4 Apr 2010

Cakap Politikus!

Pada 6 Oktober 2009, dilaporkan bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan lebih banyak buku yang ditulis para penulis baru.
..
Malah, Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, kementerian juga menggalakkan “Penulis Bukan Melayu” menulis buku Bahasa Malaysia supaya perkembangan bahasa kebangsaan dalam khalayak “Bukan Melayu” akan lebih semarak. [BACA DI SINI]
.

Dalam catatan blog pada 9 Oktober 2009, saya nyatakan “Kita nantikan jika pihak berkenaan benar-benar serius atau sekadar cakap politik” selepas mengirim surat untuk mengatur pertemuan dengan menteri atau timbalan menteri berkenaan. [BACA DI SINI]

.

Pada 19 Oktober 2009, pertemuan ditetapkan pada Khamis, 22 Oktober, pukul 2:30 petang di pejabat timbalan menteri berkenaan. [BACA DI SINI]

.

Bagaimanapun, selepas wakil Kavyan bersedia, sekitar pukul 12:00 tengah hari, 22 Oktober 2009, saya menerima panggilan dari pejabat Senator Heng Seai Kie dan dimaklumkan bahawa pertemuan terpaksa ditunda kerana beliau terpaksa menghadiri mesyuarat tergempar MCA.

.

Mesyuarat tergempar MCA itu memang benar-benar diadakan; bukan “alasan orang politik”. Bagaimanapun, sehingga kini, pertemuan yang “ditangguhkan” itu terus tertangguh sehingga kini.

.

Memang benarlah tanggapan saya pada 9 Oktober 2009: “Kita nantikan jika pihak berkenaan benar-benar serius atau sekadar cakap politik”.

.

Saya kembali terkenang akan catatan-catatan mengenai “usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan lebih banyak lagi buku yang ditulis oleh para Penulis Bukan Melayu” pada 31 Mac 2010, iaitu apabila menteri yang sama mempersoalkan “walaupun industri industri buku di Malaysia mencecah RM2 bilion setahun, penulis belum mampu menjadikan aktiviti menulis sebagai sumber pendapatan” dan berkata “hajat kerajaan adalah supaya penulis boleh mencari makan dan hidup dengan hasil penulisannya” (sumber: Bernama).

.

Kali ini, saya tidak mahu membazir masa dan tenaga mengatur sebarang pertemuan dengan mana-mana menteri atau timbalan menteri yang memang pandai berkata-kata tetapi tidak tahu makna “janji dikota”!

.

Mujurlah Kavyan sejak awal (22 Ogos 1999) bertegas “tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik atau pertubuhan lain”. Kalau tidak, tentu Kavyan sudah lama mati. Atau kami juga sudah memiliki mentaliti orang politik; pandai berkata-kata tanpa tahu mengotakan apa yang dikata.