[Akan hantar surat dan bertemu PM
berhubung isu novel Faisal Tehrani mahu diharamkan]
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengalu-alukan kemasukan Faisal
Tehrani sebagai Ahli Kehormat Kavyan seperti diumumkannya secara rasmi pada
sidang media di Shah Alam pada 6 Julai 2012, selepas acara “Baca Cerpen Pelbagai Bahasa”. Beliau sekali
gus ahli “Bukan Kaum India” pertama sejak keahlian dibuka kepada umum pada
November 2011 – BACA DI SINI.
Seperti diketahui umum, sejak diasaskan pada 22
Ogos 1999, Kavyan diterajui penulis dan peminat sastera kaum India tetapi ia tidak
bersifat perkauman. Semua aktiviti Kavyan terbuka kepada umum (pelbagai kaum).
Malah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) ialah Penasihat Agung
Kavyan. Allahyarham Dr Othman Puteh dan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar
Ridhwan juga pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan – BACA LAGI DI SINI.
Kavyan turut terlibat secara langsung dan terbuka
sejak Ogos 2011 dalam memperjuangkan hak sekumpulan penulis (kebetulan “kaum
Melayu”) yang dinafikan hak mereka terhadap royalti teks Komponen Sastera Dalam
Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas). Walaupun dihalang pelbagai pihak
dengan pelbagai cara, Kavyan tetap lantang bersuara mewakili kelompok minoriti
terbabit yang memerlukan ruang untuk bersuara – BACA DI SINI.
Terdahulu, apabila Kavyan terlibat dalam usaha
“memurnikan” novel Interlok Edisi Murid
serta saya dilantik oleh Menteri Pelajaran pada Februari 2011 ke dalam Panel Bebas Meminda Interlok, ramai
yang melabel saya dan Kavyan sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam”. Malah,
terdapat puak tertentu yang cuba menghasut Pak Samad supaya tidak menjadi
Penasihat Agung Kavyan.
Ada juga puak yang “menghasut” penerbit-penerbit
supaya tidak menyiarkan karya para ahli Kavyan. Kerja-kerja hasutan itu masih
berlaku hingga hari ini. Mujurlah penerbit berwibawa seperti Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) dan Kumpulan Media Karangkraf tidak mungkin tunduk kepada puak
penghasut yang tidak beretika itu – BACA DI SINI.
Antara lain fitnah yang disebarkan puak tertentu
adalah bahawa tindak-tanduk Kavyan “didalangi pembangkang”. (Siapakah “pembangkang”
di Selangor?) Sebenarnya, segala usaha dan perjuangan Kavyan demi penulis dan
penulisan (tanpa mengira kaum dan agama) tidak ada apa-apa kaitan dengan
mana-mana parti politik atau politikus – BACA DI SINI. Demikian pendirian tegas
Kavyan sejak 1999. Kami tidak mahu “bernaung” di bawah sesiapa kerana kami mahu
bebas “bersuara” – termasuk mewakili golongan minoriti dan kumpulan yang
tertindas.
Dalam isu terkini mengenai kemungkinan novel
Faisal, Perempuan Nan Bercinta (2012) diharamkan, Kavyan tidak mahu
masuk campur dalam urusan mana-mana jabatan agama. Bagaimanapun, Kavyan
berpegang pada “janji” Perdana Menteri pada 3 Julai 2012 – semasa turut
melancarkan Perempuan Nan Bercinta –
bahawa hak kreatif penulis tidak akan disekat.
Bernama melaporkan Datuk Seri Najib Razak sebagai
berkata: “Kita akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para
penulis untuk berkarya. Kita akan membantu golongan penulis terutama generasi
muda untuk mengembangkan bakat mereka.”
Kavyan turut berpegang pada
kenyataan media bersama yang dilakukan empat Sasterawan Negara pada 8 Mac 2011;
di mana petikannya adalah seperti berikut:
“Sastera bukan dokumen rasmi pemerintah, atau maklumat yang
dirapikan serta dicantikkan untuk disebarkan. ... Kita harus membaca sastera
sebagai sastera, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera ialah
suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan. ...
Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak
manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut
pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara
yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis,
berfikir dan berpendirian.” – BACA LAGI DI SINI
Walaupun kenyataan bersama itu
dikeluarkan semasa kontroversi novel Interlok
Edisi Murid, tentulah pendirian para Sasterawan Negara terbabit masih
sesuai dan boleh diguna pakai. Pandangan dan perkara yang ditegaskan oleh
mereka perlu dihormati dalam isu Perempuan
Nan Bercinta juga.
Semasa kontroversi Interlok Edisi Murid, beberapa badan
penulis pula tampil bersuara lantang dan membuat resolusi mempertahankan hak
pengarang. Malah, beberapa badan penulis berjuang atas dasar “demi maruah
penulis Melayu”.
Saya percaya bahawa badan-badan
penulis terbabit tetap dengan pendirian “demi maruah penulis Melayu” dalam isu
novel-novel Faisal mahu diharamkan. Sedangkan pihak tertentu “tidak rela walau
sepatah perkataan dipinda”, inikan pula mahu mengharamkan keseluruhan buku! Tentulah
mereka akan berhimpun beramai-ramai mempertahankan karya Faisal.
Namun, masing-masing mempunyai hak
dan pilihan untuk sama ada tampil menyokong Faisal dalam isu terbaru ini atau –
meminjam perkataan diperkenalkan Pak Samad pada Jun 2011 – memikirkan soal
“carma” iaitu “cari makan”. Yakni, memilih untuk berdiam diri asalkan “sumber
pendapatan” mereka tidak terjejas.
Saya mengenali Pak Samad sejak 1991
dan Faisal sejak 1993. Mereka berdua pula mengenali hati-budi Kavyan sejak
1999.
Sebagai “badan kecil yang bersuara
mewakili golongan penulis yang sukar untuk bersuara” maka Kavyan sedia bersuara
mewakili Faisal dalam isu novel Perempuan
Nan Bercinta. Kavyan bercadang menghantar surat kepada Perdana Menteri
untuk mendapatkan pengesahan memandangkan pegawai Jakim pada 6 Julai 2012 mengesahkan
bahawa pihaknya sekarang dalam proses tindakan pengharaman novel itu – BACA DI SINI.
Tentulah aneh bahawa tiga hari
sahaja selepas sebuah novel dilancarkan oleh Perdana Menteri, ada pula langkah
diambil untuk mengharamkan novel berkenaan. Pasti ada sesuatu yang tidak kena
dan perlu dibincangkan secara “hati-ke-hati” bersama-sama Perdana Menteri.
Sebagai pemilik tunggal ‘Perunding
Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’ serta presiden Kavyan, saya sudah
membincangkan perkara ini bersama-sama Faisal. Kami berpendapat bahawa langkah
terbaik dalam menyelesaikan kemelut ini adalah dengan mengirim surat serta
bertemu Perdana Menteri.
(Makalah ini ditulis berdasarkan kenyataan media bertarikh 6 Julai 2012
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 7
Julai 2012. © Uthaya Sankar SB.)