Walaupun saya mengenali Roslan Jomel sejak
Ogos 1991, pengarang dari Kuching, Sarawak ini masih menjadi seorang individu
penuh misteri. Misalnya, banyak perkara mengenai dirinya yang tidak diketahui
orang, termasuk rakan-rakan. Maka, cara mudah yang saya sendiri gunakan untuk “mencungkil”
rahsia mengenai Roslan adalah dengan membaca karya-karyanya; khususnya kumpulan
cerpen Namaku Epal Kuning dan Selamat Datang ke Malaywood. Cerpen-cerpen
yang dihasilkan oleh pengarang ini hebat dan pasti membuatkan pembaca berfikir
secara mendalam mengenai kisah-kisah yang berciri di luar lingkungan (out of the box). Satu lagi keistimewaan
yang sangat saya kagumi adalah bahawa Roslan sentiasa merendah diri; resmi padi
– makin tunduk, makin berisi. Idea-idea yang disajikan menerusi karya-karya
beliau sebenarnya berciri radikal tetapi disampaikan secara amat halus dan bersahaja
– serta lucu – sehingga idea yang disalurkan itu meresap masuk ke dalam minda
tanpa disedari pembaca. Beliau antara pengarang yang wajar diperhatikan
oleh peminat sastera tanah air. Selamat Menyambut Hari Malaysia!