Bagaimanapun, terus terang, saya kurang bersemangat menonton filem Melayu.
Malah, filem Melayu terakhir yang saya tonton adalah “Anak Emak” arahan U-Wei Haji Saari untuk pembentangan di Finas pada 28 Mac 2009.
Filem Melayu yang saya tonton sebelum itu adalah Sepet (2004) arahan Yasmin Ahmad dan saya tonton beberapa kali menerusi VCD atas desakan pelajar semasa saya menjadi pensyarah sebuah kolej swasta di Subang Jaya.
Saya juga pernah menonton Perempuan, Isteri dan ... ( 1993) arahan U-wei selain menonton Suami, Isteri dan ... (1996) arahan Suhan Panshacharam yang “meniru” hampir 99 peratus filem Tamil, Mouna Geethankal (1981).
Saya juga pernah tergelak menonton Ringgit Kasorga (1995) serta terhibur menonton melodrama Azura (1984) lakonan Jamal Abdillah, Ogy Ahmad Daud dan Yusni Jafar. Malah, saya pernah memiliki kaset audio filem itu untuk didengar berulang kali. (“Kenapa kau tinggalkan aku, Azura? ... Azura! Aku cintakan kau!”)
Saya kurang bersemangat (nota: bukan “kurang berminat”) menonton filem Melayu, bukan hanya kerana filem-filem Melayu rata-rata berciri “untuk Melayu, oleh Melayu, tentang Melayu” serta tidak berciri “Malaysia” (atau “1Malaysia” – walaupun pada Mac 2010, rakyat Malaysia disahkan belum memahami konsep “1Malaysia”.)
[MIRI, 14 Mac (Bernama) -- Jabatan Penerangan mendapati rakyat keseluruhan tahu kewujudan Gagasan 1Malaysia tetapi masih belum mencapai kefahaman penuh tentang konsepnya, kata Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad di sini pada Ahad.]
Saya ada menyentuh mengenai perkara ini dalam kertas kerja bertajuk “P. Ramlee di Kaca Mata Etnik India: Suatu Perbandingan” yang dibentangkan semasa Seminar Pemikiran Semula P. Ramlee di Kuching, Sarawak pada 6 Disember 2003.
Kertas kerja itu kemudian disiarkan dengan judul “Formula P. Ramlee Memancing Penonton Kaum India” dalam majalah Minda (Februari dan Mac 2003.
Secara ikhlas, saya merasakan bahawa filem-filem Melayu tidak menggambarkan realiti budaya Melayu-Islam; jauh sekali menurut apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai “Melayu”.
Apabila “roh” Melayu-Islam sudah tiada, maka tiada apa-apa untuk saya hayati, nikmati dan hargai dalam filem berkenaan.
Jika ada sesiapa yang tampil memberitahu saya bahawa apa yang dipaparkan dalam filem-filem Melayu (“untuk Melayu, oleh Melayu, tentang Melayu”) adalah realiti budaya Melayu-Islam di Malaysia, maka saya akan benar-benar terkejut!
Benarkah itu realiti hidup saudara Melayu-Islam saya di bumi bertuah ini?