Saya berpeluang membeli senaskhah novel Perempuan Nan Bercinta (2012) karya
Faisal Tehrani semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi tidak sempat
membacanya. Hal ini kerana saya memutuskan untuk menghadiahkannya kepada seorang
rakan yang kebetulan begitu ingin memiliki buku itu.
Keinginan untuk memiliki dan membaca novel
setebal 410 halaman itu juga disebabkan rasa ingin saya untuk lebih memahami
kisah-kisah berkaitan “ahlul bait”
iaitu keluarga Nabi Muhammad s.a.w yang sangat kurang
berpeluang dibaca dalam buku-buku di sekolah.
Semasa belajar di Universiti Malaya
(1993-1998), saya berpeluang mendalami kisah-kisah keluarga baginda menerusi kajian
mendalam terhadap seni persembahan berkaitan sambutan Ashura di Iran, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Lubnan, Azerbaijan dan
Bahrain.
Perlu saya akui bahawa novel Perempuan Nan Bercinta memenuhi
keinginan saya menimba ilmu yang saya harapkan. Semasa membaca novel ini, saya
kurang mementingkan “cerita”, sebaliknya menumpukan pada “ilmu” yang
disampaikan secara penuh kreatif oleh penerima Anugerah Seni Negara (2006) dan
Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka (2009).
Ada juga rakan-rakan yang membisikkan kepada
saya bahawa novel ini membawa fahaman/mazhab Syiah; sedangkan Islam di Malaysia
adalah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan
bermazhab Syafie.
Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan
agama. Cuma saya berpesan kepada rakan berkenaan bahawa sebelum kedatangan Islam
ke negara ini, penduduk di sini pada asalnya pengamal animisme; sebelum
menganut agama Hindu dan seterusnya Buddha.
Kalaulah secara “kebetulan” Islam yang
datang ke negara ini pada masa silam adalah mazhab Maliki, Hanafi, Hanbali,
Jaafari, Ismaili atau Zaidi, tentu keadaan sekarang adalah berbeza. Jangan kita
lupa juga mengenai mazhab Auzai, Hasan Basri dan sebagainya yang tidak
diamalkan lagi. Namun, saya tidak mahu masuk campur urusan itu.
Novel Perempuan
Nan Bercinta tidak saya lihat/baca sebagai sebuah novel Syiah; sekali gus
novel yang bertentangan dengan mazhab Syafie. Sebaliknya, saya mengambil
peluang mengenali “ahlul bait” yang
sangat menarik – dan amat “sayang” jika diabaikan semata-mata kerana perbezaan
mazhab/politik.
Pada masa sama, saya juga mendengar
daripada beberapa rakan yang ada kenalan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) bahawa ada “cadangan” supaya novel ini diharamkan; seperti mana
dilakukan terhadap novel Faisal sebelum ini, Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011).
Seorang kenalan yang menghadiri “Wacana Isu
Akidah” anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan PUM Selangor pada 6 Jun 2012
di Shah Alam membisikkan bahawa penolong pegawai Jakim, Mohd Aizam Mas’od
“menyeru” supaya Perempuan Nan Bercinta diharamkan.
Beliau juga khabarnya (ulang: khabarnya)
“mencadangkan” kepada orang ramai supaya keluar beramai-ramai membuat laporan
polis terhadap pengarang novel berkenaan atas dakwaan menyebarkan ajaran Syiah.
Saya sempat bertanya perkara itu kepada
Faisal semasa pertemuan kami pada 11 Jun 2012 iaitu apabila saya mahu
mendapatkan senaskhah novel daripada pengarang itu sendiri. Katanya, dia juga
ada mendengar ura-ura sedemikian tetapi tidak ada sebarang pengesahan rasmi
daripada Jakim. [Topik berkaitan]
Faisal turut mengakui bahawa novel
berkenaan pernah disiarkan secara bersiri di sebuah majalah tetapi ditamatkan
secara tiba-tiba.
“Separuh daripadanya (novel ini)
diterbitkan di sebuah majalah dengan judul Perempuan
di Wajah Langit Pagi dari Mac 2007 hingga Jun 2009. Akan tetapi, novel itu dihentikan separuh
jalan tanpa sebarang makluman awal,” katanya.
Ditanya mengenai perasaan serta reaksinya
apabila dilemparkan pelbagai “tuduhan” kononnya menyebarkan fahaman Syiah –
serta tindakan pelbagai pihak yang kononnya memperjuangkan hak penulis tetapi hanya
berdiam diri – Faisal berkata:
“Pada 27 September 2005, pukul 6.21 petang,
SM Zakir mengutus saya mesej berbunyi ‘Lebih baik berjuang seorang diri
daripada merosakkan diri berada dalam sampah’. Enam tahun sesudah itu, betapa
benarnya!”
