7 Apr 2010

Usman Awang: Malaysia dahulu, Melayu kemudian

Saya diundang menyampaikan kertas kerja bertajuk “Antara KeMelayuan dan Kemanusiaan Sejagat: Sorotan Karya Usman Awang” sempena Simposium Lim Lian Geok dan Usman Awang: Nasionalis Malaysia yang Tulen.
.

Simposium berkenaan yang dianjurkan LLG Cultural Development Centre dijadual berlangsung pada 19 Jun 2010 (Sabtu) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

.

Pihak penganjur, dalam surat bertarikh 15 Mac 2010 berkata, aktiviti ilmiah yang julung kali dianjurkan dalam Bahasa Malaysia ini juga diharap dapat memberikan persepsi lebih menyeluruh dan seimbang tentang perjuangan pendidikan bahasa dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang sering diperlekeh dalam percaturan politik perkauman.

.

Saya hanya sempat mengirim abstrak kertas kerja kepada pihak penganjur pada 3 April 2010; simbolik setahun Datuk Seri Najib Razak mengangkat sumpah setia untuk menjadi Perdana Menteri bagi semua rakyat Malaysia.

.

(“Rakyat diutamakan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik. Tiada siapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir,” kata Datuk Seri Najib dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009.)

.

Memang diakui umum bahawa karya-karya Allahyarham Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang membawa tema dan nilai segajat, merentas batas kaum dan bangsa. Sajak-sajak beliau disampaikan dengan cara bersahaja menggunakan kosa kata yang mudah difahami, tetapi membawa makna yang amat dalam.

.

Walaupun terdapat sajak-sajak beliau yang khusus ditujukan kepada khalayak kaum Melayu, kebanyakan sajak beliau mengangkat kisah-kisah kemanusiaan yang merentas batas kaum, agama, budaya dan geografi.

.

Kertas kerja atau makalah yang ingin saya hasilkan bertujuan melihat, meneliti dan membuktikan bahawa sajak-sajak Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang jauh lebih bersifat sejagat (universal) berbanding bersifat keMelayuan; serta lebih awal membawakan konsep Bangsa Malaysia sebelum dipopularkan Datuk Seri Najib melalui gagasan 1Malaysia (April 2009).

.

Tumpuan khusus akan diberikan kepada 12 sajak yang terkandung dalam kumpulan Sahabatku: Puisi-puisi 5 Bahasa (2009) terbitan UA Enterprises Sdn Bhd.

.

Bagi menghasilkan kertas kerja berkenaan, saya akan berusaha mendapatkan pandangan sejumlah individu yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja menterjemah 12 sajak dalam Sahabatku ke Bahasa Mandarin, Inggeris, Tamil dan Iban.

.

Pandangan peribadi dan pengalaman anak beliau, Haslina Usman dan menantu, Abdul Rahim Affandi yang meneruskan legasi Allahyarham juga akan memberi nilai tambah kepada kertas kerja yang mahu saya hasilkan.

.

Akan turut disorot sama ada nilai-nilai sejagat yang dibawakan Allahyarham masih relevan dengan masa kini; khususnya bagi menjayakan pembinaan Bangsa Malaysia.

Secara tidak langsung, kertas kerja itu diharapkan dapat membuktikan bahawa Allahyarham mengamalkan semangat “Malaysia dahulu, Melayu kemudian” (first a Malaysian, then a Malay), sekali gus berfikiran sejagat.