[Namun, ada pihak yang cuba mempolitikkan acara ini demi
kepentingan peribadi.]
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
yang diasaskan secara kecil-kecilan pada 22 Ogos 1999 mula dikenali umum
menerusi program “Baca Cerpen Kavyan” yang berlangsung
selama 96 jam 32 minit bermula 29 Ogos 2003; sekali gus mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records.
Bagaimanapun, sebenarnya Kavyan yang
terdiri daripada sekumpulan penulis kaum India dan peminat karya sastera Bahasa Malaysia sudah memulakan acara
membaca cerpen sejak lebih awal.
Acara rasmi pertama diadakan pada 2
November 1999 dengan tajuk “For Your Ears
Only!” di Kompleks MAB, Brickfields untuk memperdengarkan bacaan cerpen
kepada khalayak cacat penglihatan.
Acara kedua di tempat sama pada 23 November
1999 pula turut membuka peluang kepada peserta cacat penglihatan membacakan
petikan cerpen secara Braille atau
bercerita secara spontan. [RUJUK DI SINI]
Malah, apabila acara “Baca Cerpen Kavyan”
berlangsung pada Ogos 2003, beberapa individu cacat penglihatan turut mengambil
bahagian. Pengalaman seperti ini turut mencetuskan idea kepada penghasilan
cerpen “Dengarlah, Sayang ...” (Pelita Bahasa, Disember 2005).
Kavyan juga mengadakan acara membaca cerpen
di beberapa pusat komuniti seluruh negara dan di rumah-rumah anak yatim.
Aktiviti berkenaan antara lain bagi memupuk minat membaca, memasyarakatkan
sastera serta membudayakan amalan membaca teks cerpen di khalayak.
Semasa saya menjadi pensyarah di beberapa
kolej swasta (1999-2007), aktiviti membaca cerpen turut dijadikan sebahagian
projek dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pengalaman-pengalaman itu pula
memberi idea bagi cerpen seperti “Cerita Moorthy” (Fokus SPM, Mac 2006).
Saya juga sering membaca petikan cerpen
apabila menyertai acara di luar negara, misalnya Program Penataran Mastera di
Bogor, Indonesia pada 1997, Ubud Writers &
Readers Festival di Bali (2011) dan Makassar
International Writers Festival di Sulawesi Selatan (2012).
Sejak 1999, Kavyan sering mendapat
kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kumpulan
Karangkraf Sdn Bhd, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena),
Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM) serta Jabatan Kebudayaan
Kesenian dan Warisan Negeri Selangor.
Kerjasama turut diberikan Pusat Komuniti
ERA, Kolej SEGi Subang Jaya, The One Academy, Kolej Antarabangsa SIT,
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perbadanan Perpustakaan Awan Selangor
(PPAS) dalam menjayakan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.
Sejak 2003, Kavyan sudah sinonim dengan
acara “baca cerpen” walapun kami turut terlibat dalam pelbagai aktiviti lain.
Antara acara “bacaan” yang diadakan termasuk “Baca Cerpen A. Samad Said” (24
Februari 2004), “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” (10 April 2004), “Baca Cerpen Dr
Anwar Ridhwan” (15 Mei 2004) dan “Baca Cerpen Penulis Tamil” (24 Julai 2004).
Harus dinyatakan bahawa kesemua acara
Kavyan terbuka kepada peserta/khalayak pelbagai kaum dan dikendalikan dalam
Bahasa Malaysia. Perkara ini adalah selaras dengan moto “Bahasa Malaysia,
Bangsa Malaysia” yang menjadi pegangan Kavyan sejak ditubuhkan.
Sejak 2006, Kavyan turut terlibat secara
langsung dalam menjayakan aktiviti sempena Pesta Buku Negeri Selangor. Selain
daripada sesi diskusi dan pelancaran buku, Kavyan tidak lupa meneruskan tradisi
“baca cerpen” di pentas dengan membuka ruang/peluang kepada masyarakat pelbagai
kaum dan umur untuk sama-sama merasai pengalaman membaca petikan cerpen di
pentas.
Sesungguhnya, membaca petikan cerpen dengan
suara lantang di pentas di hadapan khalayak/penonton bukan perkara yang mudah.
Perlu diakui bahawa ada individu yang secara semula jadi mempunyai masalah yang
digelar “stage fright”.
