9 May 2010

My Name Is Khan

Saya agak terlewat menonton My Name Is Khan tetapi tentulah belum terlewat untuk saya katakan ia lebih hebat berbanding Dasavataram.
.

Demikian reaksi saya sambil menonton filem Hindi itu pada 7 Mei 2010. Saya nyatakan juga perkara itu pada ruangan status Facebook pada pagi 8 Mei 2010. (Filem berkenaan mula ditayangkan pada 12 Februari 2010 di seluruh dunia.)

.

Sambil menonton filem lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol, minda saya secara bawah sedar merayap kepada filem-filem seperti Dasavataram, Forrest Gump, Anbe Sivam, Road to Sangam dan Kuch Kuch Hota Hai.

.

Pada masa saya, saya hanya mampu mengeluh kerana adalah 100 peratus mustahil untuk mengimpikan sebuah filem seikhlas dan sejujur itu dalam industri filem Melayu dan industri filem Malaysia.

.

Dalam My Name Is Khan, tidak ada sebarang prejudis disumbat ke dalam filem itu. Sebaliknya, prejudis yang gambarkan adalah prejudis yang sedia wujud dalam realiti dan amat wajar dipaparkan.

.

Sebaliknya, andainya sebuah filem yang mengangkat tema seumpama itu ditakdirkan lahir dalam industri filem di Malaysia (sama ada filem Melayu atau filem Malaysia), pasti pelbagai prejudis dan “ketuanan” disumbat ke dalamnya hingga menjadikan filem itu terlalu berat sebelah dan bersifat propaganda; memualkan malah.

.

My Name Is Khan pula mampu bercerita sejujurnya dengan mengangkat realiti hidup dari sudut pandangan seorang individu yang berpegang teguh pada ajaran ibunya: “Hanya ada orang baik dan orang jahat; tidak ada selain itu”.

.

Begitu juga, sambil keluarga Khan makan malam bersama keluarga Garrick, kita mendengar suara Khan (dalam catatan diarinya): “Keluarga tidak hanya lahir melalui pertalian darah tetapi juga melalui kasih sayang” – langsung mengingatkan saya kepada Khandan dalam beberapa cerpen saya!

.

Tanpa dipaksa-paksa, hubungan merentas kaum, agama, ras, etnik, warna kulit dan rupa fizikal dizahirkan melalui filem My Name Is Khan. Ternyata pada tahan emosi yang lebih berkesan berbanding apa yang berjaya dilakukan oleh Kamal Haasan melalui Dasavatharam.

.

Pada saya, apa yang dilakukan oleh Kamal Haasan melalui sepuluh avatara berjaya dilakukan oleh Shah Rukh Khan melalui satu avatara; tanpa perlu memasukkan pelbagai unsur glamour yang “terpaksa” (ulang: terpaksa) disumbat dalam Dasavataram.

.

Kalau dalam Dasavataram, watak utama berpeluang bertemu George W. Bush (lakonan Kamal Haasan), dalam My Name Is Khan pula, watak utama gagal bertemu presiden itu; sebaliknya berpeluang bertemu presiden baru, Barack Obama (lakonan Christopher B. Duncan).

.

Gandingan Shah Rukh Khan (sebagai Rizwan Khan) dan Kajol (sebagai Mandira) juga tentulah lebih “dewasa” berbanding ‘pertemuan’ mereka 12 tahun lalu dalam Kuch Kuch Hota Hai (1998). Lagu-lagu tidak lagi berdiri sendiri, sebaliknya teradun kemas sebagai sebahagian jelan cerita.

.

Pelbagai persoalan dan insiden yang disajikan dalam filem ini boleh dijadikan panduan dan pengajaran bagi kita semua. Misalnya, dua dialog yang saya nyatakan di atas. Juga apabila si ibu (Razia Khan, lakonan Zarina Wahab) membuat dua lukisan dan meminta anaknya (Rizwan Khan semasa kanak-kanak, lakonan Tanay Chheda) menentukan yang mana satu Muslim dan yang mana satu Hindu.

.

Kisah mengenai hubungan antara agama dan antara etnik yang dipaparkan juga amat menarik; misalnya kisah bersama Mama Jenny (lakonan Jennifer Echols) dan penduduk di Wilhemina, Georgia.

.

Malangnya, di sebuah negara yang tetap membuat kotak Melayu-Cina-India secara langsung dan tidak langsung (walaupun wujud nama-nama muluk seperti 1Malaysia), semua itu hanya impian dan khayalan.

.

Apa tidaknya? Untuk masyarakat pelbagai kaum dan agama duduk semeja dan berbincang tentang agama pun sudah ada kenyataan rasmi mengharamkan dialog antara agama!

.

Nama saya Uthaya Sankar SB dan saya bukan pengganas (terrorist). Hanya ada orang baik dan orang jahat; tidak ada selain itu.