Wednesday, 14 February 2018

Kolattam Memupuk Perpaduan dan Penghayatan Budaya

Sekumpulan kanak-kanak dan remaja sedang giat menjalani latihan tarian kolattam, iaitu satu bentuk tarian tradisional kaum India yang masih popular. Mereka berlatih sebagai persiapan bagi persembahan menjelang sambutan ponggal, iaitu pesta menuai, yang disambut pada bulan Januari.

Istilah kolattam merupakan gabungan dua perkataan Tamil, iaitu “kol” (kayu pendek) dan “attam” (tarian). Maka, persembahan ini juga boleh digelar “tarian kayu” dalam konteks Malaysia. Kanak-kanak dan remaja yang mengikuti kelas kolattam di Aulong Lama, Taiping, Perak sejak Jun 2017 turut didedahkan mengenai sejarah dan keunikan seni persembahan tradisional ini.

Di negara asalnya, iaitu India, kolattam juga dikenali dengan nama-nama lain. Misalnya, dandiya di Gujarat, garbha di Rajasthan dan kaliyal adithal di Kerala. Manakala di Tamil Nadu, Andra Pradesh dan Telangana, ia dikenali dengan nama kolattam. Tarian kayu ini juga popular di Malaysia, Singapura, Sri Lanka dan mana-mana tempat tumpuan diaspora India. Komuniti India di Malaysia yang pernah membesar di kawasan ladang dan estet pasti amat biasa dengan tarian ini.


Malah, akhbar The Star (9 Februari 2012) melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Melaka menjadi negeri pertama di luar negara India yang memberikan pengiktirafan tertinggi kepada kolattam dengan memasukkannya dalam kalendar pelancongan. Tidak setakat itu, remaja dan belia bukan kaum India juga diundang menganggotai pasukan tarian kolattam di negeri berkenaan.

Secara tradisi, kolattam dipersembahkan pada mana-mana majlis atau keramaian sebagai tanda meraikan kegembiraan. Pada suatu waktu dahulu di Malaysia, majlis perkahwinan, kelahiran, ponggal, Deepavali dan sebagainya tidak lengkap tanpa persembahan kolattam. Walau bagaimanapun, keadaan itu sudah berubah sekarang. Persembahan kolattam hanya dapat disaksikan semasa Thaipusam, upacara di kuil dan majlis persembahan kebudayaan.

Tarian tradisi rakyat ini dikatakan bermula pada abad ketujuh di negara India, khususnya di wilayah Mahabalipuram, Taripatri, Ramappa, Hampi dan Macherla. Golongan wanita yang bekerja di sawah menari untuk menghiburkan hati pada waktu lapang. Kemudian, apabila padi sudah dituai dan ponggal disambut meriah, golongan wanita menari lagi dengan gembira.


Pada 14 Ogos 2017, sekumpulan 1,000 pelajar di Mahabubnagar, Telangana mengambil bahagian dalam sesi tarian kolattam selama tujuh minit, lalu tercatat dalam Wonder Book of Records (India). Mereka dilaporkan berbuat demikian untuk memastikan generasi muda kenal akan keunikan seni dan budaya tradisi.

Tarian kolattam biasanya ditarikan dalam kumpulan seramai 8 hingga 40 peserta. Secara tradisi, penari terdiri daripada golongan wanita sahaja, manakala golongan lelaki bermain alat muzik seperti gendang dan simbal. Bagaimanapun, lama-kelamaan, lelaki dan wanita menari bersama-sama dalam persembahan kolattam. Carl Vadivella Belle dalam buku Thaipusam in Malaysia: A Hindu Festival in the Tamil Diaspora (2017) merakamkan pemerhatiannya bahawa walaupun kolattam di India Selatan secara tradisi melibatkan penari wanita, tarian itu di Malaysia menggabungkan penari lelaki dan wanita, kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa.


Pergerakan penari biasanya bermula dengan gerak-geri yang lemah-lembut. Kayu yang dipegang di kedua-dua tangan dipukul atau dipalu untuk menghasilkan bunyi. Pukulan atau hentaman inilah yang memberikan tempo kepada tarian kolattam. Selain daripada memukul kayu sendiri, penari juga memukul kayu yang dipegang oleh para penari lain secara berirama. Ada kala, kayu dihentam ke lantai atau tanah.

Para penari biasanya membentuk dua bulatan besar, di mana bulatan kecil terletak di dalam bulatan besar. Sebaik sahaja muzik gendang atau nyanyian bermula, penari menghayun tangan yang memegang kayu, lalu memukul sama ada kayu di tangan sendiri atau kayu di tangan penari-penari lain. Bunyi daripada gendang dan pukulan kayu, serta gerakan kaki dan tubuh secara berirama menghasilkan suatu persembahan kolattam yang mempersonakan.


Tempo tarian sentiasa berubah-ubah. Tarian dan pergerakan yang perlahan boleh memasuki fasa pergerakan lincah, rancak dan bertenaga dalam sekelip mata. Penari mungkin menari secara bersendirian pada suatu masa, kemudian menari secara berpasangan, dan seterusnya kelihatan menari secara berkumpulan dalam suatu formasi yang menarik.

Sebagaimana diakui oleh kanak-kanak, remaja dan belia yang menyertai kelas kolattam di bawah Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, tarian ini amat menghiburkan dan mempunyai banyak kebaikan. Peserta wajib menyertai sesi latihan dan berdisiplin supaya mampu mengatur koordinasi tarian secara berkumpulan. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua. Kalau seorang penari melakukan kesilapan, keseluruhan persembahan akan menjadi cacat.

