Sebelum ini, apabila
berpeluang membaca antologi Body 2 Body: A Malaysian Queer
Anthology (2009), saya sedikit terkejut dengan
“keberanian” para penulis terbabit memperkatakan isu-isu yang dianggap (ulang:
dianggap) tabu dan sensitif dalam konteks negara Malaysia.
Bagaimanapun, ternyata Body 2 Body jauh lebih “ringan” jika dibandingkan dengan GASPP: A Gay Anthology of Singapore Poetry
and Prose (2010) yang menyajikan karya-karya yang lebih “berat” dan
“berani” dalam meneroka isu-isu seksualiti bersifat “alternatif”.
Saya berpeluang memiliki antologi ini
sewaktu menyertai Makassar International
Writers Festival di Sulawesi Selatan, Indonesia (13-17 Jun 2012).
Kebetulan, peserta/penulis dari Singapura, Ng Yi-Sheng adalah salah seorang
penyunting bagi antologi berkenaan.
Antara penulis yang karya mereka termuat
dalam antologi penuh kontroversi ini ialah Alfian Sa’at, O Thiam Chin, Irfan
Kasban, Ash Lim, Nicholas Deroose dan Jabir Yusoff.
Karya-karya Bahasa Melayu, Inggeris dan
Mandarin dalam antologi setebal 223 halaman ini termasuk puisi, fiksyen,
memoir, esei dan karya eksperimental. Batas antara “fiksyen” dan “fakta” pula
agak kabur dan terpulang kepada pembaca untuk memutuskan jika penulis
menghasilkan “faksyen” berdasarkan pengalaman
sendiri.
Yi-Sheng yang karyanya turut termuat dalam
antologi sulung para penulis LGBT (lesbian, gay, bisexual & transgender)
Singapura menjelaskan bahawa buku ini mampu membantu khalayak antarabangsa
lebih mengenali kelompok pengarang LGBT di republik berkenaan.
Dr Audrey Yue, Ketua Jabatan Pengajian
Filem dan Kebudayaan, Universiti Melbourne dalam kata pengantar menyebut bahawa
antologi ini merupakan legasi kepada penglibatan golongan LGBT dalam pelbagai
bidang seni, budaya dan sastera Singapura.
Bahagian pengenalan pada antologi ini
memberikan maklumat yang sangat berguna mengenai realiti penulis LGBT serta
usaha-usaha yang dilakukan bagi menonjolkan kehadiran mereka menerusi fiksyen;
selain terlibat sebagai aktivis.
Kebanyakan penulis terbabit juga dijangka
menyertai acara Freedom to Love pada
30 Jun 2012 di Hong Lim Park. Maklumat mengenainya terdapat di www.pinkdot.sg
tetapi hanya warga dan penduduk tetap Singapura dibenarkan mengambil bahagian. Warga
asing pula boleh hadir sebagai penonton.
Ketika ditanya, Yi-Sheng mengakui bahawa
beberapa kedai buku di Singapura menerima “amaran” dan “nasihat” daripada pihak
tertentu supaya tidak memperaga dan menjual antologi “GASPP”. Bagaimanapun, antologi ini tidak (belum?) diharamkan di
republik berkenaan.
Saya belum pernah melihat antologi ini di
kedai-kedai buku Malaysia dan saya tidak akan berasa hairan/terkejut sekiranya
antologi ini diharamkan atas alasan gambar kulit buku tidak sesuai dengan
budaya kita!
[Uthaya Sankar SB adalah
penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 & 1998/99. Novel Ugut bertema
LGBT pernah disiarkan di The Malaysian
Insider (18 September 2011 – 15 April 2012). Ulasan buku ini ditulis pada 22
Jun 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB
2012. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.]