Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang meninggal dunia pada
29 November 2001. Hampir sebelas tahun kemudian, apakah segala sumbangan bakti
Allahyarham dalam bidang bahasa, sastera, seni dan budaya Malaysia masih
dikenang?
Demikian persoalan yang timbul dalam minda saya pada 11
Julai 2012 apabila berpeluang bertemu dan berbual panjang bersama-sama Haslina
Usman (anak sulung Allahyarham) dan suaminya, Abdul Rahim Affandi.
Usman Awang yang antara lain menggunakan
nama pena Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda,
Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung
Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Bagaimanapun, pada tahun ini, tiada apa-apa majlis untuk
mengenang tarikh lahir beliau memandangkan pelbagai masalah besar menyelubungi UA Enterprises Sdn Bhd selaku pemegang amanah dan hak
cipta karya-karya Usman Awang.
Hasil penelitian saya, masalah itu muncul
susulan pementasan “Muzikal Uda & Dara” (MUDD) di Istana Budaya pada Julai 2010. Selepas dua tahun,
khabarnya UA Enterprises berdepan kemungkinan diisytiharkan bankrap dan hak
cipta muzikal berkenaan pula diambil pihak bank.
Saya dimaklumkan bahawa UA Enterprises dipelawa
mementaskan “Muzikal Uda & Dara” untuk mengisi ‘Slot Sasterawan Negara’
yang diwujudkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).
“Kami hanya setuju mementaskan apabila ada pihak yang bersetuju
menjadi penaja utama. Persetujuan itu dibuat secara lisan. Kerana percaya akan
penajaan ini, kami teruskan kerja-kerja produksi untuk mementaskan MUDD.
“Malangnya, penaja tidak meneruskan hajat itu beberapa bulan sebelum tarikh pementasan. Sewaktu itu, kami telah menggadaikan rumah, mula bayar produksi dan separuh jalan dalam produksi. Maka, pementasan terpaksa diteruskan,” kata Haslina yang merupakan Pengarah Eksekutif UA Enterprises.
Saya sedia maklum bahawa beliau memohon Pinjaman Dana Industri Kreatif iaitu satu gabungan pinjaman antara KPKK dan sebuah bank ke arah membantu produksi seni persembahan dan pelbagai kesenian. Syaratnya melalui dua proses kelulusan iaitu kelulusan KPKK dan kelulusan bank berkenaan.
“Kami mendapat kelulusan pinjaman RM1.5 juta, iaitu bajet minimum; cukup-cukup sahaja untuk mementaskan MUDD. Jumlahnya besar kerana kebanyakan kemudahan di Istana Budaya telah rosak dan kami terpaksa menyewa berbagai peralatan yang memang mahal dari luar untuk pementasan tersebut,” kata Rahim yang menganggur sejak seminggu lalu.
Rahim sebelum ini bekerja secara kontrak di sebuah stesen
televisyen dengan gaji sekitar RM1,000 sebulan, manakala Haslina membuat kek
untuk menyara keluarga. Anak-anak mereka pula terpaksa berhenti belajar dan
bekerja akibat kesempitan kewangan yang sedang dialami.
Amat sukar untuk saya membayangkan bahawa waris yang
sedang berusaha bersungguh-sungguh memelihara pusaka peninggalan seorang
Sasterawan Negara berhadapan segala masalah seperti ini! Namun, berat mata
memandang, pasti berat lagi bahu yang memikul.
Saya ada menulis mengenai legasi karya Usman Awang di
akhbar Sinar Harian pada 29 Jun 2009 – BACA DI SINI. Saya turut menyampaikan kertas kerja bertajuk “Antara
KeMelayuan dan Kemanusiaan Sejagat: Sorotan Karya Usman Awang” sempena Simposium Lim Lian Geok dan Usman Awang:
Nasionalis Malaysia yang Tulen anjuran LLG
Cultural Development Centre pada 19 Jun 2010 di Dewan Perhimpunan Cina
Kuala Lumpur dan Selangor – BACA DI SINI.
Usman Awang mula berkhidmat sebagai sidang
pengarang majalah Dewan Bahasa di
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1962 sebelum dilantik menjadi pengarang
majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya.
Harus dinyatakan juga bahawa Allahyarham
adalah individu pertama yang menerajui kepimpinan Persatuan Penulis Nasional
Malaysia (PENA) iaitu pada 1962-65. Saya tidak pasti jika mana-mana persatuan
penulis masih mengadakan majlis bagi mengenang tarikh kelahiran/pemergian Usman
Awang.
“Pada tahun 1991-2001, ayah dilantik
sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan; suatu pelantikan yang disifatkan oleh arwah
sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses
pembentukan Bangsa Malaysia,” Haslina pernah menceritakan kepada saya sambil
menambah bahawa Usman Awang juga dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank
dari 1991 hingga 2001.
