Sesungguhnya Bersih 3.0 membantu saya membersihkan
akaun Facebook daripada dicemari
pendukung fahaman politik perkauman dan pencetus perpecahan dalam kalangan
rakyat Malaysia.
Seperti yang kita sedia maklum, “demokrasi”
adalah pemerintahan negara oleh rakyat. Maka, kerajaan sepatutnya berterima kasih dan
terhutang budi kepada rakyat yang memberikannya peluang untuk mentadbir negara
milik rakyat.
Peluang mentadbir negara pula dilakukan
melalui proses pilihan raya. Sebagai seorang
rakyat yang layak untuk mengundi, saya mengharapkan dan menuntut hak terhadap
proses pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Memanglah saya tidak terlibat secara
langsung dengan cara menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 tetapi
saya mengikuti perkembangannya menerusi laman rangkaian sosial.
Saya seperti ribuan rakan-rakan lain
menyokong tuntutan ke arah memastikan proses pilihan raya yang adil, bebas dan
bersih. Namun, ternyata ada pihak yang menentang permintaan seperti itu.
Mungkin juga mereka mahukan pilihan raya yang kotor dan penuh tipu-helah.
Ada beberapa individu yang ternyata
langsung tidak faham apa itu “Bersih 3.0” serta apa yang dituntut
rakyat. Hal ini amat nyata menerusi paparan pada ruangan status serta komen
yang mereka tulis di Facebook.
Bagus juga begitu kerana mereka secara
langsung mendedahkan kebodohan mereka; sekali gus memudahkan usaha saya
“membersihkan” senarai rakan-rakan di Facebook.
Misalnya, Umar Uzair yang ternyata tidak
menghadiri Bersih 3.0 mencatatkan begini:
“Lima
sepuluh atau seratus ribu,
Si
Kuning bukan duduk bantah tapi setuju,
Pada
hilai tawa Ambiga dan seteru,
Tentang
citanya hapuskan Islam dan Melayu,
Kasihan
Tuan di tanah negaraku!
Batil
dan zahir sudah dikelam abu..”
Harus saya nyatakan bahawa semua petikan
yang saya jadikan contoh di sini dipaparkan sebagai “public” (umum) pada Facebook.
Maka, tidak timbul soal saya “mencuri” maklumat peribadi (“private”).
Dalam contoh kata-kata di atas, Umar
ternyata memfitnah para peserta Bersih 3.0 sebagai “bersetuju dengan cita-cita
Datuk Ambiga dan pasukannya menghapuskan agama Islam dan kaum Melayu di negara
ini”.
Bagaikan benar-benar berada di Dataran
Merdeka semasa perhimpunan itu berlangsung, pemuda berkenaan yang menggelarkan
dirinya “penulis novel, cerpen, puisi moden, pendeklamasi, penyanyi, pereka
grafik” turut menulis begini:
“Dataran
bermandi nanah,
Merdeka
diludah ludah,
Bangsaku
berdarah,
Pak
Samad sama dijajah,
Hatiku
luluh, punah!”
Maka, saya keluarkan Umar daripada senarai
rakan di Facebook dengan turut
memaklumkan tindakan saya kepada pemuda itu. Sejurus selepas itu, terpapar pada
dindingnya:
“Ada
pucuk pimpin BERSIH yang sudah membuang saya dari Fbnya kerana sinikal cakap
saya. Aneh, katanya berhati batu duduk himpun terbuka di kuala pertahan kubu!”
Wah! Tiba-tiba sahaja saya menjadi “pucuk
pimpin Bersih” semata-mata kerana membuang kelompok yang bersikap perkauman dan
menghina Datuk A. Samad Said (Pak Samad).
Seorang lagi individu yang terpaksa saya
keluarkan daripada senarai rakan di Facebook
ialah pemuda bernama Faiz Hussamuddin.
Dia mencadangkan “Lucut
kerakyatan S. Ambiga, Anwar Ibrahim, semua ahli DAP”. Faiz turut
menambah, “Tak lupa Pak Samad. Lucut kerakyatan dia
juga”. Rakannya pula segera “setuju setuju setuju”.
Tidak cukup dengan itu, Faiz turut mendakwa
begini: “Bodoh punya Bersih. Orang Cina yang banyak
menyokong Bersih sila jangan menyebarkan cerita Bersih anda dalam Bahasa Cina.
