Saya berpeluang menonton filem ini pada pagi Easter, 4 April 2010 dan amat terpesona dengan visual, muzik, lagu, bahasa, pergerakan kamera, emosi, mesej dan “suara” ahimsa yang dibawakannya.
Kisahnya bukan mengenai pergolakan Hindu-Muslim yang memang sudah menjadi semacam kebiasaan di India. Sebaliknya mengenai nilai-nilai kemanusiaan dan ajaran sebenar agama yang dianuti.
Sewaktu enjin V8 Ford akhirnya berjaya dihidupkan dalam filem ini, hati saya turut melonjak kegembiraan dan memanjatkan syukur secara spontan.
Lagu-lagu yang diselitkan dalam filem Road to Sangam menceritakan kebesaran Pencipta dan amat sesuai bagi penganut agama Islam (termasuk di Malaysia). Lagu kegemaran Mahatma Gandhi, Vaisnav Jan, turut diselitkan dalam filem ini.
Tidak menjadi masalah jika seseorang individu tidak tahu Bahasa Hindi; ada sari kata Bahasa Inggeris pada filem yang ditulis dan diarah oleh pengarah muda, Amit Rai.
Tidak menjadi masalah juga jika tidak tahu Bahasa Inggeris; boleh mendengar muzik (oleh Nitin Gupta dan Prem Haria) dan menyaksikan visual (kamera oleh Dharam Gulati) yang turut berperanan menyampaikan cerita yang menyentuh jiwa.
Filem Road to Sangam ditayangkan di seluruh dunia bermula 29 Januari 2010 dan meraih pelbagai anugerah di Mumbai, Afrika Selatan dan Jerman.
Selain Paresh Rawal, Om Puri, Pawan Malhotra dan Javed Shaikh, filem yang diangkat daripada kisah sebenar ini turut menampilkan cicit Ghandi iaitu Tushar Gandhi. Penggambaran dilakukan di Allahabad, Uttar Pradesh, India dan turut menampilkan penduduk tempatan sebagai watak sampingan.
If my faith burns bright as I hope it will even if I stand alone, I shall be alive in the grave and what more speaking from it. Demikian kata-kata Mahatma Gandhi yang ternyata benar!
Terus terang, saya tidak tahu kaum, etnik dan keturunan Mahatma Gandhi. Saya tahu beliau beragama Hindu; tetapi beliau bukan seorang fanatik. Beliau memihak pada kebenaran dan ahimsa menjadi pegangan.
Nampaknya, filem seikhlas Road to Sangam mustahil diimpikan kelahirannya di bumi bertuah ini. Fikirkanlah sendiri sebabnya. ...