7 Oct 2009

BBK di Bernama Radio24

Sekitar pukul 9:40 pagi, 7 Oktober 2009, Irma Mashadi dari Bernama Radio24 menghubungi saya di Hotel Sabah, Sandakan dan menyatakan bahawa saya akan dihubungi semula sebentar lagi oleh peneraju, Ryna dan Kam untuk bercakap mengenai Bulan Bahasa Kebangsaan.

Dalam perbualan melalui telefon itu, saya berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai tugas dan tanggungjawab Bangsa Malaysia memelihara, menjaga dan memartabatkan Bahasa Malaysia.

Saya menyatakan bahawa Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi adalah bahasa yang paling sesuai dalam konteks negara kita untuk para penulis pelbagai kaum merakamkan kisah dan citra budaya masing-masing untuk tatapan umum.

Turut disentuh mengenai sikap masyarakat yang tidak mementingkan penggunaan Bahasa Malaysia yang betul dalam SMS dan semasa menulis di rangkaian sosial seperti Facebook.

“Baru-baru ini, saya mengambil langkah drastik membetulkan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh rakan-rakan saya di Facebook. Saya mendapat reaksi positif daripada mereka,” kata saya sambil menambah: “Kalau bukan kita yang ambil berat tentang bahasa kebangsaan kita, siapa lagi?”

Untuk makluman, pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Sarawak pada 6 Oktober di sempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bernama melaporkan bahawa selaras dengan keputusan kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan berkenaan ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi.

Turut dilaporkan oleh Bernama bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dengan menerbitkan lebih banyak lagi buku yang ditulis oleh para penulis baru.

Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, kementerian juga menggalakkan “Penulis Bukan Melayu” untuk menulis buku Bahasa Malaysia supaya perkembangan bahasa kebangsaan dalam khalayak “Bukan Melayu” akan lebih semarak.

Dalam konteks ini, mungkin Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) wajar mengatur pertemuan dengan Menteri berkenaan atau Timbalan Menteri untuk perbincangan lanjut.

Kalau bukan Kavyan – yang memang sejak dahulu memperjuangkan “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” – siapa lagi?