Pada 24 Januari 2018, saya memutuskan untuk membuat aduan
rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (JPPM) mengenali kepincangan dan urus
tadbir yang bertentangan dengan Akta Pertubuhan dalam sebuah pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) di mana saya juga menjadi ahli.
Berikut kandungan surat aduan berkenaan:
Aduan Salah Tadbir dalam Pertubuhan Memperkasakan Diri &
Pembangunan Pendidikan Masyarakat Malaysia (PPM-006-07-08092016)
Pada September 2017, saya dipelawa menjadi ahli Pertubuhan
Memperkasakan Diri & Pembangunan Pendidikan Masyarakat Malaysia (PPM-006-07-08092016) yang juga beroperasi
dengan nama Self Empowerment &
Educational Development Society (SEEDs) Malaysia.
Saya diberitahu bahawa NGO ini bertaraf nasional dan
mempunyai cawangan di beberapa negeri; misalnya Selangor, Johor, Pulau Pinang,
Kedah, Pahang dan Perak.
Kemudian, saya dimaklumkan bahawa Mesyuarat AJK SEEDs Perak
menerima saya sebagai timbalan pengerusi. Saya menerima jawatan itu tanpa
sebarang prejudis.
Hanya pada 14 Januari
2018, saya mendapat tahu bahawa SEEDs Perak belum didaftarkan dengan JPPM.
Hasil rujukan di JPPM Selangor (Shah Alam) pada 18 Januari
2018 mendedahkan beberapa perkara.
Pertama, NGO ini bertaraf induk tanpa cawangan.
Maknanya, SEEDs cawangan Johor, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan
sebagainya adalah tidak sah. Para AJK yang diberikan jawatan (pengerusi dll)
dalam cawangan negeri beranggapan mereka adalah cawangan berdaftar.
Kedua, NGO ini bertaraf induk tanpa cawangan,
tetapi jawatan naib pengerusi 1, naib pengerusi 2, exco dan sebagainya
diwujudkan secara tidak sah; serta digunakan dalam promosi aktiviti, khasnya di
media sosial.
Ketiga, lima AJK dalam NGO ini – pengerusi,
timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan seorang AJK Kecil – sudah
menerima notis mengikut Seksyen 49 (Liabiliti
Pemegang Jawatan Suatu Pertubuhan Yang Pendaftarannya Telah Dibatalkan).
Semakan JPPM menunjukkan bahawa notis ini dikeluarkan
berikutan masalah dengan pertubuhan Malaysian Community Development Organisatian (MCEO)
yang didaftarkan oleh Jeevithan dan
4 lagi individu terbabit di JPPM Kedah.
Apabila saya menelefon pengerusi (Jeevithan) pada 18 Januari 2018, beliau mengaku bahawa semua
AJK terbabit sudah menerima notis Seksyen 49, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa – walaupun mereka maklum bahawa mereka
sudah hilang kelayakan (bagi tempoh 5 tahun) mengikut Akta Pertubuhan.
Keempat, perihal penerimaan notis hilang kelayakan
(Seksyen 49) itu dirahsiakan
daripada pengetahuan sesiapa dengan sengaja bagi membolehkan kesemua mereka
(pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan AJK) terus beroperasi
seolah-olah tidak ada apa-apa kesalahan berlaku.
Kelima, Jeevithan memberitahu saya pada 18 Januari
2018 bahawa Pengarah JPPM Pulau Pinang adalah kawan baiknya; dan beliau (Oh Siow Lee) sedia maklum mengenai
kesemua isu di atas.
Keenam, Jeevithan berkata, Pengarah JPPM Pulau
Pinang (Oh Siow Lee) sendiri yang menasihatkan supaya NGO itu didaftar sebagai
induk tanpa cawangan, tetapi boleh beroperasi seperti sebuah NGO bercawangan di
negeri-negeri. Memetik kata-kata Jeevithan: “Saya ada kawan dalam JPPM. Pengarah JPPM
Pulau Pinang (kawan saya) yang mengajar saya supaya buat perlembagaan NGO induk
tanpa cawangan. The director is my friend.”
Ketujuh, walaupun selepas saya memberitahu segala
komplikasi ini kepada Jeevithan pada 18 Januari 2018, paparan di media sosial (Facebook) membuktikan bahawa NGO ini
terus beroperasi bagaikan tidak ada apa-apa masalah.
Rujuk beberapa lampiran yang disertakan.
Ternyata NGO ini serta pemegang jawatan utama dalam NGO ini
beroperasi bertentangan dengan Akta
Pertubuhan dan perlembagaan
pertubuhan itu sendiri.
Dengan itu, saya selaku ahli NGO ini (serta pemegang jawatan
dalam beberapa NGO lain) mengemukakan aduan rasmi ini dan meminta JPPM
mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta Pertubuhan.
Tindakan ini wajar bagi memastikan NGO ini tidak terus
melanggar akta dan perlembagaan sendiri. Tambahan pula, nama Pengarah JPPM
Pulau Pinang dipergunakan untuk melakukan segala kesalahan ini.
Nota: JPPM Pulau Pinang menerusi surat bertarikh 7 Februari 2018 mengesahkan sudah menerima surat aduan saya pada 29 Januari 2018, dan “pihak Jabatan akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan keatas aduan berkaitan”. Saya tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini. Apa yang pasti, SEEDs masih “beroperasi” seperti biasa, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya serahkan kepada pihak JPPM untuk melakukan apa yang patut dan wajar – terutama selepas saya mengemukakan bahan-bahan bukti, serta nama Pengarah JPPM Pulau Pinang digunakan oleh SEEDs untuk terus beroperasi secara bertentangan dengan Akta Pertubuhan.
Kemas kini: JPPM Pulau Pinang mengesahkan bahawa SEEDs sudah dibatalkan pendaftarannya pada 7 Ogos 2018.