Bagaimanapun, saya tetap berbangga dengan sajak-sajak yang saya hasilkan dari semasa ke semasa; khususnya sajak-sajak yang membawa tema “bahasa”.
Pasti sahaja sajak-sajak yang dihasilkan ada kisah tersendiri di sebaliknya.
Sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa” dikarang pada 18 Disember 2002 dan disiarkan di laman Komuniti Penyair pada Disember 2002.
Sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” mengakibatkan tsunami sebaik sahaja disiarkan di MingguanMalaysia. Malah, acara Diskusi Novel Sangeetha anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 14 Julai 2007 “ditunda” – sehingga hari ini! Salah seorang Penasihat Kavyan mengirim surat peletakan jawatan kepada pihak media.
Sajak “Datukku Bahasa Malaysia” adalah pernyataan berani mengenai hakikat bahawa kaum India di Malaysia mencintai Bahasa Malaysia; walau apa pun “tuduhan” yang sering dilemparkan kepada kaum minoriti itu.
Sajak “Bahawa Kita adalah Kekasih” saya tulis khas pada 15 Julai 2002 untuk dideklamasikan pada Malam Bahasa Jiwa Bangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 19 Julai 2002.
Dalam pada itu, sajak “Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri” diterjemah ke Bahasa Jerman. Sajak berkenaan bukan mengenai Bahasa Malaysia, tetapi mengenai Bangsa Malaysia.