Apabila mendengar pandangan itu, saya
segera teringat akan kenyataan bersama Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh,
Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan pada 8 Mac 2011:
“Benarkahlah penulis kita melukis kenyataan
Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga
berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun
berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan
kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian.” [BACA KENYATAAN PENUH]
Namun begitu, tentulah di negara ini,
“hukum” adalah berbeza kerana sebaik sahaja anda “berani bersuara” dan
memperkatakan soal kebenaran, hak dan keadilan, maka anda perlu bersedia
dilabel sebagai itu dan ini.
Dalam pada itu, selepas Wawancara Sofa
Putih ITBM di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 Mei 2012, pengarang
terkenal Singapura, Isa Kamari menulis di Facebook
bahawa “harus ada forum susulan untuk membicarakan PNB. Banyak persoalan yang
harus dijernihkan.”
Novel terbaru Faisal turut mendapat reaksi
yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Saya melayari internet untuk mencari dan
membaca komen-komen yang dipaparkan oleh beberapa pihak.
Pengarang Namaku Epal Kuning (2010) dan Selamat Datang ke Malaywood (2012),
Roslan Jomel berpendapat bahawa “tiada penulis lain yang berani menghadapi
risiko sedemikian kecuali Faisal Tehrani” (15 Mei 2012).
Bagi Wardah Munirah pula, “Perempuan Nan Bercinta menarik jiwa dan
minda khalayak pembaca yang bersedia untuk menerima sesuatu yang baharu
daripada kelaziman. Novel sarat wacana ini ialah laluan untuk pembaca mengenal
makna kata ahlul bait sekali gus membuang stigma terhadap fahaman Syiah secara
semberono” (25 Mei 2012).
Penulis yang menggunakan nama pena Jiwa
Rasa menulis di GoodReads bahawa “ini
karya Faisal Tehrani yang paling provokatif, berani dan ambisius” (15 Mei 2012) manakala Dzibhin Azim
(Wadi Kita) menggelarnya “novel besar” (18 Mei 2012).
Rebecca Ilham (Hazwani Rameli) “mengakui
kepintaran Faisal Tehrani sebagai seorang pengkarya sastera” (8 Mei 2012) sementara Mohd Hazimin
Harun (Pena Fakir) mengakui pengarang “bijak mengukir aksara, mencantum kata
dan memperindah bahasa dengan langgam tersendiri” (7 Mei 2012).
Faisal juga “membuktikan kualiti dirinya
dalam mengetengahkan idea dan falsafah tersendiri” (19 Mei 2012) seperti dikatakan Hafizul
(Nota Kaki). Malah, menurut Farahanani Amhazali, “jika ada Dummies yang tidak memahami ajarah Syiah, saya sarankan anda
membaca buku ini” (26 Mei 2012).
Dalam pada itu, “pemilihan wacana yang
relevan dengan keadaan semasa memperlihatkan kegeniusan pengarang yang
mempunyai kesedaran untuk cakna dan menawarkan penyelesaian terhadap penyakit
ummah yang berlaku”. Demikian pandangan A. Muziru Idham (28 Mei 2012) manakala S. Putra
melihatnya sebagai “karya yang begitu yakin dan berani” (15 Mei 2012).
Pada bahagian akhir novel, “penulis
mengendurkan suasana yang sengaja ditegangkan” (11 Mei 2012). Demikian pandangan Fandy
Taher (Melihat Buku) yang merujuk pada petikan dialog Dr Siti Fatimah pada
halaman 409:
“Saya seorang
Muslim. Sunni dan Syiah saling melengkapi. Terdapat pertanyaan yang tidak dapat
dijawab Ahli sunah Waljamaah telah dijawab oleh Syiah dengan jayanya, dan
kekurangan Syiah pula ditampung oleh Ahli sunah Waljamaah.”
Pandangan saya adalah amat mudah: Sementara
Jakim atau mana-mana pihak lain (termasuk persatuan penulis tertentu?) masih
menjalankan “kempen” ke arah mengharamkan novel ini, dapatkan segera dan
bacalah karya hebat ini.
Seperti kata rakan penulis, Salina Ibrahim,
di blognya pada 9 Disember 2011 selepas Jakim
mengharamkan novel “Sebongkah Batu di
Kuala Berang”:
“Penulis yang bukunya diharamkan tak perlu
susah hati pun, sebab buku yang diharamkan itulah yang akan lebih dicari, nak
dibaca dan nak dikaji mendalam. Apabila satu pintu tertutup, pasti ada pintu
lain yang akan terbuka.”
NOTA: Ingin membeli stok
terhad novel ini pada “harga runtuh”? Sila KLIK DI SINI.
(Uthaya Sankar SB adalah penganut agama Hindu dan tidak mahu “dihalang”
daripada membaca mana-mana karya bermutu yang diminatinya. Artikel ini ditulis
pada 22 Jun 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 Jun 2012.
© Uthaya Sankar SB
2012. Sila KLIK DI SINI untuk
membaca ulasan beberapa buku lain.)