6 Apr 2010

Aliff, Ben10 dan Maskot Pembangkang

Semasa menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Buku Selangor dan Hari Ilmu di Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), Shah Alam pada 31 Mac 2010, saya terdengar perbualan bahawa ada pihak yang meminta supaya maskot Aliff dicarikan pasangan.
.

Maskot Aliff dilancarkan bersempena penjenamaan semula Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 26 Mei 2009.

.

Khabarnya ada pihak yang menimbulkan pertanyaan mengapa maskot menampilkan seorang kanak-kanak lelaki; mengapa tidak dijadikan pasangan kanak-kanak lelaki dan perempuan.

.

“Adakah PPAS hanya mahu menggalakkan kanak-kanak lelaki membaca?” Demikian agaknya persoalan kurang bijak (baca: bodoh) yang ditimbulkan; umpama apa yang sering berlaku pada persidangan Dewan Rakyat.

.

Selangkah ke Perpustakaan, Sejuta Senyuman. Demikian slogan PPAS. Pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan pihak tertentu mengenai maskot Aliff juga mengundang sejuta senyuman.

.

Kali pertama saya melihat lukisan maskot Aliff, saya teringat akan watak Ben Tennyson dalam siri Ben10 yang saya sering tonton bersama Devishi Prabha Sankari sejak musim pertama.

.

Memang banyak persamaan antara Aliff dan Ben. Tidak mustahil bahawa “puak pembangkang” yang mempersoalkan kehadiran watak kanak-kanak lelaki sebagai maskot PPAS juga peminat Ben10.

.

Sekali gus, mereka juga saya bayangkan sebagai peminat watak sepupu Ben bernama Gwen Tennyson. Maka, tidak mustahil mereka mengimpikan maskot kanak-kanak perempuan “menyerupai” Gwen.

.

Kemudian, apa kata diwujudkan juga watak Kevin Levin yang pada mulanya muncul sebagai watak jahat tetapi kemudian menjadi rakan Ben dan Gwen?

.

Selepas kita ada maskot “Aliff” (Ben), “Aminah” (Gwen) dan “Atan” (Kevin), “puak pembangkang” yang memang tiada kerja lain boleh pula menimbulkan persoalan berikut:

.

“Adakah PPAS hanya mahu menggalakkan kanak-kanak membaca? Bagaimana dengan ramaja?”

.

Tidak menjadi masalah! Saya faham bahawa mereka juga peminat Ben10: Alien Force. Maka, bolehlah watak remaja Ben, Gwen dan Kevin dijadikan model bagi membina maskot “Budin” (Ben), “Bibah” (Gwen) dan “Badli” (Kevin).

.

Sebaik sahaja kerja-kerja itu selesai, “puak pembangkang” akan mengemukakan soalan berikut:

.

“Adakah PPAS hanya mahu menggalakkan kanak-kanak dan remaja membaca? Bagaimana dengan golongan dewasa?”

.

Maka, carilah model yang sesuai untuk maskot “Fahmi” (Ben), “Fairuz” (Gwen) dan “Fauzi” (Kevin) yang mewakili golongan ibu bapa.

.

Seterusnya, dengan penuh semangat “perkauman” – yang sering juga ‘tersalah’ label sebagai 1Malaysia – puak pembangkang yang sama akan bersuara, bagaikan di Dewan Rakyat:

.

“Adakah PPAS hanya mahu menggalakkan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa kaum Melayu membaca? Bagaimana dengan kaum Cina, kaum India, Orang Asli, Iban, Kadazan, Dayak, Bajau, Jakun dan sebagainya?”

.

Malah, mungkin akan ditambah dengan meminjam kebodohan (baca: kurang bijak) orang lain:

.

“Pada 19 Mac 2010, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie mengumumkan bahawa Datuk Michelle Yeoh dipilih ikon program Marilah Membaca 1Malaysia bagi mendekati kaum Cina, berikutan Datuk Dr Sheikh Muszaphar sebelum ini berjaya menarik kaum Melayu. Malah, seorang duta kaum India juga akan dipilih.”

.

Maka, bolehlah dimasukkan maskot kanak-kanak, remaja dan dewasa mewakili setiap kaum, keturunan, etnik dan puak di Malaysia; sambil tidak lupa menyelitkan frasa keramat “termasuk Sabah dan Sarawak” kerana sampai bila-bila pun badut-badut politik tidak akan faham bahawa Sabah dan Sarawak sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia sejak 16 September 1963.

.

Inilah masalahnya apabila ada puak yang tidak tahu makna “maskot”. Mungkin wajar direka satu maskot untuk mewakili puak ini! Juga satu lagi maskot untuk mewakili sekumpulan badut politik.