28 Jun 2012

Dharma sebagai Kod Etika

[Konsep “dharma” merujuk pada himpunan ajaran yang membimbing seseorang individu menjadi insan yang berhemah.]

Seorang individu yang menghayati konsep “dharma” pasti tidak akan melakukan apa-apa perkara yang bertentangan dengan nilai dalam keluarga, kod etika pekerjaan dan norma dalam masyarakat.

Pemahaman, penghayatan dan kepatuhan kaum India terhadap segala ajaran yang terkandung dalam teks-teks berkaitan Dharmasastra mampu menyumbang ke arah usaha mengatasi pelbagai masalah dalam masyarakat.

Seperti yang saya huraikan minggu lalu, konsep “dharma” dalam budaya India bukan tuntutan agama Hindu semata-mata. Sebaliknya, memandangkan ajaran agama Hindu dan ajaran Dharmasastra sama-sama membimbing manusia ke arah kebaikan, maka ramai yang berpandangan bahawa Dharmasastra adalah sebahagian daripada konsep keagamaan Hindu.

Pada waktu sama, ajaran agama Hindu turut digelar Sanatana Dharma iaitu “agama yang abadi” atau “agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan”. Satu lagi gelaran yang digunakan adalah Vaidika Dharma iaitu “agama menurut kitab-kitab veda”.

Namun, sebenarnya, konsep “dharma” tidak terikat pada ajaran satu-satu agama. Sebaliknya, ajaran “dharma” secara langsung atau tidak langsung diterapkan juga dalam ajaran mana-mana agama utama dunia.

Hal ini tidaklah menghairankan kerana setiap agama memang membimbing para penganut ke arah “dharma”. Kebenaran hakikat ini akan diperakui sekiranya setiap individu memahami ajaran sebenar agama anutan masing-masing.

Konsep “dharma” merujuk pada himpunan ajaran, peraturan, moral, nilai murni, etika, norma, tanggungjawab, hak dan sebagainya yang membimbing seseorang individu menjadi insan yang berhemah dalam keluarga dan masyarakat. - Baca makalah penuh di Mandala Bicara.

(© Uthaya Sankar SB. Makalah ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 Mei 2012. Sila rujuk juga makalah bertajuk “Dharma sebagai Norma Masyarakat” untuk pemahaman lanjut berhubung topik ini.)