BAHAGIAN 1: Ada suatu kisah yang kurang diketahui umum mengenai apa yang berlaku selepas cerita dalam teks Ramayana berakhir.
Salah satu versi mengatakan bahawa Hanuman pergi ke Himalaya dan mula menulis semacam autobiografi mengenai segala apa yang berlaku dalam hidupnya.
Kemudian, apabila Valmiki melihat hasil karya Hanuman, maharishyi itu kecewa kerana Hanumad Ramayana (Ramayana Versi Hanuman) jauh lebih hebat berbanding Valmiki Ramayana (Ramayana Versi Valmiki).
Perlu diingat bahawa Hanuman terlibat secara langsung dalam segala peristiwa penting yang berlaku dalam Ramayana sementara Valmiki hanya mendengarnya kemudian daripada Sita.
Valmiki dikenali di seluruh dunia sebagai pengarang epik Ramayana. Beliau digelar “adikavi” iaitu “penyair agung” manakala Ramayana digelar “adikavya” iaitu “karya agung”.
Nama asal Valmiki dipercayai ialah Ratnakara. Pada suatu hari, beliau mengikut bapanya, Prachetasa, seorang alim ke hutan. Ratnakara sesat lalu ditemui seorang pemburu.
Maka, Ratnakara membesar dalam keluarga pemburu itu dan menjadi seorang perompak jalanan.
Suatu hari, dia didatangi Naratar, orang alim yang menyedarkannya bahawa perbuatan merompak adalah tidak baik. Ratnakara bertapa bertahun-tahun lamanya sehingga tubuhnya ditutup sarang semut (“valmika” dalam Bahasa Sanskrit).
Apabila akhirnya dia keluar, Ratnakara digelar “Valmiki” dan dia menjadi Bhramarishi, iaitu ketua orang alim. Valmiki memulakan ashramam iaitu tempat bagi orang-orang alim berkumpul. Di situlah Valmiki mendengar kisah mengenai Rama, Sita dan Laksamana.
Apabila Rama mencurigai kesetiaan dan kesuciaan Sita, dia dihantar ke ashramam yang dikendalikan oleh Valmiki. Sita yang sedang mengandung, melahirkan Lava dan Kusa di situ.
Sementara itu, Valmiki menghasilkan epik Ramayana dalam bentuk puisi klasik Sanskrit, iaitu sloka, berdasarkan apa yang diceritakan oleh Sita mengenai pengalamannya.
Apabila siap, sloka itu diajar kepada Lava dan Kusa. Suatu hari, Rama sendiri berpeluang mendengar sloka itu dan menyedari kesilapannya menghalau Sita dari istana.
Walaupun maklumat lengkap mengenai Valmiki tidak diketahui, sumbangan beliau dalam menghasilkan epik Ramayana yang kini tersebar ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan versi tetap dihargai.
Dalam pada itu, berbalik pada kisah Hanuman, demi menjaga hati Valmiki, Hanuman kononnya mencampakkan hasil karyanya iaitu Hanumad Ramayana ke laut.
Maka, seolah-olah, umat manusia hilang peluang membaca sebuah karya hebat dan dokumentasi tepat berbentuk memoir atau autobiografi mengenai apa yang berlaku.
Sesungguhnya, Ramayana adalah epik India yang tersebar luas ke seluruh dunia, khususnya sebagai tindak balas terhadap penyebaran agama Buddha secara meluas semasa pemerintahan Asoka di India.
Apa yang menarik, penganut ajaran Buddha pula membuat sedikit pengubah suaian dan mengatakan bahawa Rama adalah inkarnasi Siddharta Gautama Buddha.
Malah, hikayat klasik Xi You Ji (Journey to the West) karya Wu Cheng’en pada Dinasti Ming di China menceritakan kisah seorang sami Buddha bernama Xuan Zhuang.
Beliau bersama-sama beberapa pengikutnya – termasuk Sun Wukong, raja kera sakti – pergi ke benua Tian Zhu (India) untuk mendalami agama Buddha dan membawa pulang kitab-kitab suci.
Dua versi terkenal Ramayana dalam kalangan masyarakat India adalah versi asal Valmiki (Bahasa Sanskrit) dan versi Kamban (Bahasa Tamil). Terdapat juga pelbagai versi di Gujarat, Maharashtra, Assam, Orissa, Andra Pradesh, Karnataka, Kerala, Goa dan Kashmir.
Melalui adaptasi dan interpretasi setempat, maka lahir pula Hikayat Seri Rama di Malaysia, Kakawin Ramayana di Indonesia, Ramakien di Thailand, Reamker di Kemboja, Phra Lak Phra Lam di Laos, Rajah Magandiri di Filipina, Yama Zatdaw di Myanmar dan Siddhi Ramayan di Nepal.
Tarikh sebenar Ramayana ditulis sukar dikesan, tetapi dipercayai antara abad ke-4 Sebelum Masehi dan abad ke-2 Masehi. “Ayana” bermaksud “perjalanan hidup” atau “panduan hidup”.
Maka Ramayana tidak hanya dilihat sebagai sebuah epik tetapi sebagai kitab suci agama Hindu. Ramayana juga merupakan karya sastera agung (adikavya) dan karya sejarah (itihasa).
Tema umum Ramayana adalah mengenai kebaikan menentang kejahatan. Cerita asas adalah mengenai penculikan Sita, isteri Rama, oleh Ravana. Lalu, Rama, Laksamana dan Hanuman berusaha menyelamatkan Sita dengan bantuan pelbagai pihak. - Bersambung dalam novel Hanuman: Suara Hati (2013).
(Uthaya Sankar SB yang menulis secara profesional sejak 1992 turut menggunakan nama pena “Hanuman O”. Artikel ini ditulis berdasarkan beberapa makalah lama dan tambahan maklumat baru sebelum disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 Januari 2012.)