[Sebuah kumpulan
puisi yang wajar dimiliki jika mahu kelihatan cool di tempat awam.]
Terasa seolah-olah Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak sudah berpeluang menghadam kumpulan puisi karya Jimadie Shah
Othman sebelum menghadiri majlis di Seri Perdana, Putrajaya pada 3 Julai 2012.
Saya berpendapat demikian memandangkan
beberapa perkara yang dinyatakan Perdana Menteri – dan dilaporkan Bernama, Berita Harian dan Utusan Malaysia – sangat selari dengan kandungan, nilai, idea dan
kreativiti yang terserlah menerusi kumpulan puisi Helo-helo Kepada Bush.
Buku berkenaan adalah antara 30 judul karya
asli terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang dilancarkan
oleh Perdana Menteri. Saya sudah memiliki dan membaca beberapa daripadanya
serta akan berusaha memiliki beberapa yang lain.
Berbalik pada kumpulan puisi Jimadie, buku
comel setebal 73 halaman ini memuatkan 50 puisi “terpilih” karya pemberita,
penulis dan pemblog berusia 32 tahun ini.
Saya yakin bahawa Jimadie sudah
menghasilkan lebih banyak puisi tetapi bersikap bijak (profesional) dengan
melakukan pemilihan terperinci dan memuatkan puisi-puisi tertentu sahaja dalam
kumpulan ini.
Malah, Helo-helo
Kepada Bush adalah petanda bahawa pengarang belia ini mahu meninggalkan
“gaya lama” (konvensional?) dan mahu dikenali menerusi “gaya baru” yang
ditanganinya sejak sedekad lalu. Hal ini tentulah suatu perkembangan positif
dan selaras dengan hijrah yang dituntut dalam penulisan; daripada yang baik
kepada yang lebih baik.
Kalau ditanya mengapa Jimadie menulis
sajak, ada dua jawapan yang agak lucu tetapi logik dikemukakannya pada ruangan
prakata kumpulan puisi ini.
Berbeza dengan kebanyakan
pemuisi/penyajak/penyair, Jimadie pula membuat pengakuan bahawa “menulis
sebenarnya tidak dapat menonjolkan kepandaian seseorang, sebaliknya kebodohan”.
Puisi-puisi pengarang ini amat visual dan
pasti mengecewakan golongan pembaca yang mengharapkan puisi-puisi cinta berahi.
(Untuk karya “cinta berahi”, sila nantikan buku Jimadie seterusnya!)
Semasa perbualan kami sambil menghirup teh
tarik di restoran mamak pada 4 Julai 2012, Jimadie menceritakan bagaimana dia
biasanya mencari/mendapat “idea” dahulu tentang apa yang mahu diperkatakan.
Kemudian, biasanya semasa memandu kereta pulang selepas kerja, dia akan
merangka bait-bait puisi dalam minda.
Ramai juga penyair yang suka memasukkan
perkataan daripada bahasa-bahasa asing untuk menjadikan karya mereka lebih cool dan menampakkan bahawa mereka pernah
pergi ke negara-negara Eropah, misalnya.
Bagi Jimadie pula, dia ternyata secara
penuh sedar tidak mahu “sekadar mencantikkan” puisi-puisinya dengan kata-kata
pinjaman dan kata-kata/imej-imej tempelan. Sebaliknya, puisi-puisi dalam
kumpulan ini sangat bersifat Nusantara dan dekat dengan hati pembaca.
Namun begitu, tidak bermakna Jimadie hanya
bercakap hal-hal “kampung”. Tidak sama sekali! Malah, bukankah dia “helo-helo”
dengan Bush?
Walaupun rata-rata puisi dalam buku ini
adalah pendek-pendek belaka, kesan visual yang ditinggalkan dalam minda pembaca
pasti akan berlegar jauh lebih lama; mungkin membawa ke dalam mimpi-mimpi yang
indah mahu pun ngeri.
Puisi-puisi ini juga menjadi “perakam
sejarah” kerana pengarang memasukkan penanda, petanda, ikon dan semantik yang
perlu dikaji secara mendalam oleh pembaca untuk memahami unsur intertekstualiti
yang terkandung di dalamnya.
Nah! Bukankah Perdana Menteri pada 3 Julai
2012 dilaporkan berkata, kemajuan dan pembangunan sesebuah negara juga harus
diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan
menerusi hasil penulisan?
Perdana Menteri juga dilaporkan berkata,
“Kita akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para penulis untuk
berkarya. Kita akan membantu golongan penulis terutama generasi muda untuk
mengembangkan bakat mereka.”
Tanpa perlu memeningkan kepala memikirkan
siapakah “kita” yang dimaksudkan, isi sahaja masa lapang anda dengan membaca
senaskhah Helo-helo Kepada Bush di
LRT, Komuter, stesen bas, restoran mamak, panggung wayang atau kompleks
beli-belah kerana “kita” juga berhak untuk kelihatan cool dan bergaya di tempat awam.
NOTA: Ingin membeli stok
terhad novel ini pada “harga runtuh”? Sila KLIK DI SINI.
(Ulasan buku ini ditulis
pada 5 Julai 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 Julai 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)