Pada tahun 1991, Usman Awang dianugerahkan
Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak, yang membawa gelaran Dato’.
Terdahulu, pada 29 Mei 1976, Usman Awang
dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera”; SEA Write Award pada tahun 1982;
Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983;
Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” pada tahun
1983; dan “Zamalah Sastera” daripada akhbar Berita
Harian pada tahun 1985.
Usman Awang juga terlibat dalam penerbitan
antologi sajak “Keranda 152” (1968)
yang merakamkan penentangan kaum Melayu terhadap Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Antologi berkenaan diterbitkan semula (“cetakan kedua”) pada 2002 sebagai
merakamkan penentangan kaum Melayu terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Namun, apalah gunanya segala sumbangan Usman Awang
terhadap bahasa pada saat kita dikejutkan dengan berita bahawa UA Enterprises
mungkin terpaksa “dibungkus” dan hak cipta “Muzikal Uda & Dara” bakal
tergadai!
Hasil risikan, saya mendapat maklumat bahawa walaupun
pinjaman bank yang diluluskan adalah RM1.5 juta, namun pada 20 Julai 2010 –
tarikh akhir pementasan MUDD di Istana Budaya – bank terbabit hanya memberi
RM900 ribu.
“Bayangkan, betapa peritnya kami terpaksa meminjam sana
sini untuk menampung kos produksi dan membayar segala macam
kos,” kata Haslina sambil menahan air mata apabila saya ajukan soalan berkaitan perkara itu kepada beliau.
kos,” kata Haslina sambil menahan air mata apabila saya ajukan soalan berkaitan perkara itu kepada beliau.
UA Enterprises sebenarnya mahu mementaskan muzikal
tersebut sekali lagi supaya mampu membayar balik pinjaman bank.
“Bank minta tunjuk pelan cadangan untuk pementasan kedua itu.
Setelah kami tunjuk cadangan kami, mereka membuat keputusan menarik balik
pinjaman RM900 ribu kerana pihak Istana Budaya belum memberi tarikh untuk
pementasan,” kata Rahim pula yang ternyata agak emosional mengenangkan segala
apa yang berlaku.
Khabarnya Haslina juga mengirim surat kepada Ketua
Setiausaha KPKK untuk meminta bantuan. Adakah surat rayuan itu menerima apa-apa
balasan atau reaksi? Pasangan suami-isteri itu tidak mahu memberi komen apabila
saya ajukan pertanyaan itu.
“Apabila semua jalan buntu, saya menulis kepada Menteri
KPKK, Datuk Seri Utama Rais Yatim pada 2 Februari 2012. Saya mendapat jawapan segera!
Beliau sangat prihatin tentang nasib karya tersebut dan memberitahu bahawa
tindakan selanjutnya akan diambil oleh pihak KPKK,” Haslina memberikan jawapan
alternatif.
KPKK khabarnya memanggil beliau untuk bermesyuarat dan Haslina diberi jaminan bahawa MUDD akan dipentaskan semula di Istana Budaya dengan kerjasama KPKK.
Saya masih tidak mampu menarik nafas lega kerana pada
realiti, hasil maklumat dari sumber dalaman, belum ada sebarang tarikh
ditetapkan oleh Istana Budaya bagi pementasan semula yang dimaksudkan.
Pada masa sama, pihak bank sebenarnya sudah memberi notis
21 hari untuk UA Enterprises menjelaskan hutang RM900 ribu. Hak cipta karya
“Muzikal Uda & Dara” yang dicagarkan itu kini berdepan dengan kemungkinan
besar diambil alih oleh pihak bank.
Sementara itu, tidaklah menghairankan jika pelbagai pihak
(individu, persatuan, agensi) yang kononnya berjuang demi
maruah, hak, karya, bahasa,
sastera, seni, kaum dan sebagainya, terus berdiam diri dan memberikan alasan “tidak tahu” mengenai perkara ini.
Saya teringat akan
kata-kata Usman Awang: “Musuh orang-orang Melayu bukanlah orang-orang Cina, dan
musuh orang-orang Cina bukanlah orang-orang Melayu, tetapi musuh kita bersama
ialah kemiskinan, ketidakadilan ...”
(Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan
Uthaya serta presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan. Makalah ini ditulis pada
13 Julai 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Julai
2012. © Uthaya Sankar SB.
Susulan daripada pendedahan ini, akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan berita
dengan judul “Karya Usman Awang Tergadai” pada 22 Julai 2012 dan akhbar theSun dengan judul “Bitter Lesson” pada 26 Julai 2012.)