Ada beberapa perkara pelik yang berlaku di
negara kita sejak beberapa hari lalu (pada Oktober 2012). Saya menggelarkannya
“pelik” bagi menggantikan perkataan “bodoh” yang sebenarnya lebih sesuai.
Mula-mula, kita dikejutkan dengan berita
bahawa ada puak tertentu menggesa supaya penyanyi popular tanah air, Jaclyn
Victor diboikot atas sebab dia tampil menyanyikan lagu “Harapan Bangsa” yang
bertema Kristian.
Sebenarnya, saya tidak hairan dengan apa
yang berlaku kerana pada September 2012, saya dikatakan cuba menyebarkan agama Hindu menerusi cerpen
yang saya tulis. Dalam kes Jaclyn, dia dikatakan menyalah gunakan hak bersuara
kerana lagu yang dinyanyikannya itu, kononnya, mengguris perasaan pihak
tertentu.
Untuk rekod, Jaclyn sendiri sudah membuat
kenyataan bahawa lagu “Harapan Bangsa” dirakam pada sekitar 2007 dan khusus
untuk khalayak beragama Kristian di Sabah dan Sarawak. Untuk rekod juga,
penyanyi berumur 33 tahun itu memang penganut agama Kristian.
Isu mungkin timbul kerana lagu tersebut
dinyanyikan dalam Bahasa Malaysia; lalu Jaclyn dituduh
“cuba menyebarkan fahaman Kristian” kepada masyarakat Melayu beragama Islam.
Ternyata puak yang membuat dakwaan seperti itu lupa bahawa kebanyakan penganut
Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan
seharian.
Anehnya, lagu “Harapan Bangsa” disifatkan
oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sebagai “suatu penghinaan
kepada Islam” dan kenyataan ini ada dilaporkan di beberapa media baru-baru ini.
Lagu khusus untuk gereja
“Apakah seseorang penyanyi boleh menyanyi
apa saja lagu walau mengguris perasaan pihak lain? Adakah itu hak bersuara?”
Demikian kandungan SMS daripada setiausaha agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali
yang disiarkan oleh portal berita The
Malaysian Insider (28 Oktober 2012).
Bayangkan! Apabila Jaclyn menyanyikan lagu
berunsur Kristian khusus untuk kegunaan di gereja dan untuk penganut agama
Kristian, dia dikatakan cuba menyebarkan agama Kristian kepada khalayak Melayu.
Demikianlah realiti yang wujud di Malaysia.
Saya mengemukakan isu ini menerusi Facebook dan mendapat reaksi daripada
beberapa rakan. Jumiati Suparno dari
Tawau, Sabah mengakui bahawa beliau juga selalu “mengajak orang Melayu (Islam)
berzikir bersama saya di Facebook,
tapi tak bermakna kaum (agama) lain tak boleh membacanya. Hidup yang memiliki
pendirian yang utuh tidak menjadi rapuh dengan kenyataan sesiapapun.”
Pada pandangan Hadi Bunyamin pula, “golongan sebegini tidak faham makna kebebasan
beragama. Ada saja rancangan TV seperti Mr
Bean yang memaparkan budaya orang Kristian, namun tidak menjadi isu.”
Tentu sahaja apa yang berlaku dalam kes
Jaclyn amat mengecewakan dan membuktikan bagaimana ada puak yang sanggup serta
mampu memutar-belit dan memanipulasi fakta untuk menindas golongan minoriti dan marginal di
negara bertuah ini.
Tindakan sepatutnya dikenakan ke atas mana-mana
pihak/individu yang sengaja menyebarkan lagu “Harapan Bangsa” kepada khalayak
beragama Islam – selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan – dan bukan
menghukum Jaclyn yang langsung tidak bersalah dalam hal ini. Lainlah kalau lagu
“Harapan Bangsa” dimuatkan dalam album terbaru penyanyi itu dan dijual kepada
umum.
Alasan diberi oleh Perkasa
Khabarnya Syed Hassan menegaskan bahawa
Jaclyn tidak sepatutnya menyanyikan lagu itu kerana dia seorang penyanyi yang
majoriti albumnya dalam Bahasa Malaysia dan peminatnya juga beragama Islam.
Kenyataan itu juga membuktikan tahap mentaliti Perkasa dan sesungguhnya tidak
mewakili pandangan kaum Melayu dan penganut Islam secara keseluruhan di
Malaysia.
Sebagai langkah seterusnya, timbalan
presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman khabarnya mahu menunggu pengesahan Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung isu ini. Sementara itu, Perkasa akan
meneruskan kempen memboikot Jaclyn yang secara kebetulan dicalonkan dalam enam
kategori untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 17 November 2012.
Saya ada menyebut satu peribahasa Tamil
dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012) iaitu,
“Seseorang yang ketakutan akan menganggap semua tempat yang gelap sebagai
berhantu!” Kata-kata itu memang sesuai bagi puak anti-Uthaya dan anti-Kavyan yang bertungkus-lumus
membuat pelbagai tuduhan terhadap Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
sejak dahulu kerana “takut pada bayang-bayang sendiri”.
Perkara yang sama juga saya perhatikan
dalam satu lagi isu yang dilaporkan di media alternatif pada 28 Oktober 2012.
Nampaknya ada pihak yang tiba-tiba mengkritik filem My Name Is Khan (2010) lakonan
Datuk Shah Rukh Khan. Antara alasan yang diberikan adalah bahawa dalam filem
itu, isteri kepada watak Rizwan Khan beragama Hindu.
