Dalam catatan pada 7 Oktober 2009, saya ada menyebut bahawa Kavyan akan cuba mengatur pertemuan dengan Menteri atau Timbalan Menteri berkenaan.
Untuk makluman, surat telah dikirim melalui faks dan melalui e-mel ke pejabat Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pada pagi 9 Oktober 2009 (Jumaat) untuk mengatur pertemuan.
Berikut kandungan surat berkenaan:
“Pihak Kavyan tertarik dengan laporan media tempatan pada 7 Oktober 2009 yang menyatakan bahawa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan lebih banyak lagi buku yang ditulis oleh para penulis baru.
“Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, kementerian juga menggalakkan Penulis Bukan Melayu untuk menulis buku Bahasa Malaysia supaya perkembangan bahasa kebangsaan di khalayak Bukan Melayu akan lebih semarak lagi.
“Sehubung itu, pihak Kavyan ingin mengadakan pertemuan dengan pihak YB Senator dengan kadar segera untuk membincangkan pelbagai aktiviti dan projek yang boleh dilakukan ke arah itu.
“Untuk makluman YB Senator, Kavyan yang berpegang pada moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis kaum India yang menulis karya asli Bahasa Malaysia.”
Kita nantikan jika pihak berkenaan benar-benar serius atau sekadar “cakap politik”.