Nampak sangat rasis. Nak kutuk polis je kerja. Nak kuasa ka?”
Seorang rakannya pula menambah: “Ambiga enterprise bro.. Minachi tu, saja buat kecoh. Dia
ada business lain. Kelab gay dah ada tauke bersih dia”.
Orang seperti itu juga tentu sahaja tidak
layak untuk kekal dalam senarai rakan-rakan saya di Facebook. Secara kebetulan, Umar dan Faiz adalah bekas pelajar di
sebuah kolej swasta di mana saya pernah menjadi pensyarah dahulu.
Mumtaz Aini Alivi yang
saya kenali semasa di RTM (1996-2010) pula membuat kenyataan umum (public) menerusi Facebook: “Entah kenapalah mereka ni
‘terlebih bijak’, nak kata bingai tak jugak” serta “kesimpulan: BERSIH=BODOH”.
Beberapa rakannya pula menambah komen
seperti “BERSIH = BULLSHITT” (Lily Ilyana), “Inilah contoh golongan tak bersyukur” (Rizz
Zahari), “bodoh, bengap, bahlol” (Norliza
Abd Rahman), “They
will do anything for money. Cowards” (Bebe Abu Bakar), “Itu org tarak otak; lebih [baik] mati dari[pada] hidup”
(Muhawin Ahmad) dan “Bingai sgt depa ni kak”
(Ieqa Atiqah).
Komen-komen lain termasuk “Seorang dapat RM300... tak percaya tanya Hassan Kunyawa”
(Edroosse Mumutti) lalu disambut oleh Mumtaz, “Orang
mcm ni kena ‘pos’ balik pi negara atuk nenek mrk ... senang citer”.
Edroosse menambah, “Ramai
mamak yang seangkatan dgn Hassan Kunyawa n Zali Yusof sepatutnya dihantar balik
ke India. ... biar dia orang kebulur kat situ”. Bagi Cr Lukman Moidin
pula, “Apa yang kita lihat dalam BERSHIT tu adalah
gambar syaitan-syaitan yang ada dalam manusia”.
Dalam pada itu, walaupun isu novel Interlok Edisi Murid sudah “selesai”
pada akhir Disember 2011, bagi puak tertentu yang mengamalkan politik perkauman
dan bersikap anti-Kavyan, mereka ternyata masih amat
aktif menyebarkan fitnah dan pembohongan kepada orang ramai berhubung apa yang sebenarnya
berlaku.
Salah satu contoh individu yang ternyata
sudah terpengaruh dengan dakyah seperti itu adalah Asrul Muzaffar Mohammed. Hal ini nyata
apabila pada 28 April 2012, dia merujuk pada saya sebagai “One non-Malay author and publisher (who championed the bashing on INTERLOK previously)” di Facebook.
Terdahulu, Asrul mencatatkan komen mengenai
Bersih 3.0 dengan memasukkan kata-kata negatif dan perkauman (“uttering negative
and racist remarks about Bersih” seperti diakuinya sendiri). Maka
saya mengeluarkannya daripada senarai rakan kerana tidak mahu “aura negatif”
seperti itu mengelilingi saya.
Sebenarnya, sejak Januari 2012, saya
mendapat pelbagai maklumat daripada orang ramai di seluruh negara. Nampaknya
ada puak tertentu – termasuk kelompok penulis tertentu – yang sibuk mengadakan
kempen untuk memutar-belit fakta. Kononnya saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
mahukan novel Interlok (asal)
diharamkan.
Kononnya, saya “terkinja-kinja menyucuh karak Interlok” seperti kata seorang individu bernama Zana Zanzaly
(mungkin nama samaran) pada 2 April 2012. Saya dan Kavyan kononnya menghina
Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussian yang menerima Anugerah Sastera Negara
daripada Yang di-Pertuan Agong. Kononnya saya cuba “menggugat keamanan rakyat” dan bersikap anti-Melayu.
Lalu, puak anti-Kavyan
berusaha mengaitkan isu Interlok Edisi
Murid dengan Bersih 3.0 secara sewenang-wenangnya. Pada masa sama, ada sesuatu
yang lupa diceritakan oleh puak anti-Kavyan kepada umum. Atau lebih tepat lagi:
sengaja tidak mahu didedahkan oleh puak yang tidak bermaruah itu kepada orang
ramai. – Bersambung minggu depan [BACA DI SINI]
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 8 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 21 Mei 2012.)