6 Sept 2012

Chellam – Bahagian 6

Setelah kami datang ke Kuala Lumpur, Selvam masih tidak berubah. Sebaliknya, keadaannya menjadi semakin teruk. Dia langsung tidak mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak.
 
“Apa guna kalau dia pandai belajar?” tanya Selvam apabila saya menunjukkan slip keputusan UPSR kepadanya. “Akhirnya dia akan kahwin lari dengan budak lelaki.”
 
Sakit hati saya mendengar kata-kata itu. Sampai hati Selvam bercakap begitu mengenai anak sendiri. Akan tetapi, saya sedar bahawa saya tidak berhak berkata apa-apa kerana saya sendiri telah lari dari rumah.
 
“Oh, Tuhan! Kenapalah nasib buruk terus menghantui keluarga saya?” tanya saya dalam diri. “Tidak cukupkah saya dihina? Mengapa kini anak-anak saya juga turut dihina semata-mata berikutan tindakan bodoh saya pada masa lalu?”
 
Walau bagaimanapun, apalah gunanya saya menyesal sekarang. Sepatutnya saya telah berfikir secara bijak sebelum lari dari rumah hampir tiga belas tahun dahulu. Siapa sangka tindakan bodoh lebih sepuluh tahun lalu akan tetap menjadi bahan kutukan pada masa sekarang.
 
Ah! Kisah lampau saya adalah kisah yang sudah berlalu. Tidak ada gunanya saya berfikir lagi mengenainya. Sebaliknya, saya perlu memikirkan masa depan anak-anak saya. Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam perlu berjaya dalam hidup. Untuk itu, saya mesti memberikan mereka peluang dalam pelajaran. Saya sanggup berkorban demi memastikan mereka pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin.
 
Kejayaan Kavitha mendapat 7A dalam UPSR ternyata menjadi sumber motivasi dan inspirasi kepada adik-adiknya. Mereka mula berlumba-lumba untuk belajar. Masing-masing mahu mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.
 
“Kita mesti ingat bahawa emak sangat bersusah-payah untuk membiaya kos pelajaran kita,” saya terdengar Kavitha memberi nasihat kepada adik-adiknya pada suatu petang. “Tak ada cara lain untuk kita membalas budi dan pengorbanan emak. Kita mesti rajin belajar dan berjaya dalam hidup.”
 
“Betul,” kata Kogila pula. “Saya tak pernah melihat emak berehat walau seminit. Emak sentiasa bertungkus-lumus bekerja untuk kita. Saya harap, apabila kita semua sudah berjaya, kita boleh menjaga emak dengan baik. Biarlah emak berehat kerana telah membanting tulang sekian lama.”
 
Saya pada masa itu sedang memasak di dapur. Anak-anak pula sedang mengulang kaji pelajaran. Sambil belajar, mereka bercakap mengenai pengorbanan saya selama ini.
 
“Saya setuju!” Kedengaran suara Karpagam pula. “Apabila saya besar, saya akan membina sebuah istana besar. Saya akan minta emak tinggal di istana itu. Emak tak perlu buat apa-apa kerja. Emak boleh berehat dan membuat apa sahaja yang emak suka. Saya akan melayan emak seperti seorang permaisuri.”
 
Tanpa saya sedari, air mata mula mengalir membasahi pipi. Terima kasih, Tuhan, kerana mengurniakan anak-anak yang sangat mengasihi saya. Bersambung
 
(© Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 Jun 2012.)