31 Mar 2011

Siapa Perjuangkan Hak SN?

Sejak pertengahan Disember 2010, memang amat nyaring suara-suara sumbang yang kononnya memperjuangkan serta mempertahankan hak dan maruah Sasterawan Negara dalam isu tertentu.


Sejak awal, saya ada bertanya, ke mana perginya segala laungan itu sewaktu sajak “Gagak Parit” karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) diubah makna sewaktu diterjemahkan menjadi teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Tingkatan Satu (2001-2010).



Tiada jawapan.



Saya tertanya-tanya juga ke mana perginya segala laungan itu sewaktu Haslina Usman, anak kepada Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Usman Awang sedang – dan masih – “berjuang” memperkenalkan karya arwah kepada khalayak walaupun menghadapi pelbagai cabaran, halangan dan rintangan.



Juga mengenai pelbagai cabaran, halangan dan rintangan berterusan yang terpaksa dihadapi Pak Samad dan anaknya, Helmy Samad, meneruskan legasi karya-karya agung Pak Samad menerusi Wira Bukit Sdn Bhd.



Ke mana perginya segala macam individu, kumpulan, puak dan pertubuhan yang kononnya memperjuangkan hak, maruah dan martabat tokoh-tokoh yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Dipertuan Agong?



Bagi saya mudah sahaja. Jika individu, kumpulan, puak dan pertubuhan terbabit benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan hak, maruah dan martabat Sasterawan Negara, mereka tentu tidak memilih “kasta” dan “bulu”.



Usah berpura-pura lagi kerana topeng lakonan sudah tertanggal!