7 Oct 2009

Karya-karya dari Sandakan

Guru-guru yang berpengalaman mengajar di sekolah-sekolah pedalaman dan pulau di Sandakan, Sabah wajar menggunakan pengalaman itu untuk menghasilkan buku cerita untuk bacaan umum.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Hajah Nuri Udin berkata, guru-guru juga boleh mempelajari teknik menulis dengan menghadiri pelbagai bengkel yang dianjurkan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan “Program Sumbangan Buku dan Aktiviti Galakan Membaca” peringkat daerah Sandakan pagi tadi (7 Oktober 2009).

Program anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Pejabat Pelajaran Daerah Sabah itu menggabungkan 70 murid dari 10 buah sekolah luar bandar, kampung dan pulau dalam pelbagai aktiviti berkaitan buku, penulisan dan pembacaan.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Sandakan, Haji Sharif Mahada dalam ucapannya menyarankan supaya MBKM dan Perpustakaan Negara Malaysia mengadakan program galakan membaca dan menulis di pulau-pulau derah Sandakan.

Hasil tulisan daripada bengkel yang diadakan wajar dibukukan supaya menjadi bahan bacaan yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

[Nota: Skrip di atas disiarkan menerusi Bernama Radio24 dalam buletin pukul 3:00 petang, 7 Oktober 2009. Terima kasih kepada Sri Wazni.]