Penari wajib peka pada setiap masa kerana gerakan tangan, kaki dan kayu adalah secara berterusan dan mengikut corak tertentu yang perlu dihafaz secara mental. Perlu juga ada koordinasi antara mata, telinga, tangan dan kaki penari bagi memastikan persembahan boleh dilakukan secara indah, seragam dan harmoni. Sama ada menari secara berpasangan atau berkumpulan, aspek disiplin, siap siaga, peka dan sebagainya amat penting dalam menjayakan persembahan kolattam berbentuk tarian sosial ini.

Kayu merupakan peralatan penting dalam tarian kolattam. Apa-apa jenis kayu yang lurus dan tahan hentakan serta tidak mudah patah boleh digunakan. Kayu bambu atau rotan juga amat sesuai kerana menghasilkan bunyi yang kuat dan merdu. Panjang kayu biasanya 10-15 inci (25-40 sm) dan berdiameter 2 sentimeter. Bagaimanapun, saiz dan ketebalan boleh diubah suai mengikut keselesaan individu. Kayu kolattam biasanya dicat atau dihias dengan reben pelbagai warna.


Ada beberapa kisah dan mitos berkaitan asal-usul kolattam. Di Gujarat, dandiya juga digelar “tarian pedang” kerana kayu itu dianggap pedang yang digunakan oleh Dewi Durga untuk melawan dan seterusnya membunuh musuh jahat bernama Mahishasura. Maka, gerak tari dandiya sering kali meniru aksi perang dalam mitos itu. Dalam filem Tamil, Telugu dan Hindi pula, tarian dandiya lazimnya melibatkan penari lelaki dan wanita yang bersosial untuk saling berkenal-kenalan sambil menari.

Mitos di Tamil Nadu pula menyebut tentang Basavasura yang ganas dan mengancam kehidupan manusia. Maka, sekumpulan gadis mempersembahkan tarian kolattam di hadapan raksasa berkepala lembu itu sehingga ia terhibur, lalu berjanji untuk tidak lagi mengganggu kehidupan manusia. Kolattam terus dipersembahkan bagi mengenang kejayaan dan kemeriahan selepas menundukkan kuasa jahat.

Satu lagi mitos dikaitkan dengan Dewa Krishna yang dikatakan berhibur sambil menari bersama-sama golongan wanita di Brindavanam. Gerak tari menggunakan kayu itulah yang dikatakan menjadi asas kepada tarian kolattam. Apa-apa pun, pada masa sekarang, para penari tidak lagi mengaitkan kolattam dengan mitos dan upacara keagamaan Hindu. Atas sebab itulah juga kolattam kini turut mendapat perhatian dan sambutan masyarakat pelbagai kaum dan agama; termasuk di negara kita. Malah, kebanyakan gereja di India dan Malaysia sering menyelitkan kolattam semasa sambutan ponggal di rumah ibadat berkenaan.


Di negeri Kerala, India, misalnya, masyarakat Malayali Muslim yang dikenali sebagai golongan Mappila mengamalkan tarian kolkali yang merupakan satu lagi variasi kepada kolattam. Pertubuhan Liga Muslim Pulau Pinang pula menganjurkan Karnival Nasi Kandar pada Julai 2012 bersempena sambutan perisytiharan Tapak Warisan George Town. Karnival dua hari itu turut diserikan dengan tarian kolattam. Amat jelas bahawa komuniti India-Muslim turut menerima kolattam sebagai tarian tradisi mereka.


Penari kolattam biasanya memakai pakaian tradisional yang penuh warna-warni, serta ditambah dengan barangan kemas dan solekan yang menjadikan penari wanita kelihatan anggun dan jelita. Wanita biasanya memakai sari atau gaun yang mengembang, manakala lelaki memakai jibba dan vesti. Hal ini adalah wajar kerana kolattam melambangkan kemeriahan, kegembiraan dan keceriaan. Muzik, nyanyian, pakaian, pergerakan dan tarian yang dipersembahkan dalam bentuk kumpulan pasti menggambarkan suasana ini. Tepukan dan sorakan yang berirama daripada khalayak penonton membuatkan penari semakin bersemangat untuk mempersembahkan gerak tari yang lebih kompleks dan rumit.

Di sebalik persembahan ini, terdapat aspek disiplin, semangat, koordinasi, kerjasama berkumpulan dan komitmen yang perlu dimiliki oleh setiap penari. Rata-rata ahli kumpulan kolattam di Aulong Lama, Taiping mengaku bahawa mereka terasa amat seronok apabila diundang membuat persembahan sempena ponggal, perayaan di kuil atau acara kebudayaan.

Kolattam dilihat sebagai salah satu cara mudah untuk bersosial, bersenam, mengisi masa lapang dan berhibur sambil meneruskan tradisi kebudayaan nenek-moyang. Penglibatan peserta pelbagai kaum dan agama pula membantu mempermudah usaha murni ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan.

(Makalah ini ditulis pada 5 Oktober 2017 dan tersiar di majalah Dewan Budaya pada Januari 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Anda jua mungkin berminat membaca – Sasterawan Kavyan dan Sastera KebangsaanPenerimaan Kaum India Terhadap Bahasa KebangsaanBuku-bukuUthaya Sankar SB)