleh membayangkan segala perkara itu “akan berlaku” sekiranya kaum India
beragama Hindu menyertai perhimpunan Bersih 3.0. Perlu diingat bahawa
keseluruhan kenyataan mereka adalah untuk kononnya menjelaskan mengapa orang
India-Hindu memilih untuk tidak menyertai perhimpunan pada 28 April 2012.
Frasa yang sering diulang-ulang adalah
bahawa Bersih 3.0 didalangi pembangkang. Kenyataan ini
amat dangkal kerana individu terbabit ternyata tidak memahami perjuangan serta
barisan pejuang Bersih yang mahukan pilihan raya yang bersih, adil dan bebas.
Cuma satu frasa yang mungkin terlupa
diselitkan dalam kenyataan kedua-dua tokoh agama berkenaan; iaitu “menggulingkan kerajaan”.
Bercakap mengenai agama – dan dalam konteks
ini, agama Hindu – ternyata ada cubaan untuk memanipulasi agama itu untuk
mengeluarkan semacam “fatwa” bahawa agama Hindu melarang penganutnya menyertai
perhimpunan.
Konsep “dharma” menjadi asas kepada ajaran agama Hindu. Para pemikir agung
yang hidup pada sekitar tahun 2500 Sebelum Masehi di India sudah menyenaraikan
ordinan, peraturan, tugas, hak, moral, tanggungjawab, peranan dan ciri yang
perlu dimiliki oleh setiap individu yang hidup dalam masyarakat menerusi Dharmasastra, Veda dan Manu Smrti.
Topik-topik berkaitan tugas
pemerintah, perundangan, pentadbiran, prosedur mahkamah, undang-undang sivil, sains
politik dan pelbagai topik lain terkandung dalam teks nibandha seperti Kalpataru,
Smrticandrika, Smrtitattva dan Viramitrodaya.
Pengarang purana turut
memasukkan unsur ajaran “dharma” yang terdapat dalam veda, dharmasutra,
smrti dan nibandha apabila mengangkat kisah dewa-dewi; khususnya
untuk menerapkan nilai “dharma” pada kanak-kanak.
Sesiapa yang berpeluang membaca epik Mahabharata dan Ramayana pasti mengakui serta menyedari
kehadiran pelbagai konsep “dharma” dan ajaran agama Hindu di dalamnya.
Dalam Ramayana
misalnya, kelahiran (inkarnasi) watak Rama adalah khusus untuk menamatkan
keangkuhan dan kezaliman watak Ravana. Rama terpaksa melalui perjalanan panjang
dengan bantuan Hanuman, lotong berjanggut putih,
sebelum berjaya melaksanakan “tugas” yang diamanahkan kepadanya.
Ringkasnya, “dharma” merujuk pada
tanggungjawab melakukan kebaikan menurut “karma”.
Nah, bukankah apa yang dilakukan Bersih 3.0 sama sahaja dengan kisah dalam Ramayana?
Begitu juga dengan kisah dalam Mahabharata di mana Pandawa (yang mewakili kumpulan
minoriti, iaitu rakyat jelata?) ditipu, dizalimi, dimalukan, dimanipulasi dan
dihina dengan pelbagai cara oleh Kaurawa (yang mewakili kumpulan majoriti,
iaitu pemerintah yang maha berkuasa?).
Namun, akhirnya kemenangan tetap berpihak
kepada Pandawa yang berani berjuang menuntut kebenaran dan hak menerusi
peperangan (proses pilihan raya?) yang bersih, bebas dan adil.
Maka, jangan ada pihak yang mudah “dimanipulasi pihak tertentu” dan
mengeluarkan kenyataan menyelar perhimpunan Bersih 3.0 dengan “memperalatkan”
agama Hindu atau mana-mana pertubuhan agama Hindu.
Gandhi berani menentang kezaliman dan
ketidakadilan. Beliau mengadakan mogok lapar, hartal, perhimpunan besar-besaran, demonstrasi, mogok lapar dan satyagraha demi perjuangan menuntut
keadilan, hak dan kebenaran.
Kalaulah mendiang masih ada – dan kebetulan
diberi kewarganegaraan Malaysia serta hak mengundi – saya pasti bahawa beliau
juga telah bersama-sama Datuk S. Ambiga, Pak Samad dan ribuan rakyat jelata
menyertai “duduk bantah” sempena perhimpunan Bersih 3.0 pada 28
April 2012 demi menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. - BACA JUGA DI SINI
(© Uthaya Sankar SB. Makalah
ini ditulis pada 21 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Jun 2012.)