7 Oct 2009

Meninggalkan Sandakan dengan Penuh Harapan

Penerbangan MH2707 berlepas dari Lapangan Terbang Sandakan pada pukul 6:50 petang.

Sebelum itu, saya, Puan Yati, Sdr Nazri dan Encik Soje Abd Hassan minum sambil berbual-bual.

Saya mencadangkan supaya dalam aktiviti di Kuantan dan Mersing nanti, satu lagi sesi bengkel ditambah khusus untuk para guru pengiring. Saya akan membimbing mereka mengenai penulisan.

Turut dicadangkan supaya hasil tulisan guru-guru dan peserta dikumpul dan disiarkan; sekurang-kurangnya dalam blog supaya boleh menjadi kenangan, panduan dan rujukan.

Malah, saya memberitahu Puan Yati dan Encik Soje bahawa pihak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bersedia menjadi pembimbing sekiranya bengkel khas disusun untuk mengajar peserta (guru-guru) mengenai teknik menghasilkan karya bermutu.

(Malah, Kavyan turut menganjurkan Bengkel Cerpen Kavyan pada November dan Disember 2009. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat.)

Berbekalkan pengalaman sejak sedekad lalu, pasti sahaja Kavyan tidak akan menghadapi masalah untuk berkongsi ilmu dan panduan penulisan bermutu bersama golongan guru yang berminat.

Saya terbang meninggalkan Sandakan dengan harapan bahawa cadangan saya akan mendapat reaksi positif daripada pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Pejabat Pelajaran Negeri.