Dalam kenyataannya, Angkatan Belia Islam
Malaysia (Abim) berkata, “adegan hero (Rizwan Khan, lakonan Shah Rukh Khan)
yang berkahwin dengan heroin yang beragama Hindu (dalam filem itu) jelas
bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur-aduk cara penyembahan
agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan
prinsip Islam”.
Walaupun filem My Name Is Khan keluar pada 2010 dan hangat diperkatakan di
Malaysia sejak itu, ternyata orang kuat Abim hanya berpeluang menontonnya
apabila ditayangkan menerusi stesen televisyen yang dikuasai pemerintah,
baru-baru ini.
Harap Abim tidak tahu sampai kiamat
Kalaulah paparan itu menjadi masalah besar
dan isu hangat yang wajar ditangani segera, saya benar-benar berharap Abim
tidak akan tahu sampai dunia kiamat bahawa pada 25 Oktober 1991, Shah Rukh Khan
berkahwin – dalam realiti, bukan dalam filem – dengan Gauri Chibber, seorang
wanita yang kekal sebagai penganut agama Hindu.
Malah, majlis perkahwinan mereka
dilangsungkan mengikut tradisi Hindu. Anak-anak kepada pasangan itu – Aryan dan
Suhana – mengamalkan ajaran Hindu-Islam. Menurut Shah Rukh Khan sendiri, dia
berpegang pada ajaran Islam tetapi tetap menghargai agama-agama lain.
Kalaulah Abim mendapat tahu mengenai
perkara ini sebelum dunia kiamat, tidak mustahil pertubuhan itu akan
mengusulkan supaya pingat “Datuk” yang dianugerahkan kepada pelakon berusia 47
tahun itu (sambutan hari lahirnya pada 2 November) ditarik balik dengan segera.
Umum mengetahui bahawa Shah Rukh Khan
menjadi pujaan ramai – termasuk dalam kalangan peminat Melayu-Islam di Malaysia
– sejak awal 1990-an menerusi filem-filem seperti Deewana (1992), Dilwale
Dulhaniya Le Jayenge (1995), Dil To
Pagal Hai (1997) dan Kuch Kuch Hota
Hai (1998).
Saya tidak pula mendengar sebarang berita
mengenai orang Melayu-Islam di negara ini yang “terpengaruh” dengan fahaman
Islam Liberal dan pluralisme agama yang ternyata menjadi pegangan pelakon itu
yang turut menerima pingat “Padma Shri” daripada Kerajaan India pada 2005.
Apabila saya memaparkan isu mengenai filem My Name Is Khan di Facebook, seorang rakan mengemukakan pandangan bahawa “Islam
liberal merupakan masalah besar di Indonesia dan kini sudah mula masuk ke
Malaysia”. Lalu, John Phoon pula
bertanya: “Wujudkah apa yang dikatakan Islam Liberal atau ini adalah salah satu
cara untuk mengongkong fikiran? Mungkinkah Islam adalah liberal selama ini dan
hanya manusia yang menjadikan agama itu sempit untuk kepentingan sendiri?”
Mungkin Abim akan boikot TV3
Apa pun, berikutan “pendedahan” Abim pada
28 Oktober 2012, mungkin banyak lagi pihak yang akan tampil menyokong
“perjuangan” puak-puak tertentu yang kononnya mahu mempertahankan “Melayu” dan
“Islam” daripada sebarang unsur luar – seperti pengaruh agama Hindu, agama
Kristian dan Islam Liberal.
Maka, peminat Shah Rukh Khan harus bersedia
untuk menghadapi kemungkinan kesemua filem lakonan “Badshah Bollywood” itu
diharamkan bagi khalayak beragama Islam di Malaysia. Sekali gus, filem-filem
lakonannya mungkin tidak akan ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia kerana
“bimbang orang Melayu-Islam akan tertonton dan mengalami kecelaruan pegangan
agama”.
Tentu sahaja “kemungkinan” yang saya
nyatakan di atas kedengaran agak keterlaluan tetapi kita perlu sedar bahawa
segalanya adalah mungkin di negara ini kerana kumpulan seperti Perkasa dan Abim
memang mempunyai “kuasa dan pengaruh” apabila melibatkan isu-isu Melayu-Islam.
Malah, tidak menghairankan jika Abim
mengusulkan supaya masyarakat Melayu dan Islam memboikot TV3 kerana stesen
televisyen yang pro-pemerintah itu “tidak terlebih dahulu membuat kajian”
sebelum menayangkan filem My Name Is Khan
yang “tidak mencerminkan imej agama Islam yang sebenar serta bertentangan
dengan syariat”.
Pada masa sama, pasti akan ada pelbagai
pihak lain yang turut “mengangkat senjata” sebagai tanda bantahan terhadap
segala perkara yang diperkatakan menerusi makalah pendek ini. Tidak mengapa
kerana seperti kata Mahatma Gandhi, “Tidak akan tercapai
kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran”.
Berbalik pada isu Jaclyn, apa yang dihadapinya
adalah cabaran yang sentiasa terpaksa dihadapi golongan minoriti. Dalam keadaan
seperti ini, saya teringat akan sabda Nabi Muhammad seperti diriwayatkan Abu
Daud:
“Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi
dan mengasari kelompok minoriti Bukan Islam, menyekat
hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka
tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan
mengadu terhadap orang itu pada Hari Pembalasan.”
[Makalah
ini ditulis pada 29 Oktober 2012 dan disiarkan di Projek Dialog pada 29 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]