Pada masa yang sama, daripada pengalaman
Kavyan menganjurkan dan mengendalikan puluhan acara baca cerpen di seluruh
negara, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai “keseronokan”
membaca petikan cerpen/novel di pentas.
Antara aspek yang sering diambil kira dan
ditekankan oleh Kavyan dalam pembacaan cerpen di pentas adalah sebutan,
kelancaran, pemahaman, intonasi, nada, gaya penyampaian, suara dan keyakinan
diri. Maka, acara ini menjadi asas yang baik untuk membantu sesiapa yang mahu
membina keyakinan diri untuk tampil berucap di tengah khalayak.
Sempena Pesta Buku Negeri Selangor (29 Jun
– 9 Julai 2012), Kavyan sekali lagi menganjurkan acara baca cerpen.
Bagaimanapun, pada kali ini, nama acara adalah “Baca Cerpen Pelbagai Bahasa” iaitu
membuka ruang dan peluang bagi pembacaan petikan cerpen-cerpen pelbagai bahasa.
Acara yang dijadualkan pada 6 Julai 2012,
jam 4:00 petang di pentas aktiviti Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) membuka
peluang kepada peserta membaca petikan cerpen dalam apa-apa bahasa. Syarat yang
diletakkan adalah bahawa karya itu mestilah hasil tulisan pengarang Malaysia;
termasuk yang diterjemahkan ke mana-mana bahasa.
Bahasa-bahasa yang dimaksudkan termasuk (tetapi tidak
terhad kepada) Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil, Mandarin, Iban, Jawa,
Indonesia, Simunul, Perancis, Rusia, Hindi, Jepun, Punjabi, Thai, Sepanyol dan
Arab.
Memandangkan masa acara adalah hanya selama
dua jam, maka tentulah jumlah peserta dan jumlah karya yang boleh diberikan
peluang adalah terhad. Jawatankuasa Kavyan akan menggunakan pengalaman
mengendalikan puluhan acara seumpama ini sejak 1999 untuk memastikan “Baca
Cerpen Pelbagai Bahasa” berjalan lancar.
Pada masa sama, suatu hakikat yang tidak
dapat dinafikan adalah “usaha” pihak tertentu untuk menghalang segala aktiviti
anjuran Kavyan dengan menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan.
Hal ini amat jelas menerusi pelbagai fitnah
dan penipuan berniat jahat yang disebarkan beberapa pihak – termasuk puak
penulis dan persatuan penulis tertentu – dengan mempolitikkan penglibatan
Kavyan dalam usaha membantu sekumpulan penulis yang menjadi mangsa dalam isu
royalti teks Komsas sejak Ogos 2011.
Isu lain yang dijadikan modal adalah
berikutan pelantikan saya oleh Menteri Pelajaran dalam panel khas yang
ditugaskan meminda novel Interlok Edisi
Murid pada Februari 2011. Kononnya saya dan Kavyan bersikap “anti-Melayu”
kerana kami menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.
Menjelang penganjuran “Baca Cerpen Kavyan”
pada Ogos 2003, ada individu yang tiba-tiba meninggalkan Kavyan lalu
bekerjasama dengan kumpulan tertentu untuk menggagalkan acara tersebut. Kisah
berkenaan boleh dibaca dalam cerpen “Kita Sudah Gagal, Raja” (Mingguan Malaysia, 22 Februari 2004).
Tidak mustahil bahawa beberapa pihak akan
“meninggalkan kerja-kerja hakiki” untuk “menggabungkan seluruh tenaga” ke arah
menggagalkan acara “Baca Cerpen Pelbagai Bahasa” yang dijadualkan pada 6 Julai
2012. Usaha itu ternyata sudah bermula di ruang siber sejak sebulan lalu.
Pada masa sama, saya percaya bahawa
khalayak pelbagai kaum akan tampil memberi sokongan dan terlibat sama dalam
acara baca cerpen ini yang dianjurkan oleh Kavyan sebagai salah satu usaha
kecil-kecilan ke arah memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan
masyarakat.
(Makalah ini ditulis pada 5 Jun 2012 dan
disiarkan di Free Malaysia Today pada 25 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB. Acara pada 6 Julai 2012 menyaksikan para peserta memilih untuk membaca
petikan cerpen/novel Bahasa Malaysia.)