11 Dec 2011

Apa Kes Seksualiti Merdeka?

Pada awal bulan November 2011, kecoh tentang suatu acara yang dikatakan menggalakkan seks bebas.

Saya pernah mendengar mengenai program Seksualiti Merdeka sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak pernah memikirkan untuk mengaitkannya dengan sebarang aktiviti seks bebas.


Maka, saya sedikit terkejut apabila program itu diberi label sedemikian oleh pelbagai pihak.


Pada 2 November lalu, misalnya, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali melabel Seksualiti Merdeka sebagai cuba mempromosikan budaya ‘binatang’ dalam kalangan rakyat.


Akhbar Utusan Malaysia pada keesokannya melaporkan Ibrahim sebagai berkata bahawa matlamat program itu yang menghalalkan hubungan sejenis bukan sahaja haram di sisi Islam, malah ditolak oleh agama lain yang dianuti rakyat negara ini.


Akhbar sama menggunakan frasa “acara awam program mempromosi seks bebas” apabila melaporkan pada 5 November bahawa penganjur Seksualiti Merdeka 2011 menghentikan acara itu.


Pada masa sama, penganjur tetap mempertahankan usaha memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia atas dasar “hak manusia sejagat”.


Apa yang saya perhatikan adalah dua pendirian, tanggapan, persepsi dan pandangan berbeza berhubung suatu perkara.


Di satu pihak, awal-awal lagi sudah memutuskan bahawa program yang melibatkan LGBT adalah pasti berkaitan seks bebas dan ‘budaya binatang’.


Kebetulan saya berpeluang menonton beberapa filem yang menyentuh isu LGBT, khasnya transgender.


Filem Tamil berjudul “Kanchana” menampilkan Sarath Kumar – ya, hero Tamil bertubuh sasa itulah – sebagai watak transgender. Bukan sebagai pengamal seks bebas dan budaya binatang, tetapi membantu khalayak memahami jiwa dan perjuangan golongan itu.


Begitu juga filem Urdu dari Pakistan berjudul “Bol” yang mengisahkan sebuah keluarga Islam di Lahore. Dipaparkan secara penuh realistik rintangan yang dilalui oleh sebuah keluarga apabila seorang anak termasuk dalam golongan LGBT.


Sekali lagi, “Bol” bukan mengenai seks bebas dan budaya binatang seperti yang “dikhayalkan” dan “difantasikan” puak tertentu yang lantang bersuara menentang Seksualiti Merdeka.


Filem Tamil berjudul “Narthagi” juga wajar ditonton puak seperti itu supaya mereka lebih memahami apa yang diperjuangkan oleh LGBT.


Atau mungkinkah juga segala “maklumat” yang diterima mereka hanya daripada DVD lucah lima bintang; lalu mereka membuat keputusan bahawa semua program berkaitan LGBT adalah berorientasikan seks bebas dan budaya binatang?


Belum sempat kita memikirkan persoalan itu secara mendalam, muncul pula satu lagi kenyataan yang ditujukan kepada LGBT.


Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan membuat kenyataan bahawa LGBT adalah bertentangan dengan Perlembagaan (unconstitutional).


“Realitinya, dalam Perlembagaan negara, kita tak benarkan, termasuk Seksyen 377 (a), (b), (c) dan (d) yang tidak benarkan berlaku perhubungan lelaki dengan lelaki dan sebagainya, yang saya nampak di hujung terowong itu adalah untuk memadamkan Seksyen 377 ini,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 21 November 2011.


Suara bantahan terhadap kenyataan dangkal itu terus tersebar luas di ruang siber. Saya memutuskan untuk mendengar hujah daripada golongan LGBT sendiri berhubung isu ini; dengan andaian bahawa Ibrahim dan Jamil tidak bersuara mewakili golongan itu.


Saya berpeluang menghubungi Sim Tze Wei, pemuda berumur 28 tahun yang kini bekerja di luar negara, dan Azlan Abdul Razak iaitu seorang pelajar tahun akhir jurusan perundangan yang juga pejuang hak wanita.


Banyak isu yang sempat kami bincangkan dan berikut hanyalah sebahagian daripada apa yang dikongsikan secara terbuka, berhemah dan matang.


Mengenai label “seks bebas” yang diberikan terhadap Seksualiti Merdeka, Tze Wei menegaskan bahawa rata-rata pembaca akhbar Bahasa Mandarin tidak mendapat gambaran negatif seperti itu kerana akhbar terbabit melaporkan perkara sebenar dan memberikan maklumat sebenar.


