Sasterawan
Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan pernah menjadi Penasihat Kehormat
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 2003 selepas Dr Othman Puteh meninggal dunia. Bagaimanapun, wartawan
akhbar Berita Harian, Salbiah Ani melaporkan pada 12 Julai 2007 bahawa “Dr Anwar
membuat keputusan mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan berkuat kuasa
serta-merta kerana terkejut dengan kandungan sajak yang ditulis Presiden
Kavyan, Uthaya Sankar SB.” Namun begitu, Dekan Fakulti Penulisan Aswara itu
masih bersikap profesional dan tidak pula berpatah arang dengan Kavyan
berikutan hasutan yang dilakukan puak anti-Kavyan. Malah, bagi acara “Jom Kenali Sasterawan Negara Anwar Ridhwan” pada 24 Mac 2010, saya
diundang sebagai moderator. Beliau turut
mengundang saya ke “Seminar Sastera Pelbagai Kaum” di Aswara pada 6 & 7
September 2012. Dr Anwar pernah menjadi profesor pelawat di Tokyo University of
Foreign Studies (1997-2000). Sebelum bertolak ke Jepun, beliau memanggil saya
ke pejabatnya di DBP dan menasihatkan saya supaya mengekalkan gaya penulisan
dan jati diri agar dapat terus menyerlah sebagai seorang pengarang penting
tanah air. Walaupun menang pelbagai anugerah serta karya beliau diterjemah ke
pelbagai bahasa antarabangsa, sasterawan kelahiran Sungai Besar, Selangor ini
tetap merendah diri dan pertuturannya penuh santun. Itu adalah salah satu ciri
istimewa Dr Anwar yang menjadi sebutan ramai. Selamat Menyambut Hari Malaysia!