3 Apr 2010

Terima Kasih

Pada 2 Mac 2010, saya mengirim e-mel kepada Ganesan Duraisamy (Ayya) yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara. Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya berasa sangat tidak bersemangat.
.

Antaranya adalah kerana aktiviti Kavyan sudah semakin kurang rancak berikutan sambutan berkurangan. Penyertaan Ahli Jawatankuasa juga kurang kerana saya faham, masing-masing sibuk dengan urusan harian.

.

Sambutan daripada pihak luar juga semakin berkurangan bagi aktiviti bahasa dan sastera. Sekolah sibuk dengan peperiksaan. Buat aktiviti pun ala kadar sahaja. Ada pula peserta datang sekadar untuk mengisi masa lapang.

.

Saya berkongsi cerita dengan Ayya bagaimana sekitar 2003, terdapat dua kumpulan AJK (dinamakan “set besar” dan “set kecil”) yang komited tetapi sekarang mereka sudah tidak mampu memberikan komitmen penuh. Saya amat faham bahawa AJK Kavyan (lama dan baru) ada komitmen sendiri. Pelajar kolej seperti Rajan, Shoban dan sebagainya kini sudah ada komitmen sendiri selepas tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan.

.

Dulu, Kavyan banyak berjalan ke sana sini untuk memgendalikan aktiviti. Tapi kewangan menjadi hambatan besar sekarang. Juga, sukar untuk merancang satu tarikh yang sesuai untuk melibatkan semua AJK jika mahu pergi mengendalikan program di tempat jauh.

.

Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi. Masing-masing juga sibuk dengan kerjaya dan keluarga. Itu memang realiti yang tidak boleh dinafikan. Saya sangat faham hal itu dan tidak sekali-kali menyalahkan mereka.

.
Sambil bernostalgia, saya memberitahu Ayya bahawa pengalaman aktiviti Kavyan sejak 10 tahun lalu di seluruh negara adalah kenangan manis yang nampaknya tidak akan berulang. [BACA DI SINI]
.
Saya juga memberitahu Ayya bahawa saya sebenarnya sudah menjadi letih, putus asa dan penat membuat perancangan; saya benar-benar perlukan sokongan dan motivasi untuk meneruskan aktiviti Kavyan.

.

Dalam e-mel itu, saya menyatakan bahawa mungkin perlu diadakan semacam “pertemuan keluarga Kavyan” untuk berbual dan saling memberi semangat untuk terus aktif. Sekurang-kurangnya boleh membantu memulihkan semangat.

.

Selepas mengirim e-mel itu kepada Ayya, saya berasa sedikit lega sedikit bersemangat. Maka, saya segera mengembangkan idea bagi pertemuan keluarga Kavyan. AJK yang saya hubungi melalui SMS bersetuju dan menyokong pertemuan santai seumpama itu.

.

Maka, Hari Keluarga Kavyan berjaya diadakan pada 28 Mac 2010 di Taman Tasik Shah Alam. Jumlah kehadiran amat menggalakkan. Seperti yang diharapkan, Hari Keluarga Kavyan menjadi pertemuan dengan semangat kekeluargaan.

.

Foto-foto yang dirakam boleh dilihat dalam album di Facebook.

.

Saya secara peribadi mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang hadir untuk sama-sama memberi motivasi dan memulihkan semangat. Secara peribadi, saya memang amat memerlukan motivasi dan telah menerima suntikan semangat yang sangat-sangat diharapkan itu melalui Hari Keluarga Kavyan.

.
Kavyan perlu hidup seribu tahun lagi!