“Saya berani katakan bahawa hanya pembaca akhbar Melayu seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia yang terkeliru kerana diberikan maklumat yang salah dan sengaja diputar belitkan,” katanya.


Azlan juga tidak setuju dengan tindakan mengharamkan program Seksualiti Merdeka berdasarkan alasan agama.


“Bagi saya, Seksualiti Merdeka hanyalah suatu dan satu-satunya program yang memberi ruang dan peluang kepada LGBT bersuara serta membantu orang ramai memahami kepelbagaian isu gender yang wujud di depan mata.


“Tindakan kurang bijak mengharamkan acara ini semata-mata kerana pihak tertentu tidak bersetuju dengan motif penganjuran acara ini tidak bermakna orang itu berjaya mencari jalan penyelesaian bagi apa-apa masalah yang wujud,” katanya.


Azlan turut melihat Seksualiti Merdeka sebagai memberi “a voice to the voiceless”.


Saya juga bertanya kepada mereka mengapa tiba-tiba ada suara lantang orang politik menentang LGBT.


“Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir,” Tze Wei berterus terang.


Pada pandangannya, Barisan Nasional (BN) mungkin melihat isu LGBT dan Seksualiti Merdeka sebagai “peluang” untuk mewujudkan perpecahan antara rakyat dan Pakatan Rakyat, khasnya PAS.


“Hakikat yang amat nyata adalah bahawa rakyat semakin memilih Pakatan Rakyat. Jadi, isu LGBT dijadikan kambing hitam untuk memesongkan perhatian orang ramai.


“Misalnya, Datuk S. Ambiga dikaitkan dengan Seksualiti Merdeka supaya penyokong PAS yang menyokong Bersih akan mula tidak yakin pada perjuangan Ambiga,” Tze Wei menghuraikan.


Azlan juga mengaitkan apa yang berlaku dengan agenda politik.


“Setiap kali menjelang pilihan raya umum, politikus memang sudah terbukti sentiasa cuba mengungkitkan isu-isu berkaitan usaha mengukuhkan perjuangan berteraskan Islam; sekali gus tiba-tiba bangkit menentang apa-apa yang dilihat sebagai anti-Islam dan anti-Syariah.


“Memandangkan LGBT ada kaitan dengan agama – dan Islam adalah agama yang dianuti rata-rata orang Melayu di negara ini – maka saya tidak menolak kemungkinan isu ini sengaja digunakan sebagai bahan bagi memancing undi rakyat,” tegasnya.


Tze Wei turut menarik perhatian terhadap Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang diperkatakan Jamil.


“Seksyen itu merujuk pada hubungan seks luar tabii dan tidak hanya merujuk pada golongan LGBT. Seks luar tabii dalam kalangan pasangan heteroseksual juga termasuk dalam Seksyen 377.


“Majoriti penduduk sesebuah negara adalah heteroseksual. Jadi, tentulah undang-undang itu dirangka khusus untuk mereka dan bukan semata-mata bagi LGBT yang merupakan minoriti,” hujahnya.


Tze Wei juga menegaskan bahawa tidak semua lelaki gay meminati seks luar tabii, malah ramai yang membenci seks dubur (anal sex).


Azlan pula menarik perhatian terhadap hakikat bahawa ramai LGBT yang tidak terlibat dalam aktiviti seksual (hubungan kelamin).


“Apakah mereka akan dianggap constitutional kerana tidak melakukan aktiviti bertentangan Seksyen 377 dan seterusnya berhak menikmati segala kebebasan sebagai LGBT?


“Pasti sahaja soalan yang saya kemukakan kedengaran lucu tapi bukankah sama lucu dengan hukuman unconstitutional yang dinyatakan oleh pihak berkenaan?” Soalnya lagi.


Azlan juga mengecam tanggapan berbentuk prejudis bahawa semua golongan LGBT mengamalkan seks bebas dan seks luar tabii.


Dalam nada yang sama, Tze Wei menekankan bahawa golongan homoseksual berada di mana-mana.


“Dalam keluarga dengan lebih lima anak, mungkin salah seorang adalah LGBT. Memandangkan Jamil ada keluarga yang agak besar, secara teori, tidak mustahil ada individu homoseksual dalam kalangan sanak-saudara dan keluarganya juga,” katanya.


Nampaknya, selain daripada isu yang dijadikan bahan politik dalam keadaan terdesak untuk memancing undi, kini timbul pula kemungkinan bahawa segala “suara sumbang” yang keluar daripada pihak tertentu adalah manifestasi daripada situasi homofobia dalam keluarga mereka sendiri.



(Artikel ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 25 November 2011 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